Connect with us

Oh! Media

Tulis Nama Si Mati Pada Kubur

Umum

Tulis Nama Si Mati Pada Kubur

Soalan:
Kami lihat sebahagian kubur tertulis atasnya ayat Quran dan nama orang. Apakah hukum agama tentang perkara ini?
Jawapan:
Imam Tirmizi meriwayatkan dari Jabir r.a. berkata ia : 
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن تجصص القبور وأن يكتب عليها وأن يبنى عليها وأن توطأ
“Rasululllah SAW telah melarang bahawa dicat kubur dan ditulis atasnya dan dibina atasnya dan dipijak.”
Dan pada riwayat An-Nasaai: “Bahawa dibina atas kubur atau ditambah atasnya atau dicat atau ditulis atasnya.”
Yang zahir pada hadith ini melarang menulis atas kubur tanpa membezakan antara tulis nama mayat atau lainnya.
Berkata Al-Hakim: “Serta sahihnya hadith ini ia tidak diamalkan atasnya. Maka bahawasanya imam-imam muslimin dari timur hingga ke barat ditulis nama mereka itu atas kubur mereka. Ia menjadi amalan yang diambil dari khalaf dan salaf. Berkata Az-Zahabi ini adalah bidaah yang tidak sampai mereka itu larangan.”
Pandangan ulamak empat mazhab
Berkata ulamak mazhab Hanafi: “Dimakruhkan sebagai makruh tahrim tulis sesuatu atas kubur.”
Berkata ulamak mazhab Maliki: “Jika ditulis akan Quran maka haram. Dan jika ditulis untuk memberitahu nama si mati atau tarikh matinya maka makruh.”
Berkata ulamak mazhab Syafie: “Bahawasanya larangan daripada menulis ini ialah makruh sama ada Quran atau nama si mati. Dan tetapi jika kubur orang alim atau orang soleh maka elok ditulis namanya atas kubur dan apa yang menjadikan dikenali.”
Berkata ulamak mazhab Hanbali: “Larangan menulis ini ialah larangan makruh samada Quran atau lainnya sama ada kubur yang alim atau soleh atau lain dari mereka itu.”
Imam Ibnu Hazm berpendapat mengukir nama si mati atas kubur itu tidak dimakruhkan. Sekalian yang demikian itu disandarkan kepada tujuan yang memerlukan kepada ditulis namanya. 
Maka jika ditulis kerana semata-mata pengenalan atas tuan kubur maka tidak menjadi kesalahan sama sekali.
Ibnu Majah telah meriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. bahawasanya Nabi SAW meletakkan batu pada kubur Uthman bin Maz’un r.a.
Dan pada riwayat Abu Daud Nabi SAW bersabda:
أتعلَّم بها قبر أخى، وأدفن إليه من مات من أهلى ” 
“Supaya aku kenal dengan tanda ini akan kubur saudaraku dan ditanam dengannya saudaraku yang meninggal dunia.”
Maka jika tulis nama atas kubur itu bertujuan berbanga-bangga dan bermegah-megah maka hukumnya adalah dilarang sama sekali. Wallahua’lam.
Sumber: Fatwa Negeri Mesir, Syeikh Athiyah Saqr 
+ Ustaz Azhar Idrus (Original)

ADVERTISEMENT
Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas