Connect with us

Oh! Media

Tidak Bangun Qiyamullail Tanda Allah Tidak Mahu Berjumpa?

Umum

Tidak Bangun Qiyamullail Tanda Allah Tidak Mahu Berjumpa?

Soalan:
Benarkah kenyataan bahawa seseorang yang tidak bangun malam untuk Qiyamullail itu adalah tanda Allah tidak mahu berjumpa dengannya?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Qiyamullail adalah suatu kata nama bagi perbuatan menghidupkan malam dengan ibadah yang bersifat umum. Ia meliputi kesemua amalan soleh yang dilakukan oleh seseorang itu pada waktu malam seperti solat tahajjud, pembacaan Al-Quran, doa, dan selainnya dari amalan soleh.

Berkenaan dengan solat tahajjud, Allah S.W.T berfirman:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. [Surah al-Isra’ (79)]

Maksud Tahajjud

Allah SWT berfirman: (فَتَهَجَّدْ بِهِ) Ayat ini bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan “التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) “تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya.

Imam Ibn Katsir dalam menghuraikan makna tahajjud beliau berkata: Sesungguhnya tahajjud itu adalah: Sesuatu yang dilakukan selepas tidur. Inilah pendapat yang disebutkan oleh ‘Alqamah, Al-Aswad, Ibrahim Al-Nakha’ie, dan selain mereka dan inilah maksudnya yang makruf di dalam bahasa arab. Demikian juga telah tsabit hadis-hadis dari Rasulullah S.A.W bahawa baginda melakukan solat tahajjud selepas bangun dari tidur. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, A’isyah, dan selain mereka dari kalangan para sahabat, Radhiyallahu ‘Anhum.
[Lihat Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, Ibn Katsir (5/102)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, sepanjang pengetahuan kami adalah tidak terdapat riwayat-riwayat yang menyebut bahawa sekiranya seseorang itu tidak bangun qiyamullail maka itu adalah petanda Allah S.W.T tidak mahu berjumpa dengannya.

Dari sudut ilmiah, menisbahkan kenyataan tertentu kepada Allah S.W.T berhajat kepada hujahan dan dalil yang kukuh. Sekiranya tidak ada, maka sebaiknya kita menahan diri dari bercakap sesuatu yang kita tidak ada ilmu padanya. Hal ini dilarang oleh Al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang berikut:

إِنَّمَا يَأْمُرُكُم بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya ia (syaitan) menyuruh kamu melakukan perkara yang buruk lagi keji. Serta menyuruh kamu berkata kepada Allah S.W.T akan sesuatu yang kamu tidak ketahui.” [Surah Al-Baqarah (169)]

Demikian juga Allah S.W.T berfirman:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولً
“Janganlah kamu berkata tentang suatu yang kamu tiada ilmu padanya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan jantung hati itu kesemuanya akan ditanyakan (pada hari akhirat nanti).” [Surah Al-Isra’ (36)]

Sebab-Sebab Tidak Bangun Qiyamullail

Berikut kami nyatakan beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu tidak berjaya untuk melakukan qiyamullail yang diambil berdasarkan beberapa riwayat-riwayat dan juga atsar dari para salaf. Antaranya:

Pertama: Tidur Lewat

Tidak dinafikan bahawa perbuatan berjaga sehingga lewat malam tanpa sebarang faedah dan manfaat menjadi faktor utama seseorang itu tidak berqiyamullail. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas’ud R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ سَمَرَ إِلاَّ لِمُصَلٍّ أَوْ مُسَافِرٍ
“Tidak ada perbualan pada waktu malam melainkan untuk orang yang menunaikan solat atau bermusafir.” [Riwayat Al-Tirmizi (2730)]

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Mubarakfuri Rahimahullah dalam mensyarahkan maksud perkataan سَمَرَ beliau berkata: “Ia adalah perbuatan berbual-bual pada waktu malam.”
[Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (1/433)]

Berdasarkan hadis ini, perbuatan berjaga malam untuk berbual-bual selepas solat isya’ adalah tidak dibolehkan kecuali bagi orang yang solat ataupun sedang bermusafir. Larangan ini secara lebih jelas dapat dilihat berdasarkan hadis yang diriwayatkan turut diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud:

جَدَبَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ السَّمَرَ بَعْدَ الْعِشَاءِ
“Rasulullah S.A.W melarang kami dari perbuatan berjaga malam (berbual-bual) selepas dari solat isya’.” [Riwayat Ibn Majah (703)]

Imam Ibn Majah dalam komentar ringkasnya terhadap maksud perkataan جَدَبَ beliau berkata: “Iaitu memberi amaran dan melarang kami.”

Kedua: Belenggu Dosa

Tidak dinafikan bahawa antara perkara yang mengikat dan menghalang seseorang itu dari bangun mengerjakan qiyamullail adalah disebabkan dosa-dosanya sendiri.

Imam Sufyan Al-Tsauri berkata: “Aku ini terhalang dari melakukan qiyamullail selama lima bulan disebabkan satu dosa yang aku lakukan.”

Imam Al-Ghazali dalam mengulas isu ini berkata: “Dosa-dosa itu kesemuanya mewariskan kekerasan pada jantung hati seseorang serta menghalangnya dari melakukan qiyamullail.”
[Rujuk Ihya’ Ulum Al-Din, Al-Ghazali (1/356)]

Demikian juga terdapat sebuah riwayat bahawa seorang lelaki bertanyakan kepada Imam Hasan Al-Basri: “Wahai Abu Sa’id, sesungguhnya aku ini tidur dalam keadaan sejahtera, aku cintakan qiyamullail, dan aku juga telah bersiap sedia dengan wuduk aku, namun mengapakah aku masih tidak bangun?” Maka jawab Hasan al-Basri: “ذُنُوبُكَ قَيَّدَتْكَ, Dosa-dosa kamu mengikat kamu (dari mengerjakan qiyamullail).”
[Lihat Fasl Al-Khitab Fi Al-Zuhd wa Al-Raqaiq (9/400)]

Perkara-Perkara Yang Membantu Untuk Mengerjakan Qiyamullail

Berikut kami kongsikan beberapa perkara untuk membantu kita mengerjakan qiyamullail. Antaranya:

1. Ikhlaskan niat
Seseorang itu hendaklah mengikhlaskan niatnya kepada Allah S.W.T dalam usahanya mengerjakan qiyamullail. Sekiranya niat seseorang itu tulus, nescayalah Allah S.W.T akan merezekikan padanya untuk bangun dan menunaikan ibadah pada waktu malam.

2. Jauhi dosa dan maksiat
Seperti yang telah disebutkan, dosa-dosa dan maksiat adalah belenggu paling utama yang menghalang seseorang itu melakukan qiyamullail.

Seorang lelaki bertanya kepada Imam Ibrahim bin Adham: “Sesungguhnya aku ini tidak mampu untuk mengerjakan qiyamullail, berilah rawatannya kepadaku.” Maka jawab Ibrahim bin Adham: “Janganlah kamu bermaksiat kepada Allah pada waktu siang dalam keadaan Dia mendirikan kamu di hadapan-Nya pada waktu malam. Sesungguhnya berdirinya kamu di hadapan-Nya pada waktu malam itu merupakan sebesar-besar kemuliaan, dan pelaku maksiat tidak berhak untuk mendapatkan kemuliaan tersebut.”
[Lihat Fasl Al-Khitab Fi Al-Zuhd Wal- Raqaiq (9/400)]

3. Tidur awal
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Barzah, beliau beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَكْرَهُ النَّوْمَ قَبْلَ الْعِشَاءِ وَالْحَدِيثَ بَعْدَهَا
“Nabi S.A.W tidak suka kepada tidur sebelum isya’ dan berbual-bual selepas isya’.” [Riwayat Al-Tirmizi (168)]

Jika dinilai dari aspek hikmah, berbual-bual selepas isya’ tentang perkara-perkara yang tidak bermanfaat sudah pasti menyebabkan seseorang itu tidur lewat. Lumrahnya, apabila badan letih kerana tidur pada waktu yang lewat tentulah menyebabkan seseorang itu terhalang dari mengerjakan qiyamullail.

Kesimpulan

Sebagai penutup, Qiyamullail merupakan suatu ibadah yang hukumnya sunat muakkad kepada seluruh umat Islam. Marilah kita sama-sama berusaha dan berazam untuk menjadikan ia sebagai suatu rutin harian kita dalam kehidupan dengan mengerjakan beberapa perkara yang telah kami nyatakan di atas.

Berkenaan dengan persoalan yang dikemukakan, kami menegaskan bahawa tidak terdapatnya riwayat-riwayat yang menyebut bahawa seseorang yang tidak bangun Qiyamullail adalah petanda bahawa Allah S.W.T tidak mahu bertemu dengannya. Adalah lebih baik kita berpada dengan sebab-sebab yang menghalang seseorang dari Qiyamullail seperti yang telah kami sebutkan sebelum ini.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas