Connect with us

Oh! Media

Hukum Melakukan Upacara Tolak Hujan

Umum

Hukum Melakukan Upacara Tolak Hujan

SOALAN:
Apa hukum melakukan upacara tolak hujan yang ada dijalankan di beberapa tempat. Adakah ini dibolehkan di sisi syarak?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Pertama sekali, kita perlu jelaskan terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan tersebut. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur disebutkan:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
“Menjatuhkan hukum ke atas sesuatu merupakan suatu cabang dari mendapatkan gambaran menyeluruh tentangnya (perkara tersebut).”

Hujan merupakan sebahagian dari rahmat Allah SWT yang diturunkan kepada para hamba-Nya. Terdapat beberapa petunjuk dari Rasulullah SAW yang diajarkan kepada umat baginda apabila turunnya hujan. Antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW apabila hujan turun baginda membaca:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ صَيِّبًا نَافِعًا
“Ya Allah, jadikanlah ia sebagai hujan yang bermanfaat.” [Riwayat Al-Nasa’ie (1523)]

Manakala apabila hujan telah selesai turun, kita disunatkan untuk membaca:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ
“Kami telah diturunkan hujan dengan kelebihan dan rahmat dari Allah.” [Riwayat Muslim (71)]

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, sekiranya yang dimaksudkan dengan hal tersebut adalah doa yang dibacakan dengan tujuan untuk meredakan hujan lebat yang turun secara berterusan, maka perbuatan sebegini ada perbahasannya di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

بَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَقَامَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَسْقِيَنَا‏.‏ فَتَغَيَّمَتِ السَّمَاءُ وَمُطِرْنَا، حَتَّى مَا كَادَ الرَّجُلُ يَصِلُ إِلَى مَنْزِلِهِ، فَلَمْ تَزَلْ تُمْطَرُ إِلَى الْجُمُعَةِ الْمُقْبِلَةِ، فَقَامَ ذَلِكَ الرَّجُلُ أَوْ غَيْرُهُ فَقَالَ ادْعُ اللَّهَ أَنْ يَصْرِفَهُ عَنَّا، فَقَدْ غَرِقْنَا‏.‏ فَقَالَ ‏اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا فَجَعَلَ السَّحَابُ يَتَقَطَّعُ حَوْلَ الْمَدِينَةِ، وَلاَ يُمْطِرُ أَهْلَ الْمَدِينَةِ
Ketika Nabi SAW sedang menyampaikan khutbah pada hari Jumaat maka berdirilah seorang lelaki lalu berkata: “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia menurunkan hujan kepada kami.” (Maka Rasulullah pun berdoa kepada Allah). Kemudian langit pun menjadi gelap gelita dan hujan turun. Sehinggalah apabila lelaki tersebut sampai ke rumahnya, maka hujan tetap turun secara berterusan sehinggalah pada hari Jumaat yang berikutnya. Maka lelaki tersebut atau selainnya sekali lagi bangun lalu berkata: “(Wahai Rasulullah) berdoalah kepada Allah agar Dia mengalihkan hujan dari kami kerana sesungguhnya kami telah tenggelam (disebabkan hujan lebat yang berterusan).” Lalu kata Nabi SAW: “Ya Allah, turunkanlah ke kawasan sekitar kami dan janganlah Kau turunkan ia ke atas kami.” Maka awan pun berpecah-pecah di kawasan sekitar Madinah, dan tidak diturunkan hujan kepada penduduk Madinah. [Riwayat Al-Bukhari (6432)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa sekiranya yang dimaksudkan dengan menolak hujan itu adalah dengan cara berdoa maka hukum membaca doa untuk mengalihkan hujan seperti ini adalah dibolehkan. Ini mengambil kira sekiranya hujan tersebut turun dalam keadaan lebat serta berterusan dalam tempoh masa yang panjang. Yang membawa kepada implikasi rosaknya tumbuh-tumbuhan dan tanaman, jalanan menjadi banjir, serta membawa kesulitan atau kemudharatan kepada orang ramai.

Meskipun begitu, sekiranya yang dimaksudkan dengan upacara tolak hujan tersebut adalah dengan cara melakukan ritual tertentu seperti yang dilakukan oleh masyarakat dan adat tertentu dengan cara memacakkan penyapu dan menghalakan ia ke langit, atau mencampakkan pakaian pengantin ke atas atap, dan selainnya, maka kesemuanya ini adalah amalan khurafat yang HARAM hukumnya lagi bercanggahan dengan ajaran Islam. Justeru, kami menasihati kepada seluruh umat Islam agar menjauhi perkara-perkara seperti ini dan beramallah dengan amalan yang bertepatan dengan petunjuk Islam yang suci lagi murni.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar pencerahan ini memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas