Connect with us

Oh! Media

Permusafiran Adalah Sekelumit Daripada Azab?

Umum

Permusafiran Adalah Sekelumit Daripada Azab?

Soalan:
Adakah terdapat hadis yang menyatakan bahawa musafir itu adalah satu azab. Dan jika ada hadisnya apa yang dimaksudkan dengan azab tersebut?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Ya, memang hadis tersebut wujud. Ianya diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam lain melalui beberapa jalur sanad:

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا مَالِكٌ عَنْ سُمَيٍّ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنْ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ
Abu Nua’im telah menceritakan kepada kami, Malik menceritakan kepada kami daripada Sumiy daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ianya menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.” [Riwayat al-Bukhari (5429)]

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ بْنِ قَعْنَبٍ وَإِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِى أُوَيْسٍ وَأَبُو مُصْعَبٍ الزُّهْرِىُّ وَمَنْصُورُ بْنُ أَبِى مُزَاحِمٍ وَقُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ قَالُوا حَدَّثَنَا مَالِكٌ ح وَحَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِىُّ – وَاللَّفْظُ لَهُ – قَالَ قُلْتُ لِمَالِكٍ حَدَّثَكَ سُمَىٌّ عَنْ أَبِى صَالِحٍ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ فَإِذَا قَضَى أَحَدُكُمْ نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ
Abdullah Bin Maslamah Bin Qa’nabi,Ismail Bin Abi Uwais, Abu Mus’ab al-Zuhri, Mansur Bin Abi Muzahim dan Qutaobah Bin Sa’id menceritakan kepada kami. Mereka semua berkata: Malik telah menceritakan kepada kami (ح) dengan maksud berlaku perpindahan sanad). Yahya Bin Yahya al-Tamimi menceritakan kepada kami. Beliau berkata: Aku berkata kepada Malik, Sumiy menceritakan kepada engkau daripada Abi Salih daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah SAW baginda bersabda: “Permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ia menghalang kalian draipada tidur, makan dan minum. Apabila salah seorang dari kalian telah selesai hajatnya maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.” [Riwayat Muslim (5070)]

Maksud Hadis

Para ulama memberikan penjelasan berkenaan hadis berikut. Kami nukilkan penjelasan dan tafsiran para ulama berkenaan maksud hadis tersebut.

1. Al-Munawi menyebut:
“Ia adalah sebahagian dari azab kerana di dalam permusafiran tersebut terdapat keletihan, kepayahan, angin yang kuat, cuaca yang panas dan sejuk, ada ketakutan, bahaya, kurangnya air dan bekalan makanan.” [Rujuk Faidh al-Qadir ( 14/351)]

2. Kata al-‘Aini:
“Antara faedah yang boleh kita peroleh daripada hadis ialah makruh berada jauh daripada ahli keluarga. Faedah yang lain adalah harus bersegera untuk kembali ke ahli keluarga yang mana jika lambat pulang akan menyebabkan ahli keluarga menjadi tak tentu arah dengan ketiadaannya.” [Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari ( 10/138)]

3. Al-Qadhi ‘Iyad menyatakan:
“Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Apatah lagi terpaksa menempuh angina yang kuat, kepanasan dan cuaca yang sejuk. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.” [Rujuk Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim (6/178)]

4. Mulla Ali al-Qari menyebut:
“Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).” [Rujuk Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih (7/414)]

Kesimpulan

Maksud hadis tersebut ialah di dalam permusafiran sememangnya terdapat kepenatan, kepayahan dan lain-lain. Oleh itu, Nabi SAW menyatakan bahawa permusafiran adalah salah satu azab. Lihat sahaja diri kita ketika bermusafir ke tempat yang jauh. Rasa payah, letih, kurang makan dan minum pasti menjengah. Tambahan pula, yang dimaksudkan azab di dalam hadis tersebut juga boleh difahami dari segi maknawi. Seperti contoh jauh dari ahli keluarga, rindu kepada orang yang tersayang yang disebabkan jarak yang jauh antara keduanya dan lain-lain. Inilah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW.

Wallahu’alam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas