Connect with us

Maksud Hadith ‘Seperti Putih di Kepala Kuda’

Umum

Maksud Hadith ‘Seperti Putih di Kepala Kuda’

Soalan:
Apakah maksud maksud hadith seperti putih di kepala kuda?

Jawapan:
Di dalam Islam, wudhu’ berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syara’ pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan serta menyerikan lagi anggota yang dibasuh dan dibersihkan. Perkataan wadhuk (وَضُوءٌ) ialah nama air yang digunakan untuk berwudhu’, adapun wudhu’ adalah perbuatan wudhu’ itu sendiri. [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 53/1]

Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut yang menceritakan akan fadhilat atau kelebihan orang yang berwudhu’:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ
“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wudhu’. Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.” [Riwayat al-Bukhari (136), Riwayat Muslim (246)]

Menurut Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas, ahli bahasa menyatakan “الْغُرَّةُ” bermakna warna putih yang dahi kuda dan “التَّحْجِيلُ” pula adalah warna putih yang terdapat pada tangan dan kakinya. Adapun para ulama’ menafsirkannya dengan cahaya yang muncul pada anggota-anggota wudhu’ di hari Kiamat sepertimana warna putih yang terdapat pada kuda. Tambahan pula, Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini pada bab melebihkan basuhan wudhu’ di kepala, tangan dan kaki. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 134-135/3]

Hal ini juga, dinyatakan oleh Imam al-San’ani di dalam karya beliau bahawa hadith ini merupakan salah satu dalil yang menunjukkan tuntutan agar melebihkan basuhan kepala, tangan dan kaki ketika berwudhu’. [Lihat: Subul al-Salam, 70/1]

Di samping itu juga, Syeikh Mustafa al-Bugha berkata ketika memberi komentar terhadap hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari bahawa makna hadith ini adalah cahaya akan terpancar daripada wajah-wajah, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka pada hari Kiamat. Ini merupakan di antara kelebihan-kelebihan yang diberikan terhadap umat ini iaitu Allah SWT menjadikan kelebihan-kelebihan tersebut sebagai penyaksian ke atas manusia.

Penutup

Kesimpulannya, sebahagian para ulama’ menggalakkan agar melebihkan basuhan air wudhu’ pada anggota-anggota wudhu’. Ini kerana, hadith sahih di atas menunjukkan anjuran agar melebihkan basuhan kerana ia akan menerbitkan cahaya di akhirat kelak. Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ dalam menyatakan makruh membasuh anggota wudhu’ lebih daripada tiga kali kerana terdapat hadith yang jelas melarang hal tersebut. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengamalkan sunnah ini dan dalam masa yang sama kita juga perlu menjaga diri kita daripada melakukan sebarang pembaziran air kerana hal ini ditegah di dalam agama sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan hadith. Amin.

Wallahua’lam

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top