Connect with us

Umum

Penisbahan Hari Asyura’ Kepada Para Anbiya’

Soalan:
Apakah benar hari Asyura’ ini dinisbahkan kepada terselamatnya beberapa orang para Rasul?

Jawapan:
Sebelum kami menjawab persoalan di atas, hari Asyura’ adalah hari yang disunatkan bagi umat Islam untuk berpuasa padanya. Ini kerana, di dalam sebuah hadith yang sahih bahawa Nabi SAW menggalakkan umatnya agar berpuasa pada hari tersebut tersebut.

IKLAN

Daripada Aisyah R.anha berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمِ عَاشُورَاءَ
“Adapun Rasulullah SAW memerintahkan agar berpuasa pada hari Asyura’.” [Riwayat al-Bukhari (2001)]

Berbalik kepada soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang panjang dan matannya yang membicarakan berkaitan penisbahan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan hari Asyura’ iaitu, di antaranya:

Daripada Umar RA berkata: Wahai Rasulullah! Allah SWT telah memuliakan kita pada hari Asyura’. Lalu Nabi SAW bersabda:

نَعَمْ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَالْأَرَضِينَ كَمِثْلِهِ، وَخَلَقَ الْعَرْشَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَالْكُرْسِيَّ كَمِثْلِهِ، وَخَلَقَ الْجِبَالَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ وَالنُّجُومَ كَمِثْلِهِ، وَخَلَقَ الْقَلَمَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ وَاللَّوْحَ كَمِثْلِهِ، وَخَلَقَ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ وَمَلَائِكَتَهُ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَخَلَقَ آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَحَوَّاءَ كَمِثْلِهِ، وَخَلَقَ الْجَنَّةَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَأَسْكَنَ آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَوُلِدَ إِبْرَاهِيمُ خَلِيلُ الرَّحْمَنِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَنَجَّاهُ اللَّهُ مِنَ النَّارِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَفَدَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَأَغْرَقَ فِرْعَوْنَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَرَفَعَ إِدْرِيسَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَكَشَفَ اللَّهُ عَنْ أَيُّوبَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَرَفَعَ عِيسَى بْنَ مَرْيَمَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَوُلِدَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَتَابَ اللَّهُ عَلَى آدَمَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَغَفَرَ ذَنْبَ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَأُعْطِيَ مِلْكُ سُلَيْمَانَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَوُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَاسْتَوَى الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى الْعَرْشِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ، وَيَوْمُ الْقِيَامَةِ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ
“Benar, Allah menciptakan langit pada hari Asyura’ dan bumi seperti itu juga (pada hari Asyura’ juga). Dan Allah menciptakan Arsy (العرش) pada hari Asyura’ dan al-Kursi (الكرسي) seperti itu juga. Dan Allah menciptakan bukit pada hari Asyura’ dan bintang seperti itu juga. Dan Allah menciptakan al-Qalam (القلم) pada hari Asyura’ dan al-Lauh (اللوح) seperti itu juga. Dan Allah menciptakan Jibril AS pada hari Asyura’ dan malaikatnya pada hari Asyura’. Dan Allah menciptakan Adam pada hari Asyura’ dan Hawa seperti itu juga. Dan Allah menciptakan syurga pada hari Asyura’. Dan Allah menempatkan (di syurga) pada hari Asyura’. Dan lahirnya Ibrahim Khalil al-Rahman pada hari Asyura’. Dan Allah selamatkan Ibrahim daripada api pada hari Asyura’. Dan Allah melepaskan Ibrahim pada hari Asyura’. Dan Allah menenggelamkan Firaun pada hari Asyura’. Dan Allah mengangkat Idris AS pada hari Asyura’. Dan Allah menyembuhkan Ayub pada hari Asyura’. Dan Allah mengangkat Isa bin Maryam pada hari Asyura’. Dan Isa lahir pada hari Asyura’. Dan Allah menerima taubat Adam pada hari Asyura’. Dan Allah mengampunkan dosa Daud AS pada hari Asyura’. Dan Allah menganugerahkan Sulaiman sebuah kerajaan pada hari Asyura’. Dan Nabi SAW lahir pada hari Asyura’. Dan Allah beristiwa’ di atas Arsy pada hari Asyura’ dan hari Kiamat berlaku pada hari Asyura’.” 

Di sini, kami datangkan beberapa pendapat para ulama’ dalam menyatakan hukum terhadap riwayat ini:

1. Imam al-Baihaqi (458 H) mengatakan bahawa mustahil kesemuanya berlaku pada hari Asyura’. Maka ini menunjukkan bahawa lemahnya atau dhaifnya khabar (riwayat) ini. [Lihat: Fadhail al-Awqat, 439/1]
2. Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai palsu dengan tidak syak lagi. [Lihat: al-Mawdhu’at, 203/2]
3. Imam al-Suyuthi (911 H) juga menilai riwayat ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-La’ali al-Masnu’ah, 92/2]
4. Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani (963 H) menghukum riwayat ini sebagai tidak sahih. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah, 149-150/2]
5. Syeikh al-Laknawi al-Hindi (1304 H) menyatakan bahawa riwayat ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-Athar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Mawdhu’ah, 94/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih dan begitu juga dengan sebuah lagi riwayat yang hampir sama dengan riwayat  di atas tetapi ia diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Namun, di sini kami sertakan sebuah hadith yang sahih berkaitan hubungan puasa Asyura’ dengan kisah Nabi Musa AS.

Daripada Ibn Abbas R.anhuma berkata: Apabila Rasulullah SAW sampai di Madinah. Baginda SAW mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’ lalu baginda SAW bertanya kepada mereka (sebab mereka berpuasa). Mereka (orang Yahudi) menjawab: “Ini adalah hari di mana Allah SWT telah memenangkan Nabi Musa ke atas Fir’aun. Maka Nabi SAW bersabda:

نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوهُ
“Kami lebih utama terhadap Nabi Musa berbanding mereka (orang Yahudi). Maka berpuasalah kamu pada hari tersebut (hari Asyura’).” [Riwayat al-Bukhari (4737)]

Penutup

Kesimpulannya, riwayat berkaitan penisbahan puasa Asyura’ dengan kisah para Rasul adalah tidak sahih melainkan apa yang kami nyatakan di atas iaitu hubungannya dengan kisah Nabi Musa AS. Selain itu, kita juga boleh merujuk kepada beberapa buah karya yang membicarakan berkaitan amalan-amalan yang boleh dilakukan mengikut bulan-bulan tertentu seperti Lathaif al-Ma’arif oleh Imam Ibn Rejab, Fadhail al-Awqat oleh Imam al-Baihaqi dan lain-lain lagi. Akhirnya, marilah kita berazam untuk meningkatkan amal soleh kita terutama pada hari Asyura’ dengan berpuasa serta ditambah dengan amalan-amalan yang lain. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan serta menerima segala amal kebajikan yang kita telah lakukan. Amin.

Wallahua’lam

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penjinak sepenuh masa di Oh! Media. Telah mencipta jenama ini sejak dari dalam perut mak lagi | Instagram

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending Bulan Ini

Ohmedia Banner
Ke Atas