Connect with us

Oh! Media

Hormatilah Bendera Malaysia

Umum

Hormatilah Bendera Malaysia

Maksud Bendera dalam Islam

ADVERTISEMENT

Bendera mempunyai pelbagai nama. Jika kita melihat dalam bahasa Arab dan sejarah Islam ada beberapa nama yang masyhur sebagai istilah yang menunjukkan makna bendera, antaranya al-Liwa’ (اللِّوَاءُ), ar-Rayah (الرَّايَةُ), al-‘Alam (الْعَلَمُ) dan al-‘Uqab (العُقَاب).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Al-Liwa’ (اللِّوَاءُ), al-Rayah (الرَّايَةُ) dan al-‘Alam (الْعَلَمُ) adalah satu perkara dengan sebutan berbeza.” Beliau berkata: “Al-Liwa’ dengan huruf lam yang dibaca kasrah dan waw panjang adalah ar-Rayah (bendera) dan disebut juga dengan al-‘Alam.” (Lihat Fath al-Bari, 6/126)

Ia menjadi simbol dan memberi makna sesebuah negara, negeri, blok, pasukan, jabatan atau lain-lain. Ia sentiasa dikibarkan bagi menunjukkan kedaulatan dan penguasaan negara tersebut pada satu-satu tempat.

Antara hadis dan athar yang menggambarkan tentang bendera dan panji pasukan perang semasa zaman Nabi SAW ialah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ لِوَاءُ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْيَضَ ، وَرَايَتُهُ سَوْدَاءَ
“Bendera (Liwa) Rasulullah SAW berwarna putih, dan panjinya (Rayah) berwarna hitam.” [Riwayat Al-Hakim dalam al-Mustadrak (2506) dan al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (4/376)]

Begitu juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَتْ رَايَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَوْدَاءَ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ، مَكْتُوبٌ عَلَيْهِ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ
“Panji (rayah) Rasulullah SAW berwarna hitam, dan benderanya (liwa’) berwarna putih, tertulis padanya: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ.” [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (219)]

Ketika peristiwa penaklukan kota Mekah, dicatatkan bahawa Rasulullah SAW memasuki kota Mekah dengan membawa bendera (al-liwa’) berwarna putih. Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ دَخَلَ مَكَّةَ ، يَوْمَ الْفَتْحِ وَلِوَاؤُهُ أَبْيَضُ
“Bahawa Nabi SAW memasuki kota Mekah ketika Peristiwa Pembukaan dengan benderanya (liwa’) berwarna putih.” [Riwayat Ibn Majah (2817), Abu Daud (2594), al-Tirmizi (1679) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13441)]

Syeikh Abdul Hayyi al-Kattani menjelaskan rahsia bahawa jika suatu kaum berhimpun di bawah satu panji/bendera, itu bererti panji/bendera itu menjadi tanda kesatuan pendapat mereka (ijtima’i kalimatihim) dan persatuan hati mereka (ittihadi qulubihim). Dengan demikian mereka bagaikan satu tubuh. (Lihat al-Taratib al-Idariyyah oleh Abd al-Hayyi al-Kattani, 1/266)

Panji pasukan pada zaman Nabi SAW sangat diutamakan serta tidak dibuat sewenang-wenangnya. Ibn Battal ketika menjelaskan tentang al-Rayah sebagai berikut: “Dalam hadis tersebut (hadis pemberian bendera oleh Rasul pada pemimpin perang), diketahui bahwa al-Rayah tidak wajib dibawa kecuali oleh orang yang diberi kuasa oleh Imam (Pemimpin Negara) dan tak mempunyai autoriti apa pun bagi orang yang mengambilnya kecuali dengan adanya mandat kekuasaan.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/ 141)

Begitu juga sepertimana dijelaskan oleh Ibn al-Athir dengan katanya: “Tidaklah boleh memegang al-Liwa’ kecuali pemimpin pasukan tentera.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 4/279)

Mengapakah Negara Kita Mempunyai Bendera Kebangsaan?

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan seperti berikut dengan sedikit tafsiran. Antaranya untuk:

  • membangkitkan semangat patriotik
  • menimbulkan rasa bangga terhadap negara
  • tanda ketaatan dan negara
  • lambang kemegahan penduduk
  • lambang rasmi negara
  • identiti sesebuah negara
  • lambang kedaulatan negara

Kesemua alasan di atas, apabila kita melihat acara rasmi negara masing-masing, begitu juga acara sukan seperti Sukan Olimpik, Bola Sepak Piala Dunia dan lain-lain akan dijulang bendera pemenang serta dinyanyikan lagu kebangsaan masing-masing. Bahkan sebelum perlawanan diarak bendera negara masing-masing dan dinyanyikan lagu kebangsaan negara mereka. Ada yang menitiskan air mata sebagai petanda cintakan kepada negara mereka. Hal ini akan dirasai oleh seseorang rakyat yang mempunyai semangat patriotik kepada negaranya.

Ini sudah berlaku kepada rakyat Malaysia yang mewakili negara dengan bangganya menjulang jalur gemilang serta menyanyikan lagu kebangsaan. Kita boleh rujuk dalam arkib.

Tanggungjawab Kita Terhadap Bendera

Kami nyatakan di sini antara tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh rakyat sesebuah negara terhadap Bendera Kebangsaan masing-masing:

1. Mempertahankannya dari dijatuhkan atau dihina.

Sejarah peperangan dalam Islam jelas menunjukkan Rasulullah SAW mengurniakan bendera kepada panglima atau ketua pasukan. Mereka menganggap amanah yang cukup besar yang wajib dipertahankan dan tidak boleh dijatuhkan sementelahan lagi dari pihak musuh atau dihina. Peperangan Mu’tah menunjukkan bagaimana Ja’far bin Abi Talib R.A menjaga dan mempertahankan bendera sekalipun kedua-dua belah tangannya ditetak, tetapi tetap mempertahankan bendera dengan tunggul tangan yang berbaki.

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebut: “Setelah Zaid bin Harithah menemui syahid, panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib. Beliau juga tidak kurang hebatnya dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya. Kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya.

Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid. Ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang tentera Rom sehingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang membolehkan beliau terbang di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang dia mahu. Kerana itu beliau dikenali sebagai Ja’far al-Tayyar dan Jaafar Zu al-Janahain (yang mempunyai dua sayap).”

Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Ibn Umar R.Anhuma telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, pada tubuhnya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.

Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: “Aku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan. Kami mencari Jaafar dan kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid. Kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh liang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi’. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya.

Ketika Jaafar gugur syahid selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam lantas disambar oleh Abdullah bin Rawahah. Kemudian beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 275-276)

2. Jangan memijak bendera

Ini kerana memijak bendera sendiri seolah-olah tidak menghormati negara kita sendiri. Saya teringat kisah perhimpunan pemimpin-pemimpin dunia. Sebagai petanda setiap pemimpin dari sudut susunan kedudukan yang ditetapkan, maka dilihat di bawah kakinya bendera masing-masing. Tiba-tiba Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengambil bendera negaranya Turki dan menyimpan dalam sakunya. Peristiwa ini memaknakan betapa sensitifnya seseorang yang memahami tentang bendera masing-masing.

3. Memacakkan bendera pada tempat yang tinggi

Pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada tahun 1485 Masihi bersamaan 857 Hijrah berjaya selepas hampir 54 hari dikepung. Akhirnya panglima tentera Turki, Hasan Ulubatli telah memacak bendera di tembok tertinggi kerajaan Konstantinopel sekaligus memarakkan lagi semangat tentera Uthmaniyah dalam mentahqiqkan hadis Nabi SAW yang berbunyi:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ ، فَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا ، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ
“Sesungguhnya Konstantinopel akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu.” [Riwayat Ahmad (18957) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (8300)]

4. Jangan sekali-kali memasang bendera secara terbalik

Ini akan memberi banyak maksud serta persepsi yang tidak baik sama ada ketidakcaknaan dan keprihatinan kedudukan bendera itu sendiri. Pada Jumaat yang lepas, 23 Ogos 2019, sebelum mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk solat Jumaat di Masjid Salahuddin al-Ayyubi, Taman Melati, saya sempat bersama rakan menjamu selera di salah sebuah restoran Arab di sekitar tersebut. Saya melihat beberapa pekerja Arab sedang memasang bendera Malaysia. Bendera yang pertama dipasang dengan benar dan betul. Kemudian, mereka mahu memasang satu lagi bendera. Pada awalnya, mereka cuba silangkan, tetapi kemudian mereka membetulkan semula berdasarkan kepada kedudukan bendera pertama. Maka terdetik pada hati saya, walaupun mereka tidak memahami maksud yang mendalam berkenaan dengan makna dan tafsiran bendera Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya mereka mengambil kecaknaan dalam pemasangan bendera Malaysia.

5. Menggantikan bendera yang lusuh dengan yang baru

Ini kerana ia merupakan lambang sesebuah negara yang perlu dihormati. Makanya bendera yang lusuh, carik, rosak dan koyak akan menunjukkan rakyat yang kurang prihatin terhadap lambang negara iaitu bendera yang sebenarnya bukti kasih dan cinta kita kepada negara.

Cadangan Kami

Kami kemukakan di sini beberapa cadangan:

  • Wujudkan hari Bendera Malaysia. Ini sebagai tajdid, sokongan dan dokongan serta kasihkan negara.
  • Mulakan Berita Perdana jam 8 malam dengan kibaran bendera Malaysia serta lagu Kebangsaan kerana ia adalah waktu puncak bagi penonton.
  • Kibarkan Jalur Gemilang pada bangunan kerajaan, swasta dan syarikat.
  • Popularkan lagu Bendera Malaysia. Setakat dapatan kami, telah terdapat sekurang-kurangnya dua buah lagu iaitu Jalur Gemilang dan Benderaku.
  • Masukkan silibus dalam subjek Sivik pada peringkat Sekolah Rendah dan sejak Tadika lagi akan semangat patriotik serta menghormati bendera Malaysia dan lagu Negaraku.

Penutup

Kami nukilkan di sini kata-kata pujangga, antaranya:

  • Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negara saya dan keadilan.”
  • R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang mencintai dan bangga pada negaranya sendiri, kerana dia dilahirkan di negara itu.” (Lihat Negara Sejahtera Rahmat untuk Semua, hlm. 4)

Berdasarkan kepada situasi semasa dan juga keperluan memberi kefahaman kepada masyarakat dan rakyat berkenaan dengan peri pentingnya menghormati Bendera Kebangsaan, maka kami cadangkan agar kerajaan menggubal suatu akta berkenaan penggunaan bendera Malaysia atau logo rasmi Malaysia bagi memastikan rakyat menghormati dan mencintai bendera yang menjadi kebanggaan negara. Hal seperti ini sudah berlaku di negara lain seperti Amerika Syarikat, India dan Singapura yang mempunyai Akta Bendera yang tersendiri.

Masyarakat hendaklah diberi kefahaman yang jelas dan mereka perlu mengubah sikap serta mentaliti berkenaan dengan Bendera Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Jalur Gemilang menjadi lambang identiti negara tempat tumpah darah kita. Adalah tidak wajar untuk mengambil mudah dan enteng perihal menjaga martabat identiti negara seperti Bendera Kebangsaan dan juga lagu Kebangsaan.

Semoga negara kita Malaysia sentiasa aman dan masyarakatnya berpadu erat dalam membangun ke arah kegemilangan. Marilah sama-sama kita kibarkan jalur gemilang sempena sambutan Hari Merdeka pada tahun ini dengan lebih gah dan izzah.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas