Connect with us

Oh! Media

Kemerdekaan: Marilah Kita Mempertahankannya

Umum

Kemerdekaan: Marilah Kita Mempertahankannya

Kemerdekaan dalam Islam

ADVERTISEMENT

Banyak sejarah membuktikan pembukaan Islam ke serata pelusuk tanah Arab dan ‘ajam menyaksikan sebuah kelahiran semula dan kebebasan hidup sehingga sifat manusiawi diberi penghormatan tanpa sebarang bentuk penindasan dan kezaliman. Sebagai contoh, bagaimana Salahuddin al-Ayyubi buat pertama kalinya menguasai Baitul Maqdis selepas dikalahkan oleh musuh Islam. Begitu juga, ucapan Sultan Muhammad al-Fateh ketika pembukaan kota Konstantinopel dengan penuh tawaduk dan toleransi serta tasamuh yang amat tinggi.

Pembukaan Kota Mekah

Kami hanya menyebut peristiwa bersejarah pembukaan kota Mekah yang dikenali sebagai Umm al-Qura. Kami menganggap pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan 8 Hijrah sebagai ibu kemerdekaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan toleransi yang amat tinggi, yang patut ditulis dengan tinta emas kerana mengembalikan hak insani dan karamah basyariyyah (kemuliaan manusia).

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menyebut peristiwa tersebut dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum seperti berikut: Setelah kota Mekah dibuka dan Rasulullah bersama umat Islam memasukinya, Baginda lalu menuju ke al-Masjid al-Haram. Di sana Baginda kemudian bertawaf mengelilingi Kaabah. Baginda menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil berkata:

جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
“Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” [Surah al-Haj (81)]


قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Katakanlah lagi: “Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.” [Surah Saba’ (49)]

Pada masa yang sama berhala-berhala pun jatuh dan tumbang, hancur berkecai. Selepas menyempurnakan bilangan tawaf, Baginda lalu masuk ke dalam Kaabah. Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar serta ukiran kayu seekor burung merpati, lalu Baginda memecahkannya. Manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkan.

Selepas itu Baginda Rasulullah SAW menutup pintu Kaabah dalam keadaan Baginda masih di dalam Kaabah bersama Usamah bin Zaid dan Bilal bin Rabah. Di situ Baginda berdiri dengan membelakang pintu Kaabah dan bersembahyang. Setelah itu, Baginda berjalan-jalan di dalamnya, bertakbir di setiap penjurunya dan menyebut kalimah Tauhid.

Kemudian barulah Baginda membuka pintu Kaabah. Pada masa itu, kaum Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf sambil menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas mereka.

Rasulullah memegang pintu Kaabah, manakala khalayak Quraisy menunggu di bawah. Baginda lalu bersabda:

لَا إِلَه إِلَّا اللَّه وَحْده لَا شَرِيك لَهُ صَدَقَ وَعْده وَنَصَرَ عَبْده وَهَزَمَ الْأَحْزَاب وَحْده…
“Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada sekutu bagi-Nya, benar janji-Nya, membantu hamba-Nya, mengalahkan golongan Ahzab sendiri-Nya.”

“Ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan jahiliah sama ada harta benda atau darah kesemuanya sekarang berada di bawah kakiku ini, kecuali kuasa untuk mengurus Kaabah dan memberi minum kepada orang ramai yang berhaji. Fahamilah, membunuh itu adalah salah sama sekali, sama ada dengan pembunuhan yang disengajakan, dengan menggunakan senjata ataupun kayu pemukul. Jika hal ini berlaku, maka hukuman berat akan dikenakan, iaitu seratus unta, yang mana 40 daripadanya adalah anak yang masih dalam kandungannya.

Wahai orang-orang Quraisy! sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Surah al-Hujurat (13)]

Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya:

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، مَا تُرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ فِيكُمْ؟ قَالُوا: خَيْرًا، أَخٌ كَرِيمٌ، وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ، قَالَ: فَإِنِّي أَقُول لَكُمْ كَمَا قَالَ يُوْسُف لِإخْوَتِه : { لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ} ، اذْهَبُوا ، فَأَنْتُمْ الطُّلَقَاءُ
“Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu fikirkan akan kulakukan terhadap kamu semua?”


Jawab mereka: “Tentulah yang baik, kerana engkau seorang saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia.”


Maka jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu sepertimana Yusuf telah berkata kepada saudara-saudaranya: “لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ” (Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu). Ayuh beredarlah. Kamu semua bebas.”
(Lihat Sirah Ibn Hisyam, 2/412 dan al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 289-291)

Tanggungjawab Kita Dalam Mempertahankan Negara

Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajiban kita bersama sebagai rakyat jelata. Sebagai contoh, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW telah menyebut semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah.

Di samping itu, membina negara ke arah yang cemerlang dari semua aspek agar kita sentiasa bersama dengan negara maju dan moden serta tidak ketinggalan dalam pelbagai bentuk pembangunan.

Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang dan ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara amat menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara.

Hal ini sudah pasti menatijahkan banyak kebaikan dalam kehidupan kita serta perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan negara kita.

Harapan Kami

Sebagai warganegara Malaysia dan menghayati Hari Kemerdekaan yang penuh bermakna, makanya kami amat berharap agar Malaysia yang kita semua cita-citakan akan dapat mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kami berpendapat, merdeka yang sebenar adalah:

  • Merdeka dari belenggu penjajah.
  • Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri).
  • Merdeka dari penjajahan ekonomi.
  • Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau.
  • Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia.
  • Merdeka dari akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina.
  • Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk.
  • Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
  • Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah.
  • Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara.
  • Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumahtangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga.
  • Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia.

Penutup

Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia hasil daripada kemerdekaan. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan pentadbir sejak dahulu, makanya kita dapati pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat telah disediakan oleh pemerintah.

Kami mengharapkan keamanan dan keteguhan perpaduan dapat dijelmakan oleh masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat ras majmuknya.

Antara pengekalan nikmat kurniaan Tuhan ini adalah dengan sentiasa mematuhi titah perintah-Nya. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” [Surah al-Haj (41)]

Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya:
وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)

Sayyid Qutb berkata: “Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”;
أَقَامُوا الصَّلَاةَ
Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya;
وَآتَوُا الزَّكَاةَ
Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat;
وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ
Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan;
وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ
Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan.” (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)

Prof Dr Hamka berkata:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”
Ertinya telah Kami tolong dan berhasil perjuangan mereka melawan kezaliman itu, “mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.” Dengan susunan ayat seperti ini bukanlah bererti bahawa mereka baru mendirikan sembahyang dan kukuh di muka bumi, atau setelah mereka menang menghadapi musuh-musuhnya, bahkan sejak semula, perjuangan keyakinan dan keimanan kepada Tuhan itulah pegangan teguh mereka. (Lihat Tafsir al-Azhar, 17/177)

Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan kepada pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia dengan ucapan dan doa, selamat menyambut kemerdekaan kali ke-62. Semoga Allah limpah dan kurniakan kepada kita kebahagiaan hidup dengan afiyat, selamat, taufik, kemurahan rezeki, kesihatan yang baik dan segala kebaikan. Amin.

Sempena tema Hari Merdeka tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ akan dapat direalisasikan terutamanya dari aspek penekanan peri pentingnya perpaduan rakyat serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Insya Allah, Malaysia akan menuju kepada negara yang maju, makmur, aman dan damai sehingga mentahqiqkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas