Connect with us

Oh! Media

“Seolah-Olah Anak Saya Pula Yang Bersalah” – Bapa Zulfarhan ‘Kecewa’ Sikap Keluarga Tertuduh

Trending

“Seolah-Olah Anak Saya Pula Yang Bersalah” – Bapa Zulfarhan ‘Kecewa’ Sikap Keluarga Tertuduh

Umum mengetahui, Mahkamah Tinggi hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun terhadap enam pelajar yang terlibat dalam kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

ADVERTISEMENT

BACA: Terlepas Hukuman Mati, Enam Tertuduh Dipenjara 18 Tahun Cederakan Zulfarhan

Hukuman itu dijatuhkan kepada pelajar-pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh ke atas arwah.

Lima daripada enam pelajar itu juga turut dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun bersama 12 rakannya yang lain mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Menurut Harian Metro, hukuman mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan kepada lima pelajar itu akan berjalan serentak dengan hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Bapa Zulfarhan beri reaksi selepas tamat pembicaraan

Selepas keputusan kes itu tamat, Bapa kepada Zulfarhan, Zulkarnain Idros bagaimanapun reda dan berterima kasih kepada pihak mahkamah kerana telah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada pelaku.

Katanya ketika ditemui di Lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dia tetap bersyukur arwah anaknya mendapat keadilan walaupun pelaku tidak dikenakan hukuman gantung.

Saya mengucapkan terima kasih kepada kepada tuan arif kita yang telah memberikan keputusan yang sewajarnya walaupun tidak kepada hukuman gantung mengikut Seksyen 302.

Bagaimanapun, saya dimaklumkan pihak pendakwa raya akan failkan ke mahkamah rayuan dalam masa 14 hari dan tertuduh juga akan failkan pembelaan di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Zulkarnain juga turut menitipkan pesan terhadap orang ramai agar mengambil iktibar terhadap kes yang terjadi dan mengelakkan gejala buli.

Saya pesan kepada masyarakat di luar sana supaya janganlah jadi pembuli. Buli itu membahayakan orang ramai , boleh menghilangkan nyawa dan akan memberi kesan kepada ibu bapa.

Contohnya seperti saya yang kehilangan anak sulung yang menjadi harapan kepada keluarga saya.

Terkilan keluarga tertuduh tidak bertemu dengannya

Selain itu, Zulkarnain juga turut meluahkan rasa terkilan terhadap keluarga tertuduh yang tidak datang bertemu dengannya serta isteri untuk meminta maaf.

Tambahnya, hanya satu keluarga tertuduh sahaja yang bertemu dengannya untuk memohon maaf selain menganggap perbuatan itu seolah-olah menunjukkan anaknya pula yang bersalah.

Keluarga tertuduh mahupun tertuduh langsung tidak datang berjumpa saya dan isteri untuk meminta maaf kepada kami. Seolah-olah seperti anak saya pula yang bersalah.

Bagaimanapun, dia sempat memberikan nasihat kepada keluarga pelaku supaya tidak menjadikan kejadian ini sebagai alasan untuk memutuskan silaturrahim antara masyarakat.

Sudah maafkan pelaku anaknya

Zulkarnain juga turut disoal oleh wartawan sama ada dirinya sudah memaafkan si pelaku terhadap anaknya, menurutnya, dirinya sudah pun memaafkan mereka walaupun berat untuk melakukan perkara itu.

Sejujurnya saya maafkan tertuduh, sekurang-kurangnya mungkin ada kelegaan dalam hati saya.

Tambahnya lagi, dia mengakui mengambil masa selama empat tahun iaitu sehingga hari pembicaraan tamat barulah dirinya mengambil keputusan untuk memaafkan si pelaku anaknya.

Kredit: Kosmo! I Harian Metro

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media

Lagi dalam kategori Trending

Ke Atas