Connect with us

Oh! Media

Oh! Islam

Pejabat Mufti Perjelas Hukum Prank Dalam Islam, Haram Dan Dilarang Jika..

Video ‘prank’ di media sosial hari ini dilihat seakan sudah menjadi satu trend. Ramai yang menjadikan aksi ‘prank’ ini sebagai content untuk meraih tontonan orang ramai.

BACA: Lelaki Tersedar Dirinya Di ‘Prank’ Selepas Menembak Maut Perompak Palsu

IKLAN

Menerusi laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang individu tampil mempersoalkan apakah hukum ‘prank’ dalam islam.

Persoalan itu turut melibatkan hukum memuat naik aksi ke channel Youtube atau media sosial lain.

Jawapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Jelas Pejabat Mufti, ‘prank’ adalah dibolehkan selagi tidak melampaui batas. Perbuatan itu adalah haram dan dilarang jika gurauan keterlaluan seperti menipu, menakut-nakutkan serta membuka aib kepada orang ramai.

Hukum asal bagi gurauan atau prank adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau.

Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.

Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menghasilkan ‘content’ sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain.

Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa. 

Katanya lagi, adalah lebih baik jika ‘content’ digantikan dengan video-video yang boleh memberi manfaat dan pengajaran kepada penonton.

hukum prank

Hasil daripada perbincangan, Pejabat Mufti meringkaskan bahawa unsur-unsur melampau dalam gurauan atau prank adalah seperti berikut.

1. Berbohong

2. Menakut-nakutkan atau membuatkan orang rasa risau

3. Menyebarkan aib

4. Mendatangkan kecederaan dan menyakiti mangsa

Penjelasan lanjut hukum prank

Dalam satu kisah, Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan bahawa dia tidak akan masuk syurga sehingga wanita tua tersebut beredar dengan perasaan yang sedih yang kemudiannya Rasulullah menjelaskan semula bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua tetapi akan masuk dalam keadaan muda.

‌أتت ‌عجوز‌إلى ‌النبي صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله أدع الله أن يدخلني الجنة. فقال يا أم فلان! انّ الجنة لا تدخلها عجوز. قال: فولت تبكي فقال: أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز إن الله تعالى يقول: إِنَّا أَنْشَأْناهُنَّ إِنْشاءً فَجَعَلْناهُنَّ أَبْكاراً عُرُباً أَتْراباً

Maksudnya: Seorang wanita tua datang kepada Nabi s.a.w maka dia berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga. Lalu Rasulullah SAW bersabda, wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua. Lalu wanita tua itu beredar dalam keadaan menangis. Baginda bersabda: khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah SWT berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya (Surah al-Waqiah: 35-37). (Rujuk Syamail Muhammadiyyah h.144)

Oleh itu, dapat difahami bahawa bergurau atau bercanda adalah dibolehkan asalkan tidak melampau seperti menipu, menakut-nakutkan orang, menjatuhkan maruah dan seumpamanya.

Melampau dalam gurauan

Istilah melampau dalam gurauan dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang mana Allah s.w.t melarang perbuatan merendah-rendahkan orang lain, menyebarkan aib orang lain, memanggil orang lain dengan panggilan buruk dan lain-lain.

Selain itu, kami juga ingin menukilkan beberapa hadis berkaitan melampau dalam gurauan sehingga membuatkan orang lain terperanjat atau terkejut kerana ianya adalah salah satu bentuk kezaliman pada orang lain. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، قَالَ حَدَّثَنَا أَصْحَابُ، مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُمْ كَانُوا يَسِيرُونَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَانْطَلَقَ بَعْضُهُمْ إِلَى حَبْلٍ مَعَهُ فَأَخَذَهُ فَفَزِعَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Maksudnya: Daripada Abdurrahaman Bin Abu Laila, beliau berkata, para sahabat Nabi Muhammad s.a.w bermusafir bersama baginda. Salah seorang dari mereka tertidur lalu ada sebahagian sahabat yang mengambil dan menarik tali yang ada bersamanya sehingga orang yang tidur itu terkejut, maka Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak halal bagi seorang muslim membuat saudara muslimnya terkejut. Sunan Abi Daud (5004)

Ibn Raslan menerangkan bahawa perbuatan memeranjatkan orang tersebut adalah salah satu bentuk kezaliman pada mangsa.

وفي معنى هذا النهي كل من روع مسلمًا أو خوفه، كأن يكون في ظلمة أو غفلة

Maksudnya: Dan pada makna larangan ini setiap perbuatan membuat orang islam terkejut atau takut adalah suatu kezaliman dan kelalaian. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud 164-165/19)

Terdapat juga bentuk gurauan yang mengambil barang orang lain bagi tujuan bergurau dengan pemilik barang tersebut. Kebiasaannya pemilik barang akan rasa risau dan sedih apabila barangannya hilang. Rasulullah s.a.w bersabda:

لاَ يَأْخُذَنَّ أَحَدُكُمْ مَتَاعَ أَخِيهِ لاَعِبًا وَلاَ جَادًّا

Maksudnya: Tidak boleh sama sekali kamu mengambil barang salah seorang daripada saudara kamu kerana gurauan atau serius. Sunan Abi Daud (5003)

Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abbad menerangkan bahawa larangan terhadap perbuatan tersebut adalah kerana ianya akan membuatkan seseorang rasa risau dan sedih.

أن ذلك منهي عنه إذا ترتب عليه فزع الإنسان أو ذعر الإنسان أو حزن الإنسان

Maksudnya: Perkara tersebut dilarang sekiranya menyebabkan unsur menakut-nakutkan atau merisaukan orang atau membuatkannya sedih. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud lil ‘Abbad No.568)

Tambahan lagi, kadang-kala prank atau gurauan tersebut boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang yang menjadi mangsa prank tersebut. Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin turut meriwayatkan satu hadis lain yang menyatakan perbuatan tersebut dibenci oleh Allah s.w.t.

وَقَالَ صلى الله عليه وسلم إن الله يكره أذى المؤمنين

Maksudnya: Dan Rasulullah bersabda, sesungguhnya Allah s.w.t membenci orang yang menyakiti orang-orang beriman. (Rujuk Ihya’ Ulumuddin 195/2)

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh!Media.

Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.

Lagi dalam kategori Oh! Islam

Oh.. Hai awak 👋
Trending terus kepada anda

Rangkuman ini akan mengumpulkan semua berita pilihan penulis yang popular setiap hari dan terus dihantarkan kepada anda. Ianya percuma!

Kami tidak akan spam! Baca privacy policy kami.

Trending Bulan Ini

Ohmedia Banner
Ke Atas