Connect with us

Oh! Media

Sahabat Nabi SAW Yang Namanya Disebut Dalam Al-Quran

Umum

Sahabat Nabi SAW Yang Namanya Disebut Dalam Al-Quran

SOALAN:
Siapakah di antara sahabat Nabi SAW yang disebut namanya di dalam al-Quran. Boleh ceritakan sedikit berkenaan dengannya.

JAWAPAN:

Surah al-Ahzab Ayat ke 37

Tujuan al-Quran yang diturunkan kepada Baginda Nabi SAW di antaranya adalah menjelaskan dan menjawab persoalan yang diajukan oleh para sahabat Nabi SAW. Terdapat pelbagai kisah dan cerita berkenaan dengan sahabat Nabi SAW yang dirakamkan di dalam al-Quran, namun hanya seorang sahaja yang disebut namanya di dalam al-Quran secara jelas, iaitu sahabat Nabi SAW yang bernama Zaid bin Harithah. Ini sepertimana firman Allah SWT:

وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِي أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَاتَّقِ اللَّـهَ وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّـهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّـهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَاهُ ۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا لِكَيْ لَا يَكُونَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِي أَزْوَاجِ أَدْعِيَائِهِمْ إِذَا قَضَوْا مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ اللَّـهِ مَفْعُولًا
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” (Surah al-Ahzab: 37)

Surah ini mengisahkan perihal sahabat Nabi SAW merangkap anak angkat Baginda SAW iaitu Zaid bin Harithah dan isterinya Zainab binti Jahsyi. Syeikh al-Maraghi menyebut di dalam tafsirnya, ayat ini mengisahkan tentang perkahwinan Zaid bin Harithah dengan Zainab binti Jahsyi. Zainab dipinangi oleh Baginda Nabi SAW untuk dikahwinkan dengan Zaid. Selain itu, ayat ini juga menceritakan hal penceraian mereka, serta pernikahan Zainab dengan Baginda Nabi SAW dan ianya bertujuan menghapusan amalan dan adat masyarakat jahiliyyah yang melarang berkahwin dengan isteri yang diceraikan oleh anak angkat. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 22/11)

Dr Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya athar yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Ahmad dan al-Nasai daripada Sayyidina Anas R.A menceritakan, selepas iddah Zainab bin Jahsyi berakhir, Baginda SAW memerintahkan Zaid menemui Zainab supaya menceritakan tentang Baginda SAW untuk menikahinya. Kemudian Zainab berkata: “Aku tidak akan melakukan apa-apa melainkan selepas aku memohon pertunjuk kepada Allah SWT.” Lalu Allah SWT menurunkan ayat ini. (Lihat: al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 22/27)

Zaid bin Harithah

Imam Zahabi menyatakan di dalam kitabnya, nama sebenar beliau ialah Zaid bin Harithah Syarahil al-Kalbi. Beliau sangat dicintai oleh Rasulullah SAW dan beliau merupakan antara sahabat R.A yang awal beriman. Beliau wafat ketika berumur 55 tahun, di dalam riwayat yang lain 50 tahun atau dalam lingkungan itu.

Zaid bin Harithah merupakan anak angkat Baginda Nabi SAW dan beliau juga pernah digelar sebagai Zaid Ibnu Nabi SAW sehinggalah Allah SWT melarang berbinkan ayah angkat kepada anak angkatnya kerana kepentingan agama menjaga nasab dan keturunan. Lalu Allah SWT menurunkan ayat:

مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu.” (Surah al-Ahzab: 40)

Begitu juga Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ
“Dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri.” (Surah al-Ahzab: 4)

Imam Zahabi menukilkan riwayat Usamah bin Zaid R.A daripada bapanya menyatakan sesungguhnya perbezaan umur Rasulullah SAW dengan Zaid bin Harithah adalah sepuluh tahun. Dalam riwayat yang lain menyebut warna kulit Zaid bin Harithah putih manakala anaknya gelap.

Abu Ishaq al-Sabi’ie menyebut, Zaid bin Harithah telah diculik oleh penculik berkuda daripada Tihamah lalu dijual, beliau dibeli oleh Sayyidatina Khadijah R.Anha kemudian diberi kepada Nabi SAW. Diriwayatkan bahawa beliau berharga 700 dinar. (Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’,2/89)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta penjelasan yang diberikan jelaslah bahawa nama sahabat Baginda Nabi SAW yang disebutkan di dalam al-Quran adalah Zaid bin Harithah R.A. Nama beliau disebut di dalam ayat ke 37 surah al-Ahzab yang menceritakan tentang kisah perkahwinan Zaid R.A dan isterinya Zainab binti Jahsyi R.Anha.

Selain itu, di dalam ayat ini juga menjelaskan bahawa dibenarkan berkahwin dengan bekas isteri anak angkat dan menafikan adat amalan masyarakat jahiliyyah yang melarang berkahwin dengannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syariat-Nya dengan sebaiknya.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top