Connect with us

Oh! Media

Petunjuk Syarak Mengenai Ucapan Menyambut Ramadhan

Umum

Petunjuk Syarak Mengenai Ucapan Menyambut Ramadhan

Soalan:
Selalu kita lihat dalam kalangan masyarakat mengucapkan ungkapan “Ramadhan Al-Mubarak”, “Selamat berpuasa”, dan seumpamanya. Adakah terdapat petunjuk syarak dalam hal ini?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Kami mulakan jawapan bagi persoalan di atas ini dengan menjelaskan definisi tahniah terlebih dahulu. Dari sudut bahasa tahniah bermaksud: “Memberikan ucapan-ucapan yang menyenangkan lagi menggembirakan sempena dengan keraian-keraian tertentu.”

Dalam isu ucapan-ucapan selamat bersempena dengan ketibaan bulan-bulan tertentu atau hari-hari tertentu, kita menyatakan bahawa ia termasuk dalam perkara-perkara adat yang mana hukum asal bagi kesemuanya ini adalah harus selama mana tidak terdapatnya dalil yang melarang. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur:

أن الأصل في جميع العادات القولية والفعلية الإباحة والجواز
“Sesungguhnya hukum asal bagi keseluruhan adat sama ada perkataan dan juga perbuatan adalah harus dan dibolehkan.”

Oleh yang demikian, ucapan-ucapan aluan sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak seperti galakan dan anjuran untuk memperbanyakkan amalan ibadat di dalam bulan Ramadhan adalah berada di dalam lingkungan adat dan budaya masyarakat.

Bahkan di sana terdapatnya juga beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa amalan ini menjadi budaya yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, serta turut menjadi pengamalan para salafussoleh.


Ini seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ
“Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang merupakan suatu bulan yang diberkati. Allah telah memfardhukan ke atas kamu untuk berpuasa di dalamnya. Pada bulan ini dibuka pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka, serta dirantai syaitaan-syaitan yang jahat. Pada bulan ini terdapatnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang terhalang dari mendapatkan kebaikan malam itu sesungguhnya dia telah terhalang (dari rahmat Allah).” [Riwayat Al-Nasaie (2106)]

Kata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam ulasan beliau ke atas hadis ini:

وكان النبي صلى الله عليه وسلم يبشر أصحابه بقدوم رمضان
“Adalah Nabi S.A.W memberikan khabar gembira kepada para sahabatnya dengan ketibaan bulan Ramadhan.” [Rujuk Latha’if al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 147)]

Manakala sebahagian para ulama menyatakan bahawa hadis di atas ini merupakan asal bagi perbuatan mengucapkan selamat (tahniah) antara satu sama lain dalam kalangan orang Islam dengan kedatangan bulan Ramadhan.

Kata Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari: “Hadis ini merupakan asal bagi ucapan tahniah yang menjadi budaya pada awal bulan-bulan yang diberkati.” [Lihat Mirqat al-Mafatih, Mulla Ali al-Qari (4/1365)]

Begitu juga kata Syeikh Abd al-Ghani bin Yasin al-Labadi yang menyebut: “Adapun ucapan tahniah dengan ketibaan dua hari raya, tahun-tahun, dan juga bulan-bulan, sebagaimana yang menjadi adat kebiasaan orang ramai, maka aku tidak melihat satupun nas (akannya) di sisi para ashab kami. Dan diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. memberi khabar gembira kepada para sahabat baginda akan kedatangan bulan Ramadhan.” [Rujuk Hasyiah Al-Labadi, Abd al-Ghaniy Al-Labadi (1/99)]

Demikian juga yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami yang menukilkan kata-kata Al-Syeikh Al-Maquliy: Aku tidak melihat suatu pun pandangan dari para ashab kami berkenaan isu ucapan tahniah dengan hari raya, tahun-tahun, dan juga bulan-bulan sebagaimana yang menjadi adat kebiasaan orang ramai. Akan tetapi Al-Hafiz Al-Munziri telah menukilkan daripada Al Hafiz al-Maqdisi bahawa beliau menjawab isu tersebut dengan katanya: “Orang ramai sentiasa berselisih pandangan tentang hal tersebut. Menurut pandangan aku, perbuatan tersebut adalah harus. Tidak ada sunnah padanya dan tidak pula ianya bidaah.” [Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar Al-Haitami (3/56)]

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa isu mengucapkan selamat dengan ketibaan bulan Ramadhan atau bulan Syawal dan anjuran selamat berpuasa dan seumpamanya adalah dibolehkan. Ini memandangkan kesemuanya ini adalah perkara-perkara adat yang tidak bercanggah dengan syarak bahkan tidak terdapatnya petunjuk syarak yang melarang ucapan-ucapan seperti ini.

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas