Connect with us

Oh! Media

Manusia Akan Ditanya Empat Soalan

Umum

Manusia Akan Ditanya Empat Soalan

ADVERTISEMENT
Hadith:
Telah meriwayatkan olih Ibnu Hibban dan Tirmizi pada kitab Jami’nya bahawa Rasulullah saw bersabda:
لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ 
“Tiada akan berganjak dua tapak kaki seseorang pada hari kiamat sehingga ditanya dari empat perkara. Dari umurnya kemana dia habiskan. Dan dari jasadnya kemana dia gunakan. Dan dari ilmunya apakah dia beramal dengannya. Dan dari hartanya darimana dia dapat dan kemana dia belanjakannya.”
Syarah:
Para Nabi tidak ditanya mereka itu akan pertanyaan yang empat ini. Mereka hanya akan ditanya untuk menzahirkan kemuliaan mereka iaitu adakah mereka sudah menyampaikan kepada umat.
Makna hadith ini ialah pada hari kiamat di tempat hisab nanti dua kaki manusia tidak boleh bergerak kemana-mana sehinggalah mereka ditanya akan empat pertanyaan.
Akan ditanya dari umurnya kemanakah dihabiskannya yakni apakah yang kamu telah kerjakan semenjak kamu baligh. Adakah kamu telah menunaikan segala kefardhuan Allah atas kamu dan adakah telah kamu tinggalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah atas kamu. Maka jika seorang itu telah melakukan seperti demikian tadi maka dia berjaya dan selamat. Dan jika dia tidak berbuat seperti itu maka binasalah ia.
Dan akan ditanya pula dari tubuh badannya kepada apa dia gunakan. Maka jika dia gunakan tubuh badannya kepada taatkan Allah maka bahagialah dia dan telah berjaya dia serta orang-orang yang berjaya. Dan jika dia gunakan tubuh badannya kepada maksiatkan Allah maka rugilah dan binasalah ia.
Dan akan ditanya daripada ilmunya apakah dia telah mengamalkan apa yang dia tahu yakni kamu akan ditanya adakah kamu telah mempelajari ilmu agama yang telah Allah wajibkan ke atas kamu kerana ilmu agama itu ada dua bahagian. Siapa yang mempelajari ilmu agama yang wajib kemudian diamalkannya maka dia bahagia dan selamat. 
Dan barangsiapa yang tidak mengamalkan selepas dia mengetahuinya maka dia rugi dan menyesal lagi binasa. Begitu juga orang yang tidak belajar maka dia juga termasuk dikalangan orang-orang yang binasa.
Dan telah datang pada sebahagian riwayat :
وَيْلٌ لِمَنْ لَا يَعْلَمُ، وَوَيْلٌ لِمَنْ عَلِمَ ثُمَّ لَا يَعْمَلُ
“Celakalah bagi siapa yang tidak mahu mengetahui dan celakalah bagi siapa yang mengetahui tetapi tidak beramal.”
Dan adapun sabdanya “Dan dari hartanya darimana dia dapat dan kemana dia belanjakannya” maka maknanya ialah seorang manusia akan ditanya pada hari kiamat daripada harta yang dia miliki di dunia dulu. Maka jika dia memperolehinya dengan cara yang tidak diharamkan maka tidaklah dia dikenakan balasan dengan syarat dia belanjakannya pada perkara yang diharuskan oleh syarak. 
Manusia berkait dengan harta itu ada tiga golongan. Dua golongan akan binasa dan satu golongan yang selamat. Salah satu dari dua golongan yang binasa ialah yang mengumpulkan harta dengan cara yang haram dan satu golongan lagi ialah mengumpulkan harta dari cara yang halal tetapi dibelanjakannya kepada jalan yang haram. Begitu juga binasa mereka yang membelanjakannya pada perkara yang halal tetapi dia riak.
Wallahua’lam. 
Fatwa: Syeikh Dr Salim Alwan Al-Husainy

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas