Connect with us

Khutbah Pertama Sayyidina Uthman Affan Sebagai Khalifah

Umum

Khutbah Pertama Sayyidina Uthman Affan Sebagai Khalifah

Sayyidina Uthman bin Affan adalah khalifah yang ketiga selepas kewafatan Sayyidina Umar. Sebagaimana dua khalifah sebelumnya, beliau menyampaikan khutbah setelah dilantik di hadapan umat Islam.

Diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Tabari: “Selepas dewan syura membai’ah Uthman bin Affan, dengan keadaan orang yang paling sedih di antara mereka, beliau keluar dan menaiki minbar Rasulullah SAW dan memberikan khutbahnya kepada orang ramai.

Beliau memulakan dengan memuji Allah dan berselawat kepada Nabi SAW dan berkata, “Sesungguhnya kalian berada di kampung persinggahan dan sedang berada pada sisa-sisa usia, maka segeralah melakukan kebaikan yang mampu kalian lakukan. Kalian telah diberi waktu pagi dan petang. Ketahuilah bahawa dunia dilapisi dengan tipu daya,

فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۖ وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّـهِ الْغَرُورُ 
Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).

Ambillah pelajaran dari kejadian masa lalu kemudian bersungguh-sungguhlah dan jangan lalai, kerana syaitan tidak pernah lalai terhadap kalian. Di mana anak-anak dunia dan temannya yang terpengaruh dengan dunia akan menghabiskan usianya untuk bersenang-senang? Tidakkah mereka jauhi semua itu! Buanglah dunia sebagaimana Allah membuangnya, carilah akhirat kerana sesungguhnya Allah telah membuat permisalan dengan yang lebih baik. Allah SWT berfirman:

وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِرًا ﴿٤٥﴾الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا ﴿٤٦
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.Maka datanganlah manusia untuk membai’ahnya.

[Rujuk kitab Tarikh al-Tabari (3/305)]

Pengajaran Khutbah

Antara pengajaran yang diterapkan di dalam khutbah yang disampaikan oleh Khalifah yang ketiga ini ialah:

1. Peringatan kepada orang Islam yang lahir selepas Islam berada di puncak. Ketika era Saidina Uthman, sudah ramai manusia yang lahir dan tidak sempat untuk hidup pada zaman Nabi SAW dan menjadi sahabat. Maka sangat berbeza mereka yang lahir ketika Islam telah berada di puncak, telah banyak kota ditawan dan meraih pelbagai kemewahan hingga menyebabkan ada yang lalai dengan dunia. Oleh itu, bukanlah kata-kata ini ditujukan kepada para sahabat yang telahpun diyakini keimanannya. Oleh itu, tepatlah perkataan ini pada tempatnya.

2. Bersegera dalam melakukan kebaikan. Sesungguhnya Allah SWT menciptakan kehidupan itu sebagai suatu pentas ujian bagi melihat siapakah di kalangan hambanya yang paling banyak melakukan amal kebaikan dan menjauhi segala keburukan yang menjadi larangannya. Maka diperintahkan kepada hamba-hambanya agar bersegera melakukan kebaikan seperti mana dalam firman-Nya:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّـهُ جَمِيعًا ۚ
“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan).” (Surah al-Baqarah: 148)

3. Dunia adalah persinggahan sementara. Kehidupan di dunia ini hanyalah persinggahan sebelum menuju kepada kehidupan yang sebenar iaitu akhirat. Janganlah sesekali kita melupai tujuan kita dilahirkan ke atas muka bumi ini iaitu untuk beribadat kepada Allah SWT dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Janganlah lalai dengan nikmat-nikmat serta kesenangan yang diperoleh hingga menyebabkan terjatuh ke lubang maksiat yang akhirnya kita tersasar daripada semua tujuan penciptaan kita, sehingga gagal menjalankan fungsi seorang hamba sekaligus gagal dalam melakukan tugas seorang khalifah untuk mentadbir bumi dengan sebaik-baiknya. Ingatlah akan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
“Sesiapa yang berkehendak (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah al-Syura: 20)

4. Mensyukuri nikmat Iman dan Islam yang diperoleh dengan mudah. Jangan sesekali alpa apabila kehidupan kita hari ini tidak lagi sesukar yang dilalui Rasulullah SAW dan para sahabatnya ketika Islam mula menerangi kota Makkah dan Kota Madinah. Sesungguhnya segala pahit dan getir telah mereka yang terdahulu lalui dengan tabah. Tiada tolok banding perjuangan anbiya’ sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Mus’ab RA, bahawa beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاَءً قَالَ ‏ “‏ الأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ فَيُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ دِينُهُ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلاَؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلاَءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الأَرْضِ مَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya?” Kata beliau: “Para Nabi, kemudian yang setaraf dengan mereka kemudian yang setaraf mereka. Dan seseorang diuji sesuai dengan tahap agama (keimanannya). Apabila agamanya kukuh, maka berat pula ujian yang dirasakannya; sekiranya agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Dan seseorang akan sentiasa ditimpa ujian demi ujian hingga dia dilepaskan berjalan di muka bumi dalam keadaan tidak mempunyai dosa.”

Imbaulah sejarah lampau, bagaimana ketika Baginda SAW mula membawa cahaya Islam Ke Thoif, mengalir darah suci baginda SAW. Janganlah pernah kita lupa, penderitaan Bilal bin Rabah dan Sumayyah. nyawa mereka digadai hanya kerana mempertahankan kalimah tauhid. Semua ini berbeza dengan umat Islam selepas era mereka, umat Islam hari ini ramainya yang sudah menjadi Islam sebaik sahaja keluar dari rahim seorang ibu. Tidak lagi diuji sepertimana beratnya ujian mereka yang terdahulu.

5. Berhati-hati dengan syaitan yang sentiasa bekerja untuk merosakkan anak adam. Rentetan daripada peristiwa iblis menolak untuk sujud kepada Adam AS sepertimana yang disebutkan di dalam al-quran, maka Alllag SWT telah pun mengingatkan kepada NAbi Adam AS, untuk sentiasa berwaspada dengan iblis yang sentiasa menunggu masa untuk memalingkan manusia daripada jalan kebenaran, hal ini sebagaimana yang dikisahkan di dalam ayat:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ ﴿١١٦﴾ فَقُلْنَا يَا آدَمُ إِنَّ هَـٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ وَلِزَوْجِكَ فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ فَتَشْقَىٰ ﴿١١٧﴾ إِنَّ لَكَ أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا وَلَا تَعْرَىٰ ﴿١١٨﴾ وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا وَلَا تَضْحَىٰ﴿١١٩﴾ فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ ﴿١٢٠﴾ فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ ۚ وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَىٰ﴿١٢١﴾
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari.” Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Surah Taha: 116-121)

Lihatlah, betapa syaitan dan iblis itu sangat licik, hingga berusaha mencari pelbagai cara untuk menyesatkan iman manusia, meskipun sudah mengucapkan dua kalimah syahadah, dan beriman namun makhluk yang dilaknat ini tetap berusaha agar dapat mebuatkan manusia mengikut mereka ke arah jalan kesesatan. Lihat sahaja khutbah Sayyidina Uthman di atas, walaupun beliau tahu bahawa yang dihadapannya adalah sebaik-baik manusia, namun tetap dia mengingatkan bahawa ada yang menanti untuk menyesatkan dan merosakkan iman manusia.

Semoga kita sentiasa diberi hidayah dan taufiq dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebaiknya.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top