Connect with us

Oh! Media

Kewafatan Nabi Sulaiman A.S

Umum

Kewafatan Nabi Sulaiman A.S

Tiada bukti serta lakaran sejarah yang menceritakan tentang kewafatan Nabi Sulaiman A.S secara terperinci melainkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran Al-Karim seperti surah Saba’, An-Naml dan Saad. Berkenaan dengan saat kewafatan Nabi Sulaiman A.S Allah S.W.T menceritakan kepada kita di dalam Surah Saba’ firman-Nya:

ADVERTISEMENT

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ ۖ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ
Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina. (Surah Saba’: 14)

Ramai Ulama’ tafsir mengsyarahkan perihal ayat ini berserta dalil-dalil hadis yang menceritakan tentang saat kewafatan Nabi Sulaiman A.S. Disini kami datangkan beberapa rujukan kitab tafsir berkenaan dengan tafsiran para ulama’ berkenaan dengan Surah Saba’ Firman Allah S.W.T:

(فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ)

Imam Al-Thobari menukilkan di dalam kitab beliau menyatakan bahawa Abu Jaafar R.A mentafsirkan ayat di atas iaitu apabila sampai waktu yang ditetapkan Allah S.W.T ke atas kematian Nabi Sulaiman A.S maka matilah ia. Firman Allah S.W.T:

(مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ)

Kalimat Dabbatul Al-Ard (anai-anai) terdapat juga tafsiran ulama sebagai Al-Qadhu iaitu binatang kecil yang memakan kayu. Selanjutnya firman Allah S.W.T:

(تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ)

Imam Al-Thobari menceritakan bahawa kebiasaan ahli Basrah menggunakan “Minsaatahu” sebagai tongkat yang asalnya digunakan untuk mengembala kambing biri-biri bagi tujuan menggerak dan memberhentikannya. (Rujuk: Tafsir Al-Thobari: 19/238)

Ayat seterusnya Allah S.W.T ingin menerangkan kepada kita bahawa keilmuan jin tidak dapat menjangkaui alam ghaib sepertimana firmanNya:

(فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ)

Ayat ini menunjukkan sekiranya jin mengetahui tentang alam ghaib maka mereka tidak akan menanggung keseksaan dan kesangsaraan setelah kewafatan Nabi Sulaiman A.S selama setahun dan mereka (jin) menyangka bahawa Nabi Sulaiman A.S masih hidup sambil meneruskan kerja mereka. Ayat ini membuktikan bahawa jin tidak mengetahui tentang alam ghaib dan menerangkan kepada manusia bahawa mereka tidak mempunyai ilmu berkenaan dengannya.

Imam Al-Qurtubi menceritakan di dalam tafsirnya berkenaan doa Nabi Sulaiman A.S sebelum kewafatannya diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, berkata Nabi Sulaiman A.S: “Ya Allah janganlah engkau memberi pengetahuan tentang kematianku kepada sekalian jin melainkan selepas kematianku diketahui oleh manusia, sesungguhnya jin tidak mengetahui tentang alam ghaib.” Kemudian Baginda A.S wafat dalam keadaan bersandar pada tongkatnya dan jin masih lagi berkerja dalam keadaan sangsara sehinggalah Baginda jatuh disebabkan tongkatnya dimakan anai-anai. Ini menggambarkan kepada manusia bahawa sekiranya jin mengetahui alam ghaib tidaklah mereka menyeksa diri berkerja kerana takut akan perintah Nabi Sulaiman A.S. (Rujuk: Al-Jamik li Ahkam Al-Quran: 7/563)

Ibnu Kathir menukilkan di dalam tafsirnya daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam menceritakan bahawa telah berkata Nabi Sulaiman A.S kepada Malaikat Maut: “Beritahulah aku sekiranya kamu ingin mencabut nyawaku.” Lalu Malaikat Maut berkata: “Wahai Sulaiman sesungguhnya aku diperintahkan untuk mengambil nyawamu dalam masa kurang dari sejam.” Lalu Baginda A.S menyeru kepada syaitan untuk berkumpul dan mengarahkan mereka untuk membina satu binaan besar yang tidak mempunyai pintu. Kemudian Baginda A.S bangun dan solat lalu Malaikat Maut mengambil nyawanya dalam keadaan Baginda wafat dengan bersandar pada tongkatnya seolah-olah Baginda hidup. Para jin syaitan masih lagi membinanya sehinggalah Allah S.W.T mengutuskan anai-anai untuk memakan tongkat Baginda. Lalu Baginda jatuh dan disebabkan itu jin menyedari akan kewafatan Nabi Sulaiman A.S. (Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir: 6/503)

Berkata Ishaq bin Basyar: “Nabi Sulaiman A.S berumur 52 tahun dan memerintah selama 40 tahun.” Daripada Ibnu Abbas: “Nabi Sulaiman A.S memerintah ketika berumur 20 tahun.” Ibnu Jarir berkata: “Umur Nabi Sulaiman A.S melebihi 50 tahun. Baginda memulakan pembinaan Bait Al-Maqdis pada tahun keempat pemerintahannya.” (Rujuk: Al-Bidayah Wa Al-Nihayah: 2/18)

Semoga Allah menjadikan kita beriman kepada para Rasul dan makrifah Nabi kita S.A.W dengan menzahirkan rasa cinta kepadaNya. Wallahua’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas