Connect with us

Oh! Media

Jauhi Dosa Dengan Allah dan Sesama Manusia

Umum

Jauhi Dosa Dengan Allah dan Sesama Manusia

Rasulullah s.a.w bersabda: “Jauhi perkara yang memerlukan meminta maaf.” (Riwayat Dailami)

ADVERTISEMENT

Elakkan daripada melakukan dosa samada dosa terhadap Allah swt atau dosa sesama manusia.

Dosa terhadap Allah s.w.t memerlukan pengampunan melalui taubat, istigfar dan penyesalan.

“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah:199)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba melakukan suatu perbuatan dosa tetapi apabila dia teringat perkara tersebut, maka dia merasa sedih; apabila Allah melihatnya benar-benar bersedih hati, maka dia mengampuni apa yang dilakukannya itu sebelum dia mengkafarahnya (menebusnya) tanpa melalui sembahyang dan tanpa berpuasa.” (Riwayat Ibnu Asakir melalui Abu Hurairah r.a)

“Penyesalan itu adalah taubat.” (Hadith riwayat Ibnu Majah).

Dosa sesama manusia pula perlu dimaafkan oleh manusia sendiri

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: “Sesiapa yang menanggung sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya;bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal salih, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal salih, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”

Minta maaf dari sekarang jika ada melakukan kesalahan terhadap orang lain supaya tidak muflis di akhirat nanti. Muflis akibat habis pahala kebaikan diambil dan terpaksa pula menanggung dosa kejahatan orang lain (sekiranya tidak cukup pahala untuk membayarnya).

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis?” Sahabat-sahabat baginda menjawab: “Orang muflis di antara kami ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang dan tidak ada harta benda.” Nabi s.a.w bersabda: “Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari Kiamat membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka.

Wallahua’lam

+ Nasbun Nurain

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas