Connect with us

Oh! Media

Jangan Ketawakan Orang Kentut

Umum

Jangan Ketawakan Orang Kentut


Kadangkala apabila seseorang itu terkentut maka dia akan ditertawakan dan diejek oleh orang-orang sekelilingnya, walaupun itu bukan kemahuannya untuk kentut di hadapan mereka. Kentut adalah angin yang semulajadi keluar dari dubur seseorang atas pelbagai sebab, maka tak wajar seseorang itu ditertawakan atau diejek apabila dia terkentut kerana semua orang mengalaminya, cuma yang membezakan ialah mereka terkentut atau sengaja kentut di hadapan orang lain tanpa rasa bersalah. 
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melarang akan perbuatan mentertawakan orang yang kentut. 
Diriwayatkan oleh Abdullah bin Zam’ah, dia berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah, beliau menasihati para sahabat tentang kebiasaan tertawa kerana kentut, beliau bersabda: “Kenapa salah seorang dari kalian mentertawakan apa yang (turut) dilakukannya juga (yakni kentut)?” (Sahih Bukhari, no. 4561, Sahih Muslim, no. 5095)
Menurut Imam An-Nawawi rahimahullah, dia menyebutkan: “Hal ini adalah menjadi hujah bahawa dilarang mentertawakan orang yang kentut sebaliknya dia harus mengabaikannya dan meneruskan urusannya seperti biasa seolah-olah dia tidak mendengarnya. Hal ini termasuk dalam adab dan akhlak yang baik dengan manusia lain.” (Al-Minhaj, Syarah Sahih Muslim)
Al-Mubarokfuri pula mengatakan: “Dulu mereka (para sahabat) di masa Jahiliyah, apabila ada salah satu peserta majlis yang kentut, mereka lalu tertawa. Kemudian beliau melarang hal itu.” (Tuhfatul Ahwadzi, Syarah Sunan At-Tirmidzi, 9/189)
Syaikh Muhammad Al-Utsaimin, dia berkata: “Tertawa itu dilakukan kerana suatu hal aneh dan menakjubkan. Adapun suatu hal yang sudah biasa terjadi pada setiap orang, maka mentertawakannya merupakan tindakan yang bertentangan dengan perangai (baik) serta merosak kehormatan seorang Muslim.” (Syarah Riyadhus Shalihin, hlm. 633)
Maka di sini dapat disimpulkan bahawa perbuatan mentertawakan seseorang yang terkentut adalah suatu perkara yang tidak beradab dan boleh merosakkan kehormatan seseorang. Namun ia bukan lesen besar bagi orang ramai untuk kentut sesuka hati mereka di mana sahaja mereka berada. Adab dan akhlak sebagai seorang Muslim perlu dijaga di mana mereka boleh kentut di tempat yang jauh dari orang-orang, atau cuba menyembunyikan bunyi kentut tersebut. Namun jika terkentut tanpa dapat dikawal, maka janganlah pula dia berbangga dengan kentut tersebut.

ADVERTISEMENT
Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain adalah dia tidak menyakiti (dengan sengaja kentut kepada orang lain) dan tidak disakiti (mengejek dan mentertawakan) saudaranya.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas