Connect with us

Hukum Perempuan Membuang Bulu Di Wajah Kerana Malu

Umum

Hukum Perempuan Membuang Bulu Di Wajah Kerana Malu

Soalan:
Berdosakah seorang perempuan membuang bulu di muka seperti misai kerana terlalu lebat. Ini kerana ia selalu menjadi punca yang menyebabkan malu untuk berhadapan dengan orang lain.

Jawapan:
Berkenaan isu ini kami sudah menjawab sedikit berkaitannya. Kami ada menerangkan tentang:

  • bulu yang ada perintah untuk mencukurnya,
  • bulu-bulu yang dilarang mencukurnya,
  • dan bulu-bulu yang didiamkan oleh syarak.

Justeru, kami menyatakan bahawa pada asasnya membuang bulu di muka selain bulu kening termasuk dalam bulu yang diharuskan untuk mencukurnya. Ini kerana ia antara yang didiamkan oleh syarak.

Walau bagaimanapun ada dalam kalangan ulama mazhab-mazhab yang menjadikan hukumnya sebagai sunat dan wajib. Pandangan-pandangan tersebut adalah seperti berikut:

  • Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan bahawa sunat untuk seorang perempuan mencukur bulu-bulu yang ada di mukanya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:290)
  • Para ulama’ Malikiyyah jelas menyatakan bahawa wajib bagi seorang perempuan mencukur misai, janggut dan bulu yang tumbuh di badan. (Rujuk Mawahib al-Jalil al-Hattab, 1:314)

Jika sekiranya bulu tersebut menimbul rasa malu, aib dan masalah yang akan menimbulkan mudarat bagi seseorang itu seperti keadaan disebutkan saudari yang bertanya, maka wajib untuk mencukurnya. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW dan kaedah fiqh:

الضَرَرُ يُزَالُ
“Sesuatu yang memudaratkan itu harus dihilangkan.” [Hadith Ibn Majah: 2341]

Ini kerana sesuatu yang bertujuan untuk mengembalikan sesuatu itu pada keadaan yang asal dan bukan bertujuan untuk kecantikan semata-mata, maka hukumnya adalah harus. Ini sepertimana yang disebut oleh kaedah fiqh berkaitan mengubah ciptaan Allah SWT:

ما كان للتجميل فحرام وما كان لإزالة العيب فحلال
“Apa sahaja yang bertujuan untuk kecantikan semata-mata maka hukumnya adalah haram. Manakala apa yang bertujuan untuk menghilangkan aib pada dirinya maka hukumnya adalah halal.”


Begitu juga, kewajipan mencukur bulu di muka seperti janggut dan misai adalah berdasarkan larangan perempuan menyerupai lelaki. Ini kerana bukanlah sesuatu yang normal dan adat kebiasaan manusia seseorang perempuan mempunyai misai dan janggut yang jelas dilihat. Jika sekiranya bulu tersebut lebat yang tidak normal bagi seorang perempuan sehingga menyerupai lelaki, maka wajib untuk dia mencukurnya. Sifat keperempuanan tidak mempunyai bulu-bulu lebat di muka, jika terdapat perkara tersebut maka ia menyalahi sifat fitrah bagi perempuan. Ibn ‘Abbas meriwayatkan satu hadith:

لعن رسول اللّه صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء، والمتشبهات من النساء بالرجال
“Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat golongan yang menyerupai perempuan daripada kalangan lelaki, dan golongan yang menyerupai lelaki daripada kalangan perempuan.” [Hadith al-Bukhari]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa pada asasnya harus untuk perempuan membuang bulu di muka , selain daripada bulu yang terdapat larangan untuk mencukurnya iaitu bulu kening.

Namun, jika sekiranya bulu tersebut memudaratkan dan tidak normal sehingga menyerupai lelaki, maka hukum wajib ke atasnya untuk mencukur dan menghilangkannya. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih terhadap agama-Nya dan taufiq dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top