Connect with us

Oh! Media

Hukum Bersuci Dengan Air Tadahan Pendingin Hawa

Umum

Hukum Bersuci Dengan Air Tadahan Pendingin Hawa

SOALAN:
Adakah air yang terhasil daripada pendingin hawa dikategorikan sebagai air mutlak dan boleh bersuci, seperti berwudhu’ dan mandi dengannya?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Air mutlak ialah air yang boleh digunakan untuk tujuan bersuci seperti mengangkat hadas dan membersihkan najis dengannya.

Takrif air mutlak telah diberikan oleh Imam al-Syirazi dalam kitabnya al-Muhadzdzab: “Diharuskan untuk mengangkat hadas dan menghilangkan najis dengan air mutlak, iaitu apa yang turun dari langit atau yang membuak dari bumi. Maka, apa yang turun dari langit itu ialah air hujan, dan cairan salji dan embun. Asal tentang fakta ini ialah firman-Nya Azza wa Jalla:

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ
“Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya.” (Surah al-Anfal: 11)

Dan apa yang membuak dari bumi ialah air laut, air sungai dan air telaga. Asal tentang fakta ini ialah sabda baginda SAW:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
“Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).” [Riwayat al-Tirmidzi (68) dalam Sunan. Beliau berkata hadis ini hasan sahih]

Dan diriwayatkan bahawa Nabi SAW berwudhu’ dengan air telaga Budha`ah.”

Berkata Imam al-Nawawi ketika menjelaskan kewajaran menggunakan air yang murni untuk bersuci, berbanding pendapat yang mengatakan boleh menggunakan cecair suci selain air: “Maka sesungguhnya air ialah himpunan jisim-jisim yang halus dan bukan gabungan beberapa juzuk. Itu tidak berlaku pada cecair yang lain.” [Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdab (1/82-93)]

Berkata Syeikh Muhammad al-Syatiri dalam Syarh al-Yaqut al-Nafis (m/s 61): “Adapun saranan untuk bersuci, maka ia adalah air. Air itu asal semua benda. Ia adalah suatu yang turun dari langit dan membuak dari bumi, atas apa sifat pun rupanya. Berdasarkan takrif ini sebahagian ulama’ muta`akhkhirin mengharuskan bersuci dengan diesel, petrol dan gas asli. Sebahagian mereka sampaikan membuat suatu risalah khas tentang gas asli dan menganggapnya sebagai bahan bersuci, kerana sifatnya membuak dari bumi. Kenyataan ini dibantah kerana ia tidak lagi disebut pada asalnya sebagai air.

Adapun apa yang meleleh daripada pendingin hawa daripada jenis air, dan apa yang dikeluarkan daripada pokok-pokok di sebahagian negara, apabila disebutkan bahawa sebahagian pokok menitis air pada waktu malam maka manusia menggali lubang di bawahnya sehingga penuh dengan air. Berkata Ibn Qadhi dalam Muktasar al-Qadhaya al-Asyr: “Itu bukan air kerana ia tidak turun daripada langit dan tidak terbit dari bumi.” Akan tetapi para saintis mengatakan air itu adalah suatu campuran (molekul) yang terbina daripada dua bahan (atom), iaitu oksigen dan hidrogen. Kedua-duanya wujud dalam pada air secara mutlak, sekalipun pada cecair yang meleleh daripada pendingin hawa, maka di atas sebab ini boleh diqiyaskan dengan apa yang gugur daripada pepohon, selagi ia dipanggil air berdasarkan apa yang zahir.

Ulama’ dahulu kala (seperti al-Nawawi yang disebut di atas) mengatakan air itu unsur yang tidak murakkab (gabungan beberapa juzuk), dan semua benda itu murakkab kecuali empat benda –seperti kepercayaan orang dahulu kala –iaitu air, tanah, api dan angin– bahan-bahan ini bukanlah gabungan. Akan tetapi, ilmu sains moden telah membuktikan bahawa bahan-bahan tadi juga adalah sejenis gabungan/campuran jua. Justeru, air itu –seperti yang diulas tadi– ialah molekul yang terdiri daripada atom oksigen dan hidrogen.”

Menurut Encyclopedia Britannica, air yang terhasil daripada pendingin hawa adalah dari kelembapan yang ada dalam udara yang terkondensasi pada sirip logam yang berada di sekeliling lingkaran penyejat. Proses kondensasi ini berlaku secara tabii dalam proses penghasilan awan, yang menurunkan hujan dan embun.

Apabila diteliti, sifat air daripada pendingin hawa ini menyerupai air embun yang boleh digunakan untuk bersuci. Namun, cara bersuci dengan air embun perlulah dikumpulkan sehingga mengalir. Sekiranya titis-titip embun tidak mengalir, maka tidak boleh digunakan untuk membasuh atau mandi, sebaliknya hanya untuk sapuan.

Fakta ini diterangkan oleh Imam al-Nawawi: “Jika salji dan embun digunakan (untuk bersuci) sebelum dicairkan; sekiranya ia mengalir di atas anggota (wudhu’) kerana cuaca panas, atau kepanasan suhu badan, atau meningkatnya suhu salji, maka sah wudhu’nya mengikut pendapat yang sahih, dan inilah yang diputuskan secara qat’ie oleh jumhur (ulama’). Pendapat kedua mengatakan tidak sah, kerana itu tidak dipanggil sebagai basuhan (atau mandian). Inilah pendapat yang diceritakan dari sejumlah ulama’, seperti yang diputuskan oleh Qadhi Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, pengarang al-Hawi, dan Abu al-Faraj Muhammad bin Abdul Wahid bin Muhammad al-Darimi, pengarang al-Istizkar. Mereka berdua ialah ulama’ kibar (utama) daripada kalangan ulama’ (Syafieyyah). Dan disandarkan juga oleh al-Darimi kepada Abu Saied al-Istakhri. Sekiranya tidak mengalir maka tidak sah basuhan tanpa khilaf, tetapi sah sapuan pada kepala, khuf dan balutan. Inilah mazhab kami (Syafie).” [Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (1/181)]

Sekiranya diterima qiyas air embun dengan air daripada pendingin hawa, apakah akan menjejeskan kemurnian air mutlak itu jika terdapat bau-bauan, warna yang sedikit keruh atau rasa yang agak pelik daripada air lain? Jawapannya, ia tidak memberi kesan kepada fungsi menyucikan pada air itu selama mana tidak begitu ketara.

Berkata Imam Syafi’i: “Jika sesuatu bahan masuk ke dalam air daripada jenis yang halal (suci) kemudian mengubah bau dan rasanya, tanpa menyebabkan bahan itu dengan air melarut jadi satu, maka wudhu’ menggunakan air yang seperti ini hukumnya tidak ada masalah (sah). Demikian itu, apabila air dimasuki kayu atau tar kemudian baunya menyerbak, atau seumpamanya. Jika ada seseorang mengambil air, lalu dituang dengan susu, tepung atau madu sehingga airnya larut menjadi satu, maka berwudhu’ dengan air seperti ini hukumnya tidak sah. Ini kerana air larut bersama bahan dan mengubah kemurnian nama air, sehingga dipanggil namanya berubah air tepung, air susu, air madu yang bercampur.” [Rujuk al-Umm (1/20)]

Bagaimana pula jika seseorang itu tidak pasti sama ada air itu mutlak atau bernajis?

Berkata Imam al-Syirazi: “Sekiranya tidak yakin kesucian air itu dan juga kenajisannya maka dibenarkan berwudhu’ dengannya kerana asal air ialah suci. Begitu juga jika seseorang mendapati air itu berubah dan dia tidak tahu punca yang mengubah air itu maka dibenarkan berwudhu’ dengannya kerana boleh jadi perubahannya kerana lamanya menetap.” [Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (1/167)]

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

  • Kami cenderung mengatakan air yang keluar daripada alat pendingin hawa adalah air mutlak yang sifatnya suci lagi menyucikan, selagi mana sifatnya menyerupai air daripada sumber-sumber air mutlak yang lain.
  • Sedikit perubahan pada bau, warna dan rasa pada air itu tidaklah menjejaskan sifatnya yang suci lagi menyucikan.
  • Kami juga berpendapat untuk merujuk kepada pakar berkenaan risiko kesan sampingan terhadap kesihatan, jika ada, dalam penggunaan air tadahan pendingin hawa.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas