Connect with us

Oh! Media

Hukum Mengenakan Denda Jika Lewat Memulangkan Barang Pinjaman

Umum

Hukum Mengenakan Denda Jika Lewat Memulangkan Barang Pinjaman

SOALAN:
Saya nak bertanyakan tentang denda lewat menghantar buku pinjaman di perpustakaan atau pusat sumber sekolah. Adakah denda tersebut merupakan sejenis riba? Sebab bukan ke konsep riba ialah jika masa bertambah, harga yang perlu dibayar juga bertambah?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Pinjaman ialah salah satu amal kebaikan dan muamalah yang dituntut dalam Islam yang mana dengan meminjamkan barang, kita dapat saling bantu-membantu dalam memenuhi hajat orang lain.

Firman Allah Taala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.” (Surah al-Maidah: 2)

Menurut Istilah syarak, pinjaman ialah membenarkan penggunaan sesuatu yang halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal. Oleh itu, apabila peminjam telah selesai menggunakan barang pinjaman, atau telah sempurna segala tujuan peminjaman dan berlalu tempoh yang telah ditetapkan, maka peminjam perlu memulangkan semula barang pinjaman. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie 3/193]

Dari Safwan bin Umayyah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عاريّة مؤدّاة
“Pinjaman perlu dipulangkan.” [Riwayat al-Tirmidzi (39)]

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, pemilik barang pinjaman boleh meletakkan syarat (muqayyad) seperti mengehadkan cara penggunaan atau tempoh penggunaan barang yang dipinjam. Contohnya seperti mengehadkan penggunaan kereta yang dipinjam hanyalah di dalam kawasan kampung atau terhad kepada tiga orang penumpang atau meminjam dalam masa seminggu sahaja.

Maka apabila pihak yang meminjam barang tidak mematuhi syarat yang telah dipersetujui dengan melebihi had syarat tersebut, maka dia hendaklah membayar denda (dhaman) mengikut kebiasaan (ujrah misl) atau mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemilik barang itu. Hal ini disebabkan, peminjam barang telah menggunakan barang melebihi had yang diizinkan oleh pemilik barang. [Rujuk: Raudhah al-Tholibin 4/434]

Kesimpulan

Penambahan bayaran denda apabila bertambah hari bukanlah sejenis riba. Hal ini disebabkan bayaran denda itu sebagai ganti rugi menggunakan barang tanpa keizinan pemilik. Tujuan dikenakan bayaran denda tersebut supaya peminjam tidak melambat-lambatkan untuk memulangkan barang tersebut mengikut masanya.

Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas