Connect with us

Oh! Media

Bolehkah Roh Orang Mati Kembali Ke Alam Dunia?

Umum

Bolehkah Roh Orang Mati Kembali Ke Alam Dunia?

Soalan:
Bolehkah  roh orang yang mati kembali ke dunia?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Pertamanya, ingin kami bawakan firman Allah ﷻ yang berkaitan dengan roh:

وَيَسۡ‍َٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّي وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِيلٗا 
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. (Al-Isra’: 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman mengatakan bahawa ayat di atas menunjukkan kepada kita akan kelemahan insan itu sendiri yang mana dalam sesetengah perkara, manusia tidak dapat untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan oleh itu, Allah ﷻ mengarahkan Nabi ﷺ agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah ﷻ.

Sehubungan dengan itu, kami cuba untuk membincangkan permasalahan ini dengan melihat kepada nas yang sahih serta tafsiran ulama’ yang muktabar mengenainya. Semoga perbahasan mengenainya dapat memberikan manfaat buat kita semua.

Makna Roh

Di dalam kitab Taj al-‘Urus disebutkan beberapa takrifan mengenai roh. Antaranya:

  • Al-Farra’ mengatakan roh itu sesuatu yang mana dengannya manusia akan hidup. Allah tidak mengkhabarkan mengenai perihal penciptaannya dan Allah juga tidak memberikan ilmu mengenainya.
  • Abu al-Haitham mengatakan roh itu adalah jiwa yang mana manusia bernafas dengannya. Ianya mengalir di keseluruhan jasad. Jika ia keluar, maka tidak akan bernafaslah manusia.

Boleh kita simpulkan bahawa roh bermakna satu jisim yang halus terdapat pada manusia dan haiwan yang hidup.

Hakikat Roh

Mereka yang telah mati meninggalkan kita, roh mereka tidak mungkin kembali ke dunia lagi. Sama ada kembali untuk menziarahi ahli keluarganya, membalas dendam ataupun dari segala macam perbuatan manusia lain yang masih hidup. Samaada roh itu dalam keadaan baik ataupun buruk.

Kami kemukakan di sini dalil-dalil yang berkait dengan permasalahan ini:

Al-Quran

Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

لَعَلِّيٓ أَعۡمَلُ صَٰلِحٗا فِيمَا تَرَكۡتُۚ كَلَّآۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَاۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرۡزَخٌ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ
“Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (Al-Mu’minuun: 100)

Al-Imam Ibn Jarir al-Tabari (wafat 310H) Rahimahullah menukilkan riwayat Mujahid Rahimahullah (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana menyebut bahawa barzakh di dalam ayat di atas ialah hijab (seperti tembok penghalang) di antara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia.  [Lihat Tafsir al-Tabari. Muassasah al-Risalah, 19/71]

Firman Allah ﷻ lagi:

ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلۡأَنفُسَ حِينَ مَوۡتِهَا وَٱلَّتِي لَمۡ تَمُتۡ فِي مَنَامِهَاۖ فَيُمۡسِكُ ٱلَّتِي قَضَىٰ عَلَيۡهَا ٱلۡمَوۡتَ وَيُرۡسِلُ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمًّىۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ 
Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya). (Al-Zumaar: 42)

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah ﷻ yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Ini sepertimana riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabi’en dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas R.Anhuma) yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah  ﷻ menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula. Ianya juga adalah pendapat Ibn Zaid Rahimahullah. [Lihat Tafsir al-Tabari. Muassasah al-Risalah, 21/298-299]

Al-Hadith

Terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya, sebuah hadith yang berkaitan dengannya. Ianya sebuah hadith riwayat Jabir RA:

قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ  إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ
Telah berkata kepadaku Rasulullah ﷺ: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘Azza Wa Jalla telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.” [Riwayat Ahmad (14881), Syeikh Syu’aib al-Arnout: Sanad-sanadnya hasan]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa seseorang yang telah mati tidak akan kembali ke dunia. Ianya adalah ketetapan daripada Allah ﷻ.

Kesimpulan

Setelah melihat kepada nas-nas yang ada beserta pendapat para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ianya berada di satu alam yang dinamakan barzakh. Ianya seperti mana yang telah kita bincangkan di atas.

Nas yang sahih lagi sarih seperti yang terdapat pada hadith Jabir RA menjadi pemutus dan penghukum di samping tafsiran para mufassirin mengenai ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dalam isu ini, yang mana menunjukkan bahawa roh tidak dapat kembali ke dunia.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang yang masih hidup ketika mereka sedang tidur (di dalam mimpi). [Lihat Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Al-Ruh, hlm. 20]

Semoga dengan pencerahan ini, dapatlah kita memahami Islam dengan neracanya yang sebenar. Wallahu a’lam.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas