Connect with us

Berdiri Sebelah Imam Ketika Solat Berjemaah Kerana Surau Sempit

Umum

Berdiri Sebelah Imam Ketika Solat Berjemaah Kerana Surau Sempit

Soalan:
Sering kali ketika berhenti di surau stesen minyak untuk menunaikan solat seperti Subuh atau Maghrib yang singkat waktunya, surau sangat padat. Keadaan ini menyebabkan ramai yang terpaksa beratur di luar, namun pernah sekali saya melihat ada orang yang pergi berdiri dan solat di sebelah imam. Apakah sah solatnya dan adakah dia mendapat pahala berjemaah?

Jawapan:
Solat adalah suatu perkara yang sangat besar kedudukannya di dalam Islam. Solat bukanlah suatu ritual atau amalan biasa tetapi diangkat tinggi kepentingannya untuk mendirikannya apabila seseorang itu usai mengucapkan dua kalimah syahadah. Hal ini jelas seperti mana yang termaktub di dalam hadith yang menceritakan arahan Nabi SAW kepada Muaz RA ketika diperintahkan untuk menjadi gabenor di Yaman seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA:

إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ، فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ طَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ طَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ، فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْكُمْ صَدَقَةً، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ، فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ، فَإِنْ هُمْ طَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ، فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ، وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ
“Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum ahli kitab; apabila engkau telah sampai kepada mereka maka serulah mereka untuk bersaksi bahwa tidak ada Tuhan yang berhak untuk disembah selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya. Jika mereka taat kepada kamu dalam hal tersebut, maka beritahukanlah bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka taat kepada kamu dalam hal tersebut, maka beritahukanlah bahwa Allah telah mewajibkan kepada mereka zakat, diambil (harta) daripada orang-orang kaya daripada mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin dari (golongan) mereka. Jika mereka taat kepada kamu dalam hal tersebut, maka berhati-hatilah kamu daripada mengambil harta milik mereka yang paling baik, takutlah kamu dengan doa orang dizalimi, kerana sesungguhnya diantara dia dengan Allah tidak ada penghalang.” [Riwayat al-Bukhari (4347)]

Maka jelaslah kedudukan solat yang sangat tinggi seperti yang disebutkan di dalam hadith tentang kewajipan untuk mendirikan solat selepas seseorang itu memeluk Islam.

Selain itu, bagi menyelesaikan kekaburan ini perlu untuk kita fahami kedudukan imam dan makmum ketika berjemaah dalam solat. Hal ini dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA bahawa beliau berkata:


صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ لَيْلَةٍ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِرَأْسِي مِنْ وَرَائِي، فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ،
“Aku telah solat bersama dengan Nabi SAW pada suatu malam, maka aku berdiri di sebelah kiri Nabi, maka Baginda SAW pun memegang di belakang kepalaku, dan meletakkan aku di sebelah kanan Baginda.” [Riwayat al-Bukhari (726)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa daripada hadith ini dapat diambil hukum bagaimana kedudukan apabila hanya ada seorang imam dan seorang makmum. Maka kedudukan makmum adalah di sebelah imam. Sekiranya makmum dua orang atau lebih, maka kedudukan mereka di belakang imam seperti mana yang dijelaskan:

إذَا حَضَرَ إمَامٌ وَمَأْمُومَانِ تَقَدَّمَ الْإِمَامُ واصطفا خلفه
“Sekiranya hadir imam dan dua orang makmum, maka dikedepankan imam dan dua orang makmum berbaris di belakang.”

Meskipun pendapat di atas adalah pendapat jumhur ulama’, terdapat juga ulama’ yang berpendapat berlainan daripada pendapat di atas, seperti:

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ وَصَاحِبَيْهِ عَلْقَمَةَ وَالْأَسْوَدَ فَإِنَّهُمْ قَالُوا يَكُونُ الْإِمَامُ وَالْمَأْمُومَانِ كُلُّهُمْ صَفًّا وَاحِدًا
Abdullah bin Mas’ud dan dua pengikutnya ‘Alqamah dan al-Aswad, sesungguhnya mereka berkata: “Hendaklah imam dan dua makmum semuanya duduk dalam satu saf.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/297)

Namun begitu, bagi makmum yang berdiri di sebelah imam hendaklah memastikan kedudukan makmum sentiasa di belakang imam seperti yang disebutkan Ibn Naqib:

ولوْ تقدَّمَ عَقِبُ المأمومِ على عقبِ الإمامِ لمْ تصحَّ صلاتُهُ
“Sekiranya tumit makmum lebih terkehadapan daripada tumit imam, tidak sah solatnya.” (Lihat ‘Umdah al-Salik, 1/72)

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami berpendapat bahawa tidaklah menjadi masalah untuk makmum berdiri di sebelah imam ketika surau terlalu padat dan waktu solat terlalu singkat. Ini mengambil kaedah yang menyebut:

لمن ابتلي بشيء من هذا أن يقلد مَنْ أجاز ذلك مِن العلماء
“Barangsiapa yang ditimpa masalah daripada hal ini (hukum asal) hendaklah dia bertaklid dengan pendapat lain yang mengharuskan daripada kalangan ulama’.” (Rujuk Fatawa Dar al-Ifta al-Misriyah, nombor 2287)

Namun hendaklah sedaya upaya memastikan tumit makmum dibelakang tumit imam.

Selain itu, kami juga menasihatkan mereka yang mengimamkan solat di surau-surau yang kecil dan masih ramai yang menanti untuk solat, maka hendaklah dia memendekkan solatnya. Semoga kita diberi kefahaman oleh Allah SWT dalam mempraktikkan syariat-Nya.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top