Menjijikkan! Itulah kalimah yang sesuai diungkapkan apabila terdapat sebuah kilang kicap yang telah beroperasi sejak 50 tahun lalu, namun tahap kebersihannya pula mengecewakan.
Perkara itu didedahkan selepas Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) telah menjalankan Op Bersih terhadap beberapa kilang di negeri itu.
Pemeriksaan di sebuah kilang kicap di Pulau Pinang
Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM JKNPP, Mohd. Wazir Khalid, terdapat beberapa benda asing seperti dedaun kering serta bulu burung di dalam tong perapan kacang soya.
Lebih mengejutkan, tong gentian kaca yang digunakan untuk memproses perapan soya juga dilihat mula mereput akibat terlalu lama terdedah dengan cahaya matahari.
Kita turut menemukan daun dan bulu binatang, malah tidak mustahil najis burung pun boleh termasuk semasa pemerapan kacang soya.
Selain itu, pemilik kilang itu juga cuba mengitar semula botol kicap yang lama tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana dikatakan mahu menjimatkan kos.
Selain itu, pihak kilang turut menggunakan botol kitar semula tetapi cara pembersihan hanya dibuat secara manual dan tahi cicak turut ditemukan atas pelapik penutup botol.
Tambah Wazir, pihaknya bimbang selepas mendapati terdapat kulat di atas pelapik pengering kacang soya dan ia mampu menyebabkan keracunan makanan.
Sebuah kilang roti turut dikenakan kompaun
Dalam masa yang sama, pihaknya juga turut menyerbu sebuah kilang roti di Raja Uda, Butterworth, kerana gagal mematuhi Program Jaminan Keselataman Makanan (PJKM).
Hal itu selepas beliau mendapati terdapat dulang roti yang sangat kotor serta berkerak selain turut dipenuhi dengan najis tikus.
Bertanya mengenai denda yang dikenakan, beliau berkata bahawa sejumlah RM9,000 kompaun dikeluarkan ke atas kedua-dua kilang tersebut.
Dalam pada itu, kilang-kilang tersebut juga akan ditutup selama dua minggu bermula hari ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.