Oh! Tidak
Atok 67 Tahun Mengaku Rogol Dua Cucu, Dipenjara 33 Tahun
Pesara dipenjara 33 tahun dan dikenakan 14 sebatan selepas mengaku bersalah merogol serta melakukan amang seksual terhadap dua cucu.
Seorang pesara berusia 67 tahun dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas kesalahan seksual terhadap dua cucu perempuannya.
Kes ini memang buat ramai sebak dan marah, apatah lagi mangsa yang terlibat masih kanak-kanak. Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Batu Pahat antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh terhadap lima pertuduhan yang dikenakan.
Atok rogol cucu berusia 12 dan 9 tahun

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucunya berusia 12 tahun selain merogol mangsa di lokasi sama.
Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun dalam tempoh berkenaan.
Perbuatan tertuduh terbongkar selepas salah seorang mangsa menceritakan kejadian yang dialaminya kepada ibu mereka.
Susulan itu, laporan polis dibuat pada 8 Jun lalu sebelum pihak polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah arah kaunseling

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan.
Tertuduh juga dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman mengikut Seksyen 26 dan Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kesalahan amang seksual pula didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, manakala pertuduhan rogol dibuat mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.
Pssttt! Kes macam ini memang berat untuk dibaca, tapi ia jadi peringatan besar untuk semua. Tolong dengar bila anak-anak mula bercerita, jangan pandang ringan perubahan emosi mereka, dan pastikan rumah benar-benar jadi tempat paling selamat untuk mereka.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
