
Oh! Artis
Aaron Aziz Buka Peluang Bekas Banduan Sertai Uji Bakat JadI Pelakon
Aaron Aziz ajak bekas banduan & pelajar Sekolah Henry Gurney hadir ke uji bakat lakonan.
Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz tampil dengan satu usaha luar biasa yang berjaya mencuri perhatian ramai. Menerusi satu hantaran di TikTok, beliau menjemput bekas banduan penjara dan pelajar Sekolah Henry Gurney untuk hadir ke uji bakat lakonan di bawah produksinya sendiri, Aaron Aziz Production.
Apa yang buat ramai tersentuh, Aaron bukan sekadar cari pelakon biasa tapi turut memberi peluang kedua buat mereka yang pernah tersasar dalam hidup.
“Orang cakap anda tiada masa depan?” – Aaron Aziz.

Dalam video yang dimuat naik, Aaron yang kini berusia 49 tahun dengan semangat menyuarakan hasratnya untuk bantu golongan yang sering dipandang serong oleh masyarakat.
Anda seorang bekas banduan? Pernah duduk penjara, pernah duduk Sekolah Henry Gurney? Orang cakap kalian tiada masa depan? Ada juga yang cakap anda hancur masa depan?
Tak boleh masuk dalam kalangan masyarakat yang baik? Pastikan jawapan anda adalah tidak. Saya akan tolong anda, macam mana? Sila datang uji bakat untuk projek terbaharu saya.
Kenyataan Aaron itu jelas menunjukkan betapa beliau mahu memberi ruang buat mereka yang ingin berubah dan membuktikan bahawa setiap manusia berhak untuk peluang kedua.
Inisiatif berani yang patut dicontohi…

Uji bakat ini dibuka kepada semua kaum dan latar belakang, asalkan korang lelaki berusia antara 16 hingga 50 tahun. Selain itu, peserta hanya perlu bawa satu keping gambar bersaiz passport.
Dalam dunia hiburan yang penuh persaingan, tindakan Aaron Aziz ini sangat luar biasa. Ramai selebriti hanya fokus kepada bakat dan rupa. Aaron bagaimanapun memilih untuk angkat insan yang sering dipinggirkan dan buktikan bahawa bakat boleh lahir dari siapa saja, asalkan diberi peluang.
Pssttt! Tak semua orang dapat hidup dengan jalan yang lurus. Ada yang pernah tersilap langkah, tapi itu tak bermaksud hidup mereka dah berakhir. Macam Aaron Aziz cakap, semua orang patut ada peluang kedua, asal ada usaha dan keinginan untuk berubah. Jadi, kalau korang rasa inilah masa untuk bangkit dan buat perubahan, jangan lepaskan peluang ini.
Kredit: Instagram
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
