Connect with us

Oh! Media

Adakah Sah Menggunakan Spray Air Untuk Berwudhu’ Di Pejabat?

Umum

Adakah Sah Menggunakan Spray Air Untuk Berwudhu’ Di Pejabat?

SOALAN:
Sahkah wudhu’ saya jika saya menggunakan spray air untuk berwudhu’ sebelum saya solat fardhu di pejabat? Saya berwudhu’ menggunakan spay air mengikut tatacara yang diajar oleh para ustaz untuk para jemaah Malaysia yang mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci.

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Berwudhu’ merupakan perkara untuk menyucikan diri daripada hadas kecil. Oleh itu, apabila ingin melakukan solat fardhu maka wajib baginya untuk bersuci daripada hadas sama ada hadas kecil atau besar, ini sepertimana Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhu’lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah -debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah- debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, 6)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya bahawa kewajipan mengambil wudhu’ adalah ketika hendak mendirikan solat pada masa yang sama dalam keadaan berhadas. (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Syarat Sah Wudhu’

Dr. Muhammad Zuhaili telah membahagikan kepada beberapa perkara di antaranya ialah:

  • Menggunakan air yang suci ketika berwudhu’, dan disyaratkan untuk mengetahui bahawa air yang digunakan itu adalah air mutlak walaupun secara dzhan (sangkaan).
  • Tidak terdapat perkara yang menghalang, iaitu perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wudhu’.
  • Mengalirkan air pada anggota yang dibasuh.
  • Tidak terdapat perkara yang ditegah untuk berwudhu’ seperti haid, nifas, menyentuh kemaluan dan lain-lain.
  • Mengetahui cara-cara berwudhu’
  • Menghilang kekotoran dan najis pada anggota wudhu’.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e,1/70)

Begitu juga di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah mendatangkan syarat-syarat sahnya wudhu’ di antaranya ialah menggunakan air bersih dan mesti mengalirkan air ke atas anggota wudhu’. (Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 43/330)

Air Untuk Bersuci

Penggunaan air untuk berwudhu’ mestilah menggunakan air yang suci dan menyucikan iaitu air mutlak. Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan: “Air yang kekal dengan sifat asal yang dicipta oleh Allah SWT, sama ada tawar atau masin. Dan air itu tidak berubah dari sifat semulajadinya. Dan bukan air yang telah digunakan untuk berwudhu’, mandi wajib atau menghilangkan najis.” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 1/37)

Begitu juga air yang telah berubah sifatnya seperti air musta’mal (air yang digunakan untuk basuhan wajib) dan air mutaghayyir (iaitu air mutlak yang berubah kerana faktor bercampur sesuatu seperti air mawar dan sabun) ia tidak dapat menyucikan najis. Ini seperti yang dinyatakan Syeikh Ibrahim al-Baijuri: “Air mustaqmal dan mutaghayyir merupakan air yang suci tetapi tidak dapat menyucikan.” (Lihat: Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/61)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf menyatakan: “Air yang suci dan tidak menyucikan iaitu air mustaqmal.” (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah,59)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, menggunakan spray air untuk mengambil wudhu’ di dalam pejabat adalah sah sekiranya cukup syarat-syarat sahnya.

Namun, lebih afdhal mengambil wudhu’ secara kebiasaannya supaya tidak meninggalkan perkara-perkara sunat wudhu’ seperti membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali, berkumur-kumur dan lain-lain. Ini kerana dengan melakukan perkara sunat ini dapat menyempurnakan ibadah wudhu’.

Ini seperti hadis daripada Sayyidina Uthman bin Affan R.A, sabda Nabi SAW:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ خَرَجَتْ خَطَايَاهُ مِنْ جَسَدِهِ حَتَّى تَخْرُجَ مِنْ تَحْتِ أَظْفَارِهِ
“Barangsiapa yang berwudhu’ dengan sebaik-baik wudhu’ akan keluarlah dosanya daripada jasadnya sehingga keluar daripada hujung kukunya.” [Riwayat Muslim (245)]

Begitu juga dengan ancaman daripada Baginda Nabi SAW seperti hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ
“Kami pulang bersama Rasulullah SAW dari Mekah menuju Madinah. Di tengah perjalanan, kami tiba di suatu tempat yang terdapat air. Sebahagian orang tergesa-gesa berwudhu’ kerana takut waktu Asar akan habis. Ketika kami menghampiri mereka, kami melihat tumit mereka kering, tidak disentuh oleh air. Lalu Nabi SAW bersabda: “Celakalah tumit-tumit (yang tidak terbasuh dengan air wudhu’) yang akan terkena api neraka. Sempurnakanlah wudhu’ kamu dengan baik.” [Riwayat Muslim (593)]

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan syariat Islam dan melakukan amal ketaatan menepati kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya. Amin. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas