Connect with us

Oh! Media

Perbezaan Al-Ghufran Dan Al-Maghfirah Di Dalam Al-Quran

Umum

Perbezaan Al-Ghufran Dan Al-Maghfirah Di Dalam Al-Quran

SOALAN:
Apakah perbezaan di antara al-Ghufran (الغفران) dan al-Maghfirah (المغفرة)?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya. Antaranya adalah rahsia dari sudut penggunaan kalimah di dalam al-Quran itu sendiri.

Berdasarkan soalan di atas, kami akan menjelaskan berkaitan perbezaan di antara al-Ghufran (الغفران) dan al-Maghfirah (المغفرة) di dalam al-Quran. Sebelum kita melihat kepada perbezaan penggunaan dua kalimah ini di dalam al-Quran, Imam al-Raghib al-Ashbahani menyatakan al-Ghufran dan al-Maghfirah membawa maksud pemeliharaan Allah terhadap hamba-Nya daripada terkena azab-Nya. [Lihat: Mufradat Alfaz al-Quran, 609] Di samping itu juga, kalimah al-Ghufran (الغفران) disebutkan sekali sahaja di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Baqarah:

Firman Allah SWT:

وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ
“Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan), keampunan-Mu wahai Tuhan kam, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.” (al-Baqarah: 285)

Manakala kalimah al-Maghfirah (المغفرة) pula disebutkan sebanyak 28 kali di dalam al-Quran. Antaranya:

Firman Allah SWT:

وَاللَّـهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ
“Sedangkan Allah mengajak ke Syurga serta memberi keampunan dengan izin-Nya.” (al-Baqarah: 221)

Menurut Dr. Fadhil Soleh al-Samira’iy di dalam bukunya ada menyebutkan perbezaan di antara kedua lafaz ini walaupun keduanya membawa maksud keampunan. Terdapat dua perbezaan dalam penggunaan al-Quran terhadap dua kalimah ini, iaitu: [Lihat: Min Asrar al-Bayan al-Qur’ani, 19]

Pertama: Kalimah al-Ghufran ini digunakan dalam menuntut keampunan iaitu di dalam bab berdoa dan tidak digunakan kalimah al-Maghfirah di dalam berdoa.

Kedua: Kalimah al-Ghufran hanya milik atau bagi Allah sahaja. Adapun, kalimah al-Maghfirah lebih umum dan ia meliputi sama ada daripada Allah ataupun daripada selain daripada Allah SWT. Antara buktinya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَاللَّـهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا
“Sedangkan Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan-Nya.” (al-Baqarah: 268)

Ayat ini menunjukkan keampunan itu datangnya daripada Allah SWT. Adapun ayat yang seterusnya ini menunjukkan bahawa keampunan itu juga datang selain daripada Allah SWT:

قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى
“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik serta memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.” (al-Baqarah: 263)

Untuk itu, kedua kalimah ini membawa maksud yang sama iaitu keampunan. Akan tetapi, dari sudut penggunaan berbeza iaitu kalimah al-Ghufran lebih khusus iaitu hanya untuk Allah. Manakala, kalimah al-Maghfirah itu lebih umum penggunaannya bukan hanya kepada Allah semata-mata, bahkan ia juga digunakan kepada selain daripada Allah.

Penutup

Kesimpulannya, di dalam al-Quran terdapat banyak rahsia-rahsia yang menunjukkan kehebatan al-Quran yang merupakan Kalam Allah SWT. Ini kerana, setiap perkataan atau kalimah yang digunakan ada rahsia-rahsianya yang tersendiri dan hanya orang yang betul-betul mentadabbur makna-makna di dalam al-Quran mengetahui akan hakikat ini Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas