Connect with us

Oh! Media

Panggilan Video Kepada Pasangan Yang Berjauhan Ketika Berpuasa

Umum

Panggilan Video Kepada Pasangan Yang Berjauhan Ketika Berpuasa

Soalan:
Saya bermusafir ke luar negara pada bulan Ramadhan. Bila sudah berjauhan dengan isteri mesti ada rasa rindu. Jadinya pada setiap hari saya akan bersembang dengan isteri saya melalui video call. Tiba-tiba saya terfikir, adakah boleh saya melihat isteri saya pada siang bulan Ramadhan melalui video call. Adakah boleh membatalkan puasa?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Ada lapan perkara yang boleh membatalkan puasa jika ia dilakukan. Perkara tersebut ialah :

  • Makan dan minum dengan sengaja.
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka.
  • Muntah dengan sengaja.
  • Bersetubuh.
  • Beronani sehingga keluar air mani.
  • Haid dan nifas.
  • Gila dan mabuk sepanjang hari.
  • Murtad.

Jika terjadi lapan perkara ini, maka terbatal lah puasanya dan wajib diganti.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak mengapa untuk melihat isteri walaupun melalui video call. Ini kerana perkara perkara tersebut tidak termasuk di dalam perkara yang membatalkan puasa. Namun jika seseorang itu melihat isterinya dalam keadaan yang bersyahwat dan terangsang sehingga boleh membawa kepada perkara yang membatalkan puasa seperti beronani maka makruh untuk dia melihat isterinya. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Umar Bin Al-Khattab:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ
“Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan perkara yang besar. Aku telah bercumbuan dalam keadaan aku berpuasa.” Rasulullah SAW bersabda: “Apa pandangan engkau jika engkau berkumur-kumur dalam keadaan engkau berpuasa?” [Riwayat Abu Daud (2385)]


Sheikh Abdul Muhsin Al-Abbad ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebutkan bahawa Nabi SAW menqiyaskan perbuatan mencium pada siang bulan Ramadhan dengan perbuatan berkumur. Berkumur adalah pendahuluan kepada minum manakala bercium adalah pendahuluan kepada jimak. Namun kedua-duanya tidak membatalkan puasa selagi mana air yang dikumur tidak ditelan dan bercium tidak membawa kepada jimak. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud,275/24)

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa bahawa Baginda SAW mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 6/321)

Maka dapat kita fahami melalui hadis ini bahawa jika ciumannya itu boleh membawa kepada perkara yang boleh membatalkan puasa maka makruh baginya untuk dilakukan. Begitu juga halnya dengan perbuatan melihat kepada isteri yang mana perbuatan ini lebih ringan dari mencium. Ia mengambil hukum yang sama dengan mencium pada siang hari Ramadhan.

Kesimpulannya, tidak mengapa untuk melihat isteri melalui video call. Ini kerana perbuatan tersebut tidak termasuk daripada perkara yang membatalkan puasa. Namun jika ianya boleh merangsang syahwat sehingga boleh melakukan perkara yang membatalkan puasa maka perbuatan itu adalah makruh. Wallahu’alam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas