Connect with us

Orang Buta Menjadi Imam Solat

Umum

Orang Buta Menjadi Imam Solat

Soalan:
Apakah hukumnya seorang yang buta menjadi imam solat dan bagaimana pula dengan kebersihan pakaian mereka dari najis?

Jawapan:
Dalam isu menjadi imam, terdapat beberapa petunjuk dari Nabi S.A.W dalam menjelaskan kriteria atau ciri-ciri yang perlu ada kepada seseorang itu. Antaranya adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا
“Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah (al-Quran). Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka (dahulukan) yang paling berilmu tentang al-Sunnah (untuk menjadi imam). Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.” [Riwayat Muslim (673)]

Dalam hadis di atas, baginda S.A.W memberikan beberapa kriteria utama yang menjadikan seseorang itu didahulukan untuk menjadi imam solat. Kami ringkaskan beberapa ciri tersebut seperti berikut:

  • Yang paling mahir terhadap al-Quran

Maksud perkataan أَقْرَؤُهُمْ itu boleh difahami dengan dua pengertian. Iaitu maksud yang pertama ia merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:

لَمَّا قَدِمَ الْمُهَاجِرُونَ الْأَوَّلُونَ الْعُصْبَةَ -مَوْضِعٌ بِقُبَاءٍ – قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ، كَانَ يَؤُمُّهُمْ سَالِمٌ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَكَانَ أَكْثَرَهُمْ قُرْآنًا
“Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di ‘Ushbah -iaitu sebuah kawasan di Quba’- sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, yang menjadi imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka.” [Riwayat al-Bukhari (692)]

Ini merupakan antara dalil paling jelas dalam menyebut bahawa kelayakan paling utama yang menjadikan seseorang itu berhak didahulukan menjadi imam dalam solat adalah hafalan al-Quran yang banyak.

Manakala maksud yang kedua dari perkataan أَقْرَؤُهُمْ adalah individu yang paling baik bacaan al-Qurannya. Dari sudut dia merupakan seorang yang meraikan tajwid yang betul serta makhraj huruf dalam pembacaan al-Quran.

Manakala beberapa ciri lain yang disebutkan adalah:

  • Yang paling berilmu tentang Sunnah Nabi S.A.W.
  • Yang paling awal berhijrah.
  • Yang paling awal memeluk Islam.

Manakala dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut:

فَأَكْبَرُهُمْ سِنًّا
“Yang paling tua umurnya.” [Riwayat al-Tirmizi (235)]

Manakala Imam al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis Abu Mas’ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Kata beliau:

ولنا وجه اختاره جماعة من أصحابنا : أن الأورع مقدم على الأفقه والأقرأ لأن مقصود الإمامة يحصل من الأورع أكثر من غيره
“Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (al-Syafi’eyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak didahulukan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan dari menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.“ [Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (5/300)]

Berdasarkan beberapa ciri di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak ditetapkan ciri-ciri fizikal seseorang itu untuk menjadi imam seperti ciri berbadan besar atau kecil, celik atau buta, berkulit putih atau gelap, sebaliknya Nabi S.A.W menitik beratkan ciri-ciri yang telah disebutkan di atas.

Bahkan terdapat beberapa riwayat yang secara jelas menunjukkan keharusan orang buta untuk menjadi imam, tambahan pula dia mempunyai kemahiran dan hafalan al-Quran yang lebih banyak berbanding orang yang celik. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اسْتَخْلَفَ ابْنَ أُمِّ مَكْتُومٍ يَؤُمُّ النَّاسَ وَهُوَ أَعْمَى
“Sesungguhnya Nabi S.A.W pernah menggantikan Ibn Ummi Maktum menjadi imam kepada orang ramai dalam keadaan dia merupakan seorang yang buta.” [Riwayat Abu Daud (595)]

Justeru ini merupakan petunjuk yang jelas bahawa Nabi S.A.W memberikan kebenaran untuk seorang yang buta itu menjadi imam di dalam solat. Bahkan boleh dikatakan bahawa para ulama mazhab bersepakat akan sahnya orang buta menjadi imam dalam solat.

Kata Imam Ibn Qudamah: “Adapun orang buta maka kami tidak mengetahui terdapatnya khilaf (perbezaan pandangan) terhadap sahnya dia mengimamkan solat. Melainkan apa yang dihikayatkan daripada Anas bin Malik beliau berkata: “Tidak ada keperluan kepada mereka (untuk menjadi imam).” Daripada Ibn Abbas beliau berkata: “Bagaimana aku ingin menjadi imam pada mereka (orang-orang yang celik) sedangkan mereka yang membetulkan kedudukan aku untuk menghadap ke arah kiblat?” Yang sahihnya, Ibn Abbas pernah mengimamkan solat dalam keadaan beliau buta.” [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (2/13)]

Manakala Imam al-Nawawi pula berkata: “Pendapat yang sahih di sisi ashab (ulama al-Syafi’eyyah) menyatakan bahawa orang yang celik dan orang yang buta adalah sama (dari sudut dibolehkan menjadi imam solat) sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam al-Syafi’e. Dan mereka telah bersepakat bahawa tidak dimakruhkan terhadap perbuatan orang buta menjadi imam kepada orang yang celik.” [Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/181)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum orang buta menjadi imam kepada orang-orang yang celik adalah dibolehkan dan solatnya adalah sah. Lebih-lebih lagi sekiranya orang buta tersebut merupakan individu yang lebih banyak menghafal al-Quran serta elok tajwid dan makhraj hurufnya.

Berkenaan dengan isu kebersihan pakaian dari najis pula, seperti yang kita ketahui dalam perbahasan fekah ada menyebutkan bahawa ‘ain najis itu dapat dikenalpasti dengan tiga perkara iaitu, warna, rasa, atau bau. Meskipun orang buta tidak dapat melihat warna najis, namun deria bau masih boleh mengesan najis yang ada pada pakaian, badan atau tempat solat. Sekiranya ketiga perkara ini tidak didapati pada dirinya, maka ia kembali kepada hukum bersih dan sucinya diri orang buta tersebut daripada najis. Wallahua’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang tepat dalam beragama. Ameen.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top