Connect with us

Oh! Media

Menuju Alam Barzakh, Bersediakah Kita?

Umum

Menuju Alam Barzakh, Bersediakah Kita?

Sebagai umat yang beriman dan berpegang kepada al-Quran dan al-hadis serta akidah Ahli Sunnah wal Jamaah wajib mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati pasti berlaku, setiap manusia pasti melaluinya. Pendek atau panjangnya umur kita tidak menjadi persoalan, kerana akhirnya manusia akan mati jua. Bagaimana sihatnya seseorang, bagaimana besarnya kuasa yang dimiliki, manusia pasti akan mati dan meninggalkan dunia yang fana ini. Apabila ajal atau masa kematian telah tiba, mati tetap mendatangi manusia di mana jua manusia itu berada. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 78 yang bermaksud:

ADVERTISEMENT

“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekali pun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.”

Apabila nyawa telah berpisah dari badan atau mati, maka bermulalah perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh atau alam kubur. Iaitu alam yang terletak di antara alam dunia dan alam akhirat, sebelum kita dibangkitkan dan dihimpunkan di padang mahsyar. Alam barzakh yang juga merupakan persinggahan pertama di antara tempattempat persinggahan alam akhirat. Sebagaimana hadis daripada Uthman bin Affan R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama alam akhirat, jika seorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika dia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru haralah di tempat-tempat yang lain dengan lebih berat lagi.” (Riwayat al-Tirmidzi)

Ketahuilah apabila mayat seseorang diletakkan di dalam kubur, maka dua malaikat Munkar dan Nakir akan mendatanginya dan menyoal beberapa soalan. Ini adalah ujian pertama yang disebut fitnatul kubur atau ujian kubur. Sesiapa yang berjaya dalam ujian ini akan menerima nikmat, manakala sesiapa yang gagal pula akan menerima azab Allah SWT. Inilah yang dinamakan nikmat dan azab kubur.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi dan Abu Daud bahawa antara nikmat-nikmat kubur itu ialah:

  1. Dibentangkan hamparan dari syurga.
  2. Dipakaikan pakaian dari syurga.
  3. Dibukakan pintu menuju syurga.
  4. Didatangkan wangi-wangian dari syurga.
  5. Dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta.
  6. Diberikan cahaya yang menerangi kuburnya.
  7. Tidur dengan lena sehingga hari kebangkitan.

Dan antara azab-azab kubur pula ialah:

  1. Dibentangkan hamparan dari neraka.
  2. Dipakaikan pakaian dari neraka.
  3. Dibukakan pintu menuju ke neraka.
  4. Didatangkan bahang api neraka.
  5. Dipukul antara kedua telinganya.
  6. Dihimpit bumi sehinga remuk tulang-temulangnya.

Sesungguhnya nikmat-nikmat kubur disediakan bagi orang-orang yang taat kepada Allah SWT dan azab kubur disediakan bagi orang-orang yang menderhaka kepada Allah SWT itu berterusan hingga ke hari akhirat.

Ini dijelaskan sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya apabila seseorang itu telah mati, didedahkan padanya pagi dan petang tempat tinggalnya akan datang. Sekiranya si mati itu dari ahli syurga maka syurgalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai nikmatnya, dan jika ia dari ahli neraka maka nerakalah yang didedahkan kepadanya untuk ia merasai azab sengsaranya. Kemudian dikatakan kepada masing-masing: “Inilah tempat tinggalmu yang akan engkau dibawa kepadanya pada hari akhirat.” (Riwayat al-Bukhari)

Apa pun nikmat dan azab di alam barzakh atau alam kubur itu tetap berlaku dan setiap manusia pasti akan menemuinya. Oleh itu kita sebagai orang yang beriman, hendaklah meyakini kebenarannya dan bersedia dengan persediaan-persediaan yang dapat membantu kita bagi mendapatkan nikmat-nikmat kubur dan dapat menghindarkan dari azab-azabnya. Kita mesti memperbanyakkan amalan-amalan soleh, kerana amal soleh satu-satunya pekara yang kekal bersama kita di alam kubur nanti.

Hadis daripada Anas bin Malik R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara akan mengikut orang mati ke kuburnya, kemudian dua daripadanya akan balik dan tinggal satu bersama-samanya; yang akan mengikutnya ke kubur ialah keluarga, harta dan amal, kemudian keluarga dan harta akan balik, dan tinggallah amal bersama-sama dengannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Antara amal-amal soleh yang dapat membantu seseorang bagi mendapatkan nikmat-nikmat kubur ialah; sedekah jariah, ilmu yang bemanfaat dan anak soleh yang mendoakannya. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang manusia meninggal dunia maka terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Amalan-amalan soleh yang dapat membantu menghindarkan azabazab kubur ialah: solat, puasa, zakat dan amalan-amalan kebaikan yang dilakukan. Amalan-amalan tersebut akan menjadi benteng dan penyelamat kepada simati daripada azab kubur.

Justeru, Ingatlah dan segeralah melakukan amal-amal soleh sebagai bekalan untuk dibawa ke alam barzakh, kerana kematian akan datang pada bila-bila masa sahaja, tidak kira masa kita muda atau tua, masa kita sihat atau sakit, masa kita senang atau susah walau di mana jua kita berada. Oleh itu janganlah kita lalai dan suka bertangguh dalam memperbanyakkan amal ibadah.

Sewajarnya kita tingkatkan kesedaran dan keinsafan di dalam jiwa kita, bahawa kita semua akan mati dan tinggal di alam barzakh atau alam kubur. Jadikanlah apa yang telah berlaku kepada rakan-rakan dan saudara-saudara kita yang telah meninggal dunia sebagai suatu peringatan, pengajaran dan keinsafan bagi kita supaya bersegera membuat persiapan diri dan menyediakan bekalan amal soleh secukupnya bagi menghadapi kematian yang akan mendatang. Sedarlah, bahawa alam barzakh sentiasa membuka pintunya dan menanti serta mengalu-alukan kedatangan kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh); dan pada hari berlakunya Kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Ghafir: 46)

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas