Connect with us

Meninggal Dunia Pada Bulan Ramadhan

Umum

Meninggal Dunia Pada Bulan Ramadhan

Soalan:
Apakah kelebihan malam mati pada bulan Ramadhan. Adakah orang yang mati pada bulan Ramadhan akan dimasukkan ke dalam syurga?

Jawapan:
Di antara kelebihan bulan Ramadhan sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab hadith yang sahih adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ
“Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” [Riwayat Muslim (1079)]

Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam di dalam kitabnya Maqasid al-Saum menyatakan makna hadith ini adalah dibuka pintu syurga adalah disebabkan banyaknya amalan ketaatan dilakukan pada malam ini. Adapun ditutup pintu neraka pula adalah disebabkan kurangnya orang-orang yang melakukan maksiat pada bulan tersebut dan dibelenggu syaitan pula adalah bebasnya manusia daripada gangguan syaitan.

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati hadith-hadith yang sahih berkaitan kelebihan mati pada bulan Ramadhan. Adapun berkaitan orang yang mati pada bulan Ramadhan akan dimasukkan ke dalam syurga pula, secara asasnya seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah serta amalan kebaikan yang dilakukan ketika di dunia dahulu. Ini dijelaskan di dalam al-Quran:

ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
“Masuklah kamu ke dalam syurga disebabkan amal kebaikan yang telah kamu kerjakan.” (al-Nahl: 32)


Syeikh al-Sya’rawi ketika menafsirkan mengatakan: “Ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT akan memberikan syurga sebagai balasan kepada setiap hamba-Nya yang telah melakukan amal soleh ketika di dunia dahulu serta disebabkan hamba tersebut telah mengikut manhaj atau jalan yang benar.” [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi, 7897/13]

Untuk itu, masuknya seseorang itu ke dalam syurga dengan amalan yang dilakukan. Bulan Ramadhan merupakan musim beramal. Semoga kematian dalam bulan Ramadhan menjadi suatu kelebihan buatnya oleh Allah SWT kerana keadaannya yang sedang beramal. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Dan sesiapa yang berpuasa sehari kerana mencari keredhaan Allah, yang ia mengakhiri hidupnya dengan amal tersebut, dia masuk syurga.” [Riwayat Ahmad (23324)]

Ini menunjukkan bahawa orang yang mati pada bulan Ramadhan itu, tetap dimasukkan ke dalam syurga bergantung kepada amalannya.

Tambahan pula, jika seseorang itu ditakdirkan oleh Allah SWT bahawa ajalnya pada bulan Ramadhan atau pada waktu-waktu mulia yang lain seperti hari Jumaat, atau pada tempat-tempat mulia yang lain seperti di Tanah Haram, maka ia boleh dikategorikan sebagai salah satu tanda husnul khotimah (pengakhiran hidup yang baik). Selain itu, tugas kita sebagai seorang hamba adalah dengan sentiasa memperbanyakkan amalan soleh serta sentiasa beristiqamah mempersiapkan diri untuk bertemu Allah SWT pada bila-bila masa sahaja. Sifat rahmat dan keampunan Allah SWT amat luas dan ia tidak terhad pada tempat atau waktu-waktu tertentu.

Penutup

Kesimpulannya, kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tempat atau waktu kematian kerana ia merupakan hak dan rahsia Allah SWT. Kita hanya dituntut untuk sentiasa bersedia dengan memperbanyakkan amalan soleh di dunia ini supaya dengan amalan tersebut akan membawa kita ke dalam syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan kita pengakhiran hidup yang baik. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top