Connect with us

Oh! Media

Larangan Ketika Berdoa

Umum

Larangan Ketika Berdoa

Soalan:
Apakah terdapat larangan daripada Nabi SAW ketika berdoa?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa (permohonan) kamu.” (Al-Ghafir: 60)

Berdasarkan kepada soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menceritakan berkaitan larangan Nabi SAW ketika berdoa kepada Allah SWT iaitu, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، لِيَعْزِمِ المَسْأَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ
“Janganlah seseorang kamu berkata: “Ya Allah ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, ya Allah ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu.” Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.” [Riwayat al-Bukhari (6339) dan Muslim (2679)]

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kita larangan berdoa dalam keadaan tidak yakin. Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan tidak dibenarkan seseorang itu berdoa dengan lafaz tersebut dalam memohon kepada Allah berkaitan hal agama dan dunia dan itu termasuk di dalam ucapan yang mustahil. Adapun Imam al-Nawawi menyatakan hukum bagi orang yang berdoa sedemikian adalah makruh tanzih. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu perlu bersungguh-sungguh dalam berdoa serta dalam masa yang sama mengharapkan agar Allah SWT menerima doanya dan janganlah ada rasa putus asa dengan rahmat Allah kerana dia sedang berdoa dengan Yang Maha Pemurah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Batthal. [Lihat: Fath al-Bari, 11/140]

Penutup

Kesimpulannya, seseorang itu perlu ada kesungguhan dalam berdoa kepada Allah SWT. Di samping itu, sifat yakin bahawa Allah SWT akan menjawab segala doa yang telah kita panjatkan kepada-Nya cuma cara Allah SWT menerima doanya adalah dengan pelbagai cara. Ini kerana, keyakinan amat perlu dalam berdoa kepada Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ
“Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.” [Riwayat al-Tirmidzi (3479), Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif]

Tambahan pula, sifat berbaik sangka dengan Allah SWT adalah amat penting dalam berdoa. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya mustajab. Amin. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas