Dalam perkembangan terkini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan keputusan ujian saringan air kencing pegawai kanan polis kes langgar budak sekolah didapati negatif dadah.
Jelas beliau, ujian air kencing diambil sebaik sahaja suspek ditahan polis pada hari kejadian. Ini sekali gus menolak dakwaan tular mengatakan pihak polis tak membuat pemeriksaan air kencing.
Tuduhan itu tidak benar, berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan suspek didapati negatif dadah. Kita juga telah mengambil sampel darah suspek dan kini sedang menunggu keputusan ujian darah yang dilakukan pihak patalogi.
Ketua Polis Perak juga menafikan dakwaan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melindungi suspek yang berpangkat pegawai.
Saya baca semua dakwaan yang tular di media sosial kononnya pihak polis akan melindungi suspek kerana dia pegawai kita. Tuduhan itu fitnah dan tidak benar sama sekali.
Katanya, siasatan menyeluruh akan dibuat dan polis menyeru orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian tampil ke hadapan. Setakat ini, seramai tujuh orang saksi sudah dipanggil memberi keterangan.
Kita mahu beri keadilan bukan sahaja kepada mangsa tetapi semua pihak.
Terdahulu, tular di media sosial kejadian langgar melibatkan seorang polis dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.
Mangsa didakwa dilanggar dari arah belakang berpunca daripada suspek yang tak berpuas hati dengan bunyi bising motosikal mangsa. Akibat perlanggaran, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.