Connect with us

Oh! Media

PM Naikkan Elaun Sukarelawan Kesihatan RM100 Sehari

COVID-19

PM Naikkan Elaun Sukarelawan Kesihatan RM100 Sehari

Berita baik buat sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 apabila elaun atau sagu hati dinaikkan kepada Rm100 sehari mulai bulan ini.

ADVERTISEMENT

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, hari ini.

Dianggarkan seramai 19,000 sukarelawan bakal menerima sagu hati ini dengan implikasi tambahan berjumlah RM180 juta.

“Hari ini saya mengumumkan kerajaan bersetuju bayaran sagu hati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari.

“Ia membabitkan sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.

“Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan, selain dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC),” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir, turut mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Serbaguna Pagoh, di sini, dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar penerima vaksin membabitkan golongan Orang Asli.

Muhyiddin menambah, sebelum ini, beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan supaya dapat ditambah jumlahnya dengan bilangan penerima diperluas secepat mungkin.

“Jumlah keseluruhan peruntukan untuk sagu hati sukarelawan kesihatan adalah RM327 juta iaitu jumlah bayaran sagu hati sebelum ini membabitkan RM147 juta serta elaun baharu yang diluluskan membabitkan RM180 juta.

“Kenaikan kadar sagu hati kepada sukarelawan kesihatan ini adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka bertungkus lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat serta selamat.

“Langkah ini juga membuktikan keseriusan kerajaan meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara yang kini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari hari ke hari,” katanya.

Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia akan terlindung daripada jangkitan Covid-19 jika ramai yang mengambil vaksin dan sekaligus negara akan dapat mencapai tahap imuniti kelompok.

Kredit : BeritaHarian

Lagi dalam kategori COVID-19

Ke Atas