
Oh! Negara
Inspektor Polis Didakwa Terima Rasuah RM23,000 Untuk Lepaskan Tangkapan Dadah
Nama baik institusi polis diuji lagi apabila seorang pegawai berpangkat Inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000.
Tertuduh, Khairul Faiz Mohamad Zaini, 37, dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Terima wang sebagai balasan buang bukti dan lepaskan tangkapan…

Mengikut pertuduhan pertama, Khairul Faiz didakwa menerima RM15,000 daripada individu bernama Mohamad Adam A. Rahman. Wang tersebut disalurkan ke akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun Maybank milik isterinya.
Rasuah tersebut didakwa diberikan sebagai balasan untuk melepaskan tiga individu yang ditahan serta membuang dadah jenis syabu dalam satu serbuan.
Kejadian itu dikatakan berlaku sekitar jam 2 pagi pada 26 Februari 2021 di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik IPK Terengganu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima tambahan RM8,000 daripada individu yang sama, juga melalui akaun isterinya dan bagi tujuan yang sama, pada tarikh dan masa serupa.
Mahkamah benarkan ikat jamin, sebutan semula kes Jun ini…
Hakim Mohd. Azhar Othman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan dan dia perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiyah Mohd. Noorlee. Kes ini akan disebut semula pada 18 Jun depan.
Pssttt! Rasuah bukan sahaja mencemarkan imej pasukan keselamatan, tetapi turut membahayakan masyarakat apabila penjenayah dilepaskan dan bukti dilupuskan. Kes sebegini harus dijadikan iktibar kepada semua pihak berkuasa agar tidak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan.
Kredit: Buletin TV3
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
