Hari nuzul al-Quran adalah hari yang bermakna bagi umat Islam kerana peristiwa penurunan ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad. Oleh itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak untuk tekuni kupasan dan tafsir al-Quran.
Menurut laporan Harian Metro, beliau berkata penghayatan mesej hikmah al-Quran bakal didik umat Islam jadi insan yang adil, bertaqwa dan berakhlak mulia.
Anwar menyatakan pada bulan Ramadan, umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan tilawah al-Quran untuk tingkatkan darjat pahala serta memahami seruan Qurani yang mempunyai mesej akhlak dan kemanusiaan.
Bahkan memahami mesej al-Quran itu seharusnya lebih ditekankan kerana al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah.
Ibrah (pengajaran) yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongkan khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia (hudan linnas).
Tambah beliau, dengan tekuni setiap ayat al-Quran itu seperti menggenggam cahaya obor yang menerangi jalan ke depan.
Meski di akhirnya kita hanya berhasil meneguk setitis air dari lautan luas hikmah kebijaksanaan al-Quran, namun Allah SWT tidak pernah memberati hamba-Nya dan yang demikian itu cukup buat melunasi bahagian penting dari kehidupan kita sebagai manusia dalam bahtera kehidupan ini.
Menerusi hantaran akaun Facebook miliknya, Anwar juga sempat menasihati semoga pendampingan dengan al-Quran akan jadi penyuluh hidup dan mengucapkan selamat memperingati peristiwa ini.
Melalui peristiwa ini, kita juga dapat mempelajari zahirkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang tak mampu digambarkan oleh akal manusia.
Marilah kita banyakkan membaca kitab suci Al-Quran sempena hari nuzul al-Quran supaya amalan itu dapat dijadikan sebagai penyelamat bagi setiap kesulitan.
Shazwani, bekas pelajar internship di Oh! Media dan pernah berkhidmat sebagai penulis separuh masa yang fokus pada isu-isu trending dan topik hangat, memastikan pembaca sentiasa mendapat berita yang relevan dan menarik.