Oh! Bisnes
Catcha Digital Ambil Alih 60% Saham One International, Sertai Industri Pameran Perdagangan
Catcha Digital beli 60% One International bernilai RM11.38 juta, kukuhkan kedudukan dalam industri pameran pertanian dan pembinaan.
Catcha Digital Berhad kini melangkah lebih jauh apabila anak syarikat miliknya, Catcha Connect Sdn Bhd, mengumumkan pengambil alihan 60% pegangan saham dalam One International Exhibition Sdn Bhd bernilai RM11.38 juta.
Langkah ini menandakan kemasukan strategik Catcha Digital ke dalam industri pameran perdagangan yang berdaya tahan dan menguntungkan.
Catcha Digital miliki 60% saham One International

One International terkenal sebagai penganjur Agri Malaysia, pameran teknologi pertanian B2B terbesar di negara ini yang menjadi pusat inovasi, mekanisasi dan kelestarian industri makanan.
Edisi 2024 berjaya menghimpunkan lebih 400 pempamer dari 11 negara dan menerima lebih 12,000 pengunjung dari 35 negara.
Selain itu, One International turut menganjurkan MBAM OneBuild, pameran pembinaan dan infrastruktur yang mendapat sambutan hebat dengan lebih 200 pempamer dari 11 negara serta kehadiran 7,000 pembeli perdagangan dari 21 negara.
Kedua-dua acara ini diiktiraf dengan Merit Award for Trade Exhibition Excellence di Malaysia Business Events Awards 2025.

Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove, berkata pengambilalihan ini membuka peluang besar untuk syarikat menceburi industri pameran perdagangan yang berdaya tahan dan menguntungkan, selain melengkapkan portfolio mereka dalam sektor pengiklanan media digital.
Roger dan pasukannya telah membina perniagaan yang luar biasa dengan acara-acara utama yang penting untuk industri pertanian dan pembinaan. Kami teruja untuk menyokong mereka mengembangkan impak ke seluruh Malaysia dan seterusnya.
Ujarnya, Roger, yang juga ahli jawatankuasa MACEOS (2024–2026), aktif memacu pertumbuhan industri acara perniagaan dan turut mempromosikan kerjasama perdagangan Malaysia–China.
Dapat membuka lembaran baru buat One International

Sementara itu, Roger Lim, Pengarah Urusan One International berkata kerjasama dengan Catcha Digital membuka lembaran baru yang cukup menarik bagi syarikatnya dalam usaha membangunkan serta memperluaskan pameran berprestij yang mampu menghubungkan pemain industri dan merancakkan pertumbuhan perniagaan dalam pelbagai sektor.
Kami teruja untuk memanfaatkan sinergi ini bagi mempercepatkan pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran.
Pengambilalihan ini melengkapkan tujuh pemerolehan strategik Catcha Digital dalam tempoh sembilan bulan, termasuk Tastefully Malaysia, Nexible Solutions, Drive 2 Digital, Framemotion Studio, Digital Symphony dan Theta Service Partner.
Keseluruhan syarikat sasaran dijangka menjana keuntungan terkumpul sekitar RM23.9 juta.
Dengan langkah ini, Catcha Digital bukan sahaja memperkukuh kedudukan dalam ekonomi digital, malah kini memegang aset pameran berprestij yang mampu membuka peluang pertumbuhan baharu.
Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 08/05/2026 8:30 PM