Connect with us

Oh! Media

Tulis Nama Si Mati Atas Al-Quran Wakaf

Umum

Tulis Nama Si Mati Atas Al-Quran Wakaf

Soalan:
Apakah hukumnya menulis nama si mati pada Al-Quran Wakaf dan meminta didoakan untuknya?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Mencetak al-Quran untuk diwakafkan mengandungi pahala yang yang sangat banyak yang hanya Allah Taala yang mengetahuinya.

Maka disunatkan bagi orang Islam mencetak al-Quran dan diwakafkan atas nama dirinya dan juga kedua orang tuanya. Ini berdasarkan hadith yang datang daripada Nabi saw iaitu sabdanya:

سَبْعٌ يَجْرِي لِلْعَبْدِ أَجْرُهُنَّ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ، وهُو فِي قَبْرِهِ: مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا، أَوْ كَرَى نَهْرًا، أَوْ حَفَرَ بِئْرًا، أَوْ غَرَسَ نَخْلا، أَوْ بَنَى مَسْجِدًا، أَوْ وَرَّثَ مُصْحَفًا، أَوْ تَرَكَ وَلَدًا يَسْتَغْفِرُ لَهُ بَعْدَ مَوْتِه
“Tujuh perkara berjalan pahalanya bagi seseorang hamba setelah matinya. Iaitu orang yang mengajar akan ilmu dan menggali parit, atau menggali telaga, atau menanam tanaman yang dimakan, atau membina masjid, atau mewakafkan al-Quran, atau meninggalkan anak yang meminta ampun baginya kemudian dari kematiannya.” [Riwayat Baihaqi, hasan]

Dan bermula doa itu disuruh untuk orang-orang yang telah mati dan yang masih hidup akan tetapi doa kepada orang yang telah mati lebih lagi kuat suruhannya.

Dan sesungguhnya Nabi saw mengajar sahabatnya akan doa bagi orang yang telah mati. Adalah Nabi saw berkata kepada para sahabat ketika menanam mayat:

اسْتَغْفِرُوا لِصَاحِبِكُمْ وَسَلُوا اللَّهَ لَهُ التَّثْبِيتَ فَإِنَّهَ الآنَ يُسْأَل
“Mohonlah keampunan oleh kalian kepada saudara kamu ini dan mintalah kamu akan Allah supaya diberikan kepadanya ketetapan. Maka sungguhnya dia sekejap lagi akan disoal.” [Riwayat Baihaqi pada menyabitkan azab kubur]

Dan firman Allah Taala :

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
“Dan orang-orang yang datang kemudian dari mereka berkata: Wahai Tuhan kami ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah pergi dahulu sebelum kami dengan keimanan. Jangan Engkau jadikan hati-hati kami dengki kepada orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami sungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Kasih Sayang.” (Al-Hasyar: 10)

Kesimpulannya tidaklah menjadi kesalahan mencetak al-Quran dan memohon supaya didoakan ke atas si mati. Begitu juga tidak ada halangan pada syarak dari menulis nama si mati, dan yang utama adalah tidak perlu berbuat yang demikian dan hanya memadai dengan memohon didoakan untuknya sahaja kerana menjaga dari riak dan sum’ah.

Firman Allah Taala:

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِير
“Jika kamu sekalian menzahirkan segala sedekah maka elokkan ia dan jika kamu sembunyikan sedekah-sedekah kamu dan kamu berikannya kepada segala fakir maka ia lebih baik bagi kamu dan akan menghapuskan dari kamu akan segala kesalahan kamu. Allah sangat Mengetahui dengan segala yang telah kamu lakukan.” (Al-Baqarah: 271)

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Azhar Idrus
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas