Connect with us

Oh! Media

Tidak Mahu Bersalaman Dengan Bapa Tiri

Umum

Tidak Mahu Bersalaman Dengan Bapa Tiri

Soalan:
Saya ada anak perempuan yang sudah berumur 34 tahun dan dia sudah berumahtangga. Baru-baru ini semasa hari raya saya kenalkan ayah tirinya (suami saya yang baru) kepadanya sebab tidak pernah berjumpa disebabkan anak saya duduk berjauhan daripada saya. Dia tidak mahu bersalam dengan bapa tirinya. Betulkah haram bagi bersalam dengan bapa tirinya. Saya pun terkejut bila dia tidak mahu salam. Katanya bukan mahram. Boleh ke ustaz berikan pencerahan kepada saya tentang situasi ini?

Jawapan:
Mahram dari segi bahasa adalah larangan. Ia berasal daripada perkataan bahasa arab حرم yang dari segi istilah para fuqaha ia bermaksud individu yang haram untuk dinikahi dan dikahwini sama ada secara ta’bid iaitu yang bermaksud haram untuk dinikahi selama-lamanya. Iaitu dengan sebab nasab, perkahwinan atau penyusuan. Ataupun haram dinikahi untuk sementara kerana ada sebab-sebab tertentu (muaqqat).

Perihal berkenaan mahram ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّـهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٢٣﴾وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ ۚ فَمَا ٱسْتَمْتَعْتُم بِهِۦ مِنْهُنَّ فَـَٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا تَرَٰضَيْتُم بِهِۦ مِنۢ بَعْدِ ٱلْفَرِيضَةِ ۚ إِنَّ ٱللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut); ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu (suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Nisa’: 24-25)

Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini bukannya mengharamkan wanita-wanita ini sepertimana haramnya untuk memakan bangkai dan babi. Namun yang dimaksudkan adalah haram untuk menikah dengan wanita-wanita yang disebutkan di dalam ayat ini. (Rujuk Tafsir Al-Baidhawi, 2/165).

Implikasi daripada kehadiran mahram akan membawa kepada hukum berikut:

  • Boleh bersalaman dengannya
  • Tidak boleh berkahwin dengannya
  • Boleh berkhalwat dengannya

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, anak tiri akan menjadi mahram kepada ayah tirinya dengan syarat ibunya mesti digauli. Dengan erti kata lain, berlaku persetubuhan antara ibu anak tersebut dengan suami barunya. Ini berdasarkan potongan daripada ayat 24 Surah Al-Nisa’ di mana Allah SWT berfirman:

وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ
“..dan (diharamkan juga) anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campur..”

Sheikh Tohir Ibnu ‘Asyur menyebut bahawa di dalam ayat ini terdapat pengikat (qayd) terhadap pengharaman bernikah dengan anak tiri. Di mana anak tiri akan menjadi mahram jika ibunya digauli. Sekadar akad nikah dengan ibunya, tidak menjadikan anak tiri itu mahram kepada ayah tirinya. (Rujuk Al-Tahrir Wa Al-Tanwir, 1/921)

Perkara ini juga berdasarkan kepada kaedah:

العَقْدُ عَلَى البَنَاتِ يُحَرّمُ الأُمَّهَاتِ وَالدُّخُولُ بِالأُمَّهَاتِ يُحَرِّمُ البَنَاتِ
“Akad nikah dengan anak perempuan menjadikan ibu mahram. Dan menggauli ibu menjadikan anak perempuan mahram.”

Imam Al-Nawawi menyatakan: “Jika seorang lelaki menggauli isteri barunya, maka anak isterinya itu menjadi mahram kepadanya selama-lamanya (ta’bid).” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 16/218)

Ini bermaksud bahawa ayah tiri menjadi mahram kepada anak tirinya tidak hanya sekadar akad nikah dengan ibunya akan tetapi disyaratkan untuk digauli ibunya.

Kesimpulannya, anak tiri akan menjadi mahram kepada ayah tirinya dengan syarat ibunya digauli dan disetubuhi. Berkemungkinan berlaku kesalahfahaman sehingga anak perempuan puan tidak mahu bersalam dengan ayah tirinya. Jelaskan dengan elok kepadanya. Semoga jawapan ini mampu memberikan pencerahan sedikit sebanyak.

Semoga Allah memberikan kefahaman tentang hukum hakam kepada kita semua. Wallahu’alam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top