Umum
“Timba Pengetahuan Tentang Sisa Pembentungan”- IWK Perkasa Belia Ke Arah Kemampanan Alam Sekitar
Meneruskan kemeriahan ualng tahun ke-30, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menjalankan program Perantis IWK, sebuah program khusus untuk graduan baru dan siswazah tahun akhir, yang berminat dengan kelestarian alam sekitar serta pembangunan insaniah.
Program dengan kerjasama NK Communications PLT, bertujuan memperkasakan golongan belia dan mendorong mereka ke arah kemampanan alam sekitar, dengan menyediakan kemahiran insaniah dan nilai-nilai kepimpinan, di samping belajar untuk mencipta kempen media sosial yang menjadi salah satu komponen komunikasi penting dalam kerjaya.
Bangun Modal Insan & Pupuk Minat Memelihara Kelestarian Alam

Program yang berlangsung selama 5 hari ini telah menggabungkan aspek teori, praktikal, kemahiran kerja berkumpulan, dan latihan fizikal.
Dikendalikan oleh Pengarah NK Communication yang juga Juruhebah Radio dan Hos TV, Natalie Kniese, bersama jurulatih bertauliah HRDF yang juga Perunding Imej Profesional bertauliah (CPIC) Lalitha Muthusamny, kesemua peserta telah melalui pembelajaran teori dalam bilik darjah, dan juga penerapan aspek praktikal bagi memahami proses rawatan kumbahan.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dalam ucapannya berkata, program ini bukan sahaja untuk meraikan tiga dekad perkhidmatan IWK, tetapi juga bermatlamat untuk membangunkan modal insan di samping memupuk minat dalam memelihara kelestarian alam sekitar.
“Kami percaya program Perantis IWK dapat membantu memperkasakan golongan muda serta memberi peluang kepada mereka untuk bersedia dalam menghadapi alam pekerjaan. Saya berbangga dengan komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh semua peserta,” katanya.
Menurut beliau, program Perantis IWK merupakan salah satu cabang inspirasi daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat IWK, yang digelar IWK Cares, bertumpu kepada tiga tonggak utama – alam sekitar, komuniti dan pendidikan.
Hadiah Berupa Wang Tunai & Peluang Pekerjaan di IWK

Kesemua peserta Perantis IWK bukan sahaja melalui latihan yang disediakan, malah mereka turut bersaing untuk merebut tiga hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM1,000.00 (setiap seorang) dan peluang pekerjaan atau latihan industri di IWK.
Purrfect Duo yang dianggotai oleh Lew Bay Sin dan Naida Sofea binti Mohd Noorhazli telah memenangi kategori kumpulan terbaik. Bagi kategori Networker Terbaik dimenangi oleh Irwan bin Ibrahim manakala kumpulan yang memenangi aktiviti Cabaran Fizikal ialah IWK Youth, terdiri daripada Eng Jin Cherng, Irwan bin Ibrahim dan Alia Nurmaisarah binti Hairil Anuar.
Proses penilaian akhir telah dijalankan oleh panel yang terdiri daripada Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan IWK, Encik Taufik Salleh; Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Puan Wan Esuriyanti Wan Ahmad; Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia dan Modal Insan IWK, Encik Azhan Mohd Lazim dan Pengarah Urusan NK Communication PLT, Cik Misha Shah.
Pemenang Perantis IWK, Lew Bay Sin dan Naida Sofea binti Mohd Noorhazli berkata, dengan latihan serta kemahiran yang telah dijalankan, program ini telah membuka pengalaman baharu kepada semua peserta.
“Bukan sahaja kami dapat menimba banyak pengetahuan mengenai sistem pembetungan, tetapi program ini telah dijalankan secara percuma. Kami merasa amat bertuah kerana mendapat peluang sebegini dan saya amat berharap agar pihak IWK dapat meneruskan Perantis IWK lagi bagi tahun tahun akan datang, agar lebih ramai generasi muda mendapat manfaatnya,” katanya.
Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 08/05/2026 8:30 PM