Connect with us

Status Hadith: Nikmat Yang Didengki Oleh Orang Lain

Umum

Status Hadith: Nikmat Yang Didengki Oleh Orang Lain

SOALAN:
Apakah status hadith ini?

اسْتَعِينُوا عَلَى إنْجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ، فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
“Mintalah pertolongan untuk hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya kerana setiap manusia yang mempunyai nikmat, akan didengki (oleh orang lain).”

JAWAPAN:

Sumber Hadith

Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk menyatakan sumbernya terlebih dahulu. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam ketiga mu’jamnya iaitu al-Mu’jam al-Saghir (no. 1186), al-Mu’jam al-Awsath (no. 2455) dan juga al-Mu’jam al-Kabir (no. 183) melalui jalur Mu’az bin Jabal R.A. Di samping itu, Imam al-Baihaqi turut meriwayatkan hadith ini di dalam kitabnya Syu’ab al-Iman (no. 6228) juga melalui jalur Mu’az bin Jabal R.A. Begitu juga, Imam Abu Nu’aim ada meriwayatkan di dalam kitabnya Hilyah al-Awliya’(5/215), Imam al-‘Uqailiy di dalam kitabnya al-Dhu’afa’ al-Kabir (2/108) dan juga Imam Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal (4/462) kesemuanya melalui jalur Mu’az bin Jabal R.A. Tambahan pula, hadith ini juga datang daripada jalur yang lain iaitu Ali bin Abi Thalib R.A, Ibn Abbas R.anhuma, Abu Hurairah R.A dan juga Abu Burdah R.A secara mursal. [Lihat: Silsilah Ahadith al-Sahihah, 3/436]

Antara contoh riwayat yang datang daripada jalur Ali bin Abi Thalib R.A dengan matan yang berbeza tetapi maksudnya hampir sama adalah:

إِنَّ لِأَهْلِ النِّعَمِ حُسَّادًا، فَاحْذَرُوهُمْ
“Sesungguhnya bagi orang yang mendapat nikmat ini pendengki, maka jauhilah mereka.” [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath (7277)]

Status Hadith

Adapun berkaitan status hadith, ia menjadi sedikit perselisihan dalam kalangan ulama’ pada menentukan hukum terhadap hadith ini sama ada ia sahih atau dhaif. Sebelum daripada kami membuat kesimpulan terhadap hukum hadith ini, di sini kami nukilkan beberapa pandangan para ulama’ dalam menilai hadith ini:

  • Imam Ahmad menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 71]
  • Imam Ibn Ma’in menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 71]
  • Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 2/504]
  • Imam al-Syaukani menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 70 dan 261]
  • Imam al-San’ani menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 261]
  • Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih atau hasan berdasarkan kepada jalur daripada Abu Hurairah R.A sebagaimana yang telah disebutkan di dalam silsilahnya. [Lihat: Silsilah Ahadith al-Sahihah, 3/436]

Setelah melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith di atas terlalu dhaif kerana setiap jalur yang ada tidak terlepas daripada kritikan serta sebahagian perawi di dalam sanad tersebut dituduh sebagai seorang pendusta atau pemalsu hadith. Di samping itu juga, kami mengambil pendekatan untuk tidak menghuraikan setiap jalur yang ada dengan menyatakan penilaian para ulama’ terhadap setiap perawi yang supaya perkara ini mudah untuk difahami. Walaupun begitu, sebahagian daripada ulama’ menyatakan bahawa maksud hadith di atas adalah benar. Tambahan pula, larangan untuk menceritakan nikmat bukanlah suatu yang bersifat mutlak. Bahkan, ia bergantung kepada kesesuaian dan keadaan setempat. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 112]

Selain itu juga, makna hasad ini sebagaimana yang diberikan oleh Imam al-Jurjani di dalam kitabnya adalah bercita-cita untuk menghilangkan nikmat orang yang didengkinya agar ia berpindah kepadanya. [Lihat: al-Ta’rifat, 87]

Untuk itu, makna hasad adalah kita mengimpikan sesuatu nikmat yang terdapat pada orang lain dan dalam masa yang sama kita mengharapkan agar nikmat tersebut hilang daripadanya orang tersebut. Akan tetapi, terdapat pengecualian sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith:

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَسُلِّطَ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الْحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْحِكْمَةَ، فَهْوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا
“Tidak ada hasad melainkan pada dua perkara iaitu apabila seseorang itu dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya harta, lalu dia membelanjakannya pada jalan kebenaran serta seseorang yang dikurniakan hikmah oleh Allah SWT kepadanya, lalu dia berhukum dengannya dan mengajarkannya.” [Riwayat al-Bukhari (73)]

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, maksud hasad di dalam hadith ini adalah membawa maksud al-Ghibtoh (الغبطة) iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain, tanpa mahu melihat nikmat tersebut hilang daripada orang tersebut dan lafaz hasad yang digunakan dalam hadith ini adalah majaz. Keinginan ini juga disebut sebagai satu persaingan dan ia juga merupakan satu tindakan yang terpuji sekiranya dalam perkara ketaaatan. [Lihat: Fath al-Bari, 1/167]

Penutup

Kesimpulannya, hadith atau riwayat di atas adalah terlalu dhaif kerana setiap jalur yang ada tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama’. Walau bagaimanapun, isu ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Sakhawi larangan ini bukan bersifat mutlak tetapi ia bergantung kepada situasi atau masa. Sekiranya ada keperluan dengan meraikan suasana yang ada maka ia tidak menjadi kesalahan untuk dilakukan. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta menjauhkan dan menyelamatkan kita daripada sifat hasad. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top