Connect with us

Oh! Media

Perlukah Wanita Ke Masjid?

Umum

Perlukah Wanita Ke Masjid?

Sering kita dengar para ustaz menyatakan bahawa wanita tidak digalakkan
ke masjid. Tetapi ada juga di kalangan muslimat yang bertanya tentang
logiknya larangan ini.

ADVERTISEMENT

Ini kerana bagi mereka, kenapa hanya
larangan ke masjid yang dicanang, tetapi tidak pula dicanang larangan ke
tempat-tempat yang lain?

Kalau kita melihat kepada hukum solat
berjemaah kepada wanita di masjid, kita akan dapati para ulamak sepakat
menyatakan bahawa solat jemaah tidaklah wajib kepada kaum wanita.

Ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla.
Kita juga dapati sebahagian daripada mereka memakruhkan bagi wanita
untuk ke masjid, terutamanya kepada para pemudi. Dan alasan yang biasa
diberikan adalah kerana bimbangkan fitnah.

Dan kita juga dapati
bahawa mereka telah sepakat menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah
kepada kaum wanita tidaklah sama seperti kepada kaum lelaki. Berkata
Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’: “terdapat beberapa perbezaan
antara lelaki dan perempuan dalam hukum solat berjemaah, antaranya
ialah: tuntutannya tidaklah sama seperti tuntutan kepada kaum lelaki”.

Kebanyakan ulamak pula mengaggap bahawa solat di rumah adalah lebih
baik bagi kaum wanita berbanding di masjid. Pendapat mereka ini
bersesuaian dengan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan rumah kediaman mereka adalah
lebih baik bagi mereka”.
Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud.

Walau bagaimana pun, kita juga dapati bahawa para ulamak sepakat tidak
mengharamkan mereka ke masjid. Berkata al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi
seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama
kaum lelaki” (Lihat: Ahkamun Nisa’, m/s 36, cetakan pertama, Matbaah
al-Halabi, Mesir, 1994).Bahkan ada di kalangan mereka yang menganggap
bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang solat berjemaah di
masjid.

Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla:
“Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama
kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik” .
Dan ini
adalah pendirian mazhab Zohiri. Bagi mereka hadis yang menyatakan
kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat
tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja.

Lihat al-Mufassal Fi Ahkamil Mar’ah, jilid 1, m/s 212.
Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan
nas yang ada hanyalah menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih
baik.

Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa
mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi s.a.w.:
“Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di)
rumah-rumah mereka adalah lebih baik”. Hadis sohih riwayat Abu Daud,
Kitabus Solah.

Dan terdapat juga kata-kata Siti Aisyah yang
seolah-olah menunjukkan bahawa kaum wanita dilarang ke masjid. Aisyah
berkata: “Kalaulah Rasulullah s.a.w. melihat apa yang telah dilakukan
oleh wanita sekarang (zaman beliau), nescaya baginda akan melarang
mereka (ke masjid), sebagaimana telah dilarang perempuan Bani Israil.
Riwayat Imam Bukhari.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani:
“..kata-kata Aisyah itu tidaklah mengubahkan hukum (yang sedia ada). Ini
kerana beliau gantungkan (larangan) tadi dengan satu syarat yang tidak
wujud, yang hanya berdasarkan sangkaan beliau sahaja.
Perkataan
beliau: “Kalaulah Rasulullah s.a.w. melihat” boleh (dijawab dengan)
dikatakan bahawa baginda tidak melihatnya dan tidak melarangnya. Maka
kekallah hukum (yang asal, iaitu tiada larangan).

Bahkan Aisyah
sendiri tidaklah secara jelas melarang, sekalipun perkataannnya itu
menunjukkan bahawa beliau seolah-olah melarangnya. Lagipun Allah SWT
telah pun mengetahui apa yang akan dilakukan oleh para wanita, dan Dia
tidaklah mewahyukan kepada NabiNya untuk melarang mereka.
Kalaulah apa yang mereka lakukan itu memerlukan dilarang mereka ke
masjid, maka melarang mereka ke pasar-pasar adalah lebih utama. Lihat
Fathul Bari, kitabul Azan, juz 2, m/s 445.

Kerana inilah mereka
juga perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid,
walaupun pada malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang
diriwayatkan oleh Ibn Umar: “Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu
untuk ke masjid pada malam hari”.
Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim. Lihat: Ahkamun Nisa’, m/s 39. Kaum wanita di zaman Rasulullah
s.a.w. juga menghadiri solat berjemaah di masjid, dan Rasulullah s.a.w.
tidaklah menghalang mereka.

Bahkan dalam hadis riwayat Imam
Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang
berjemaah solat subuh bersama Rasulullah s.a.w., dan mereka tidaklah
dapat dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi).

Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. pula, bukan sahaja datang ke masjid,
bahkan mereka juga beriktikaf di masjid di bulan Ramadhan. Semua nas ini
dengan jelas menunjukkan bahawa wanita harus untuk ke masjid dan kita
tidak sepatutnya menghalang mereka.

Kalaulah kaum wanita dihalang
ke masjid atas alasan fitnah, maka kenapa kita tidak menghalang
anak-anak perempuan kita ke sekolah atas alasan yang sama?
Tidakkah fitnah pergaulan bebas di sekolah lebih teruk daripada di masjid?
Tidakkah gangguan yang bakal dihadapi mereka semasa ke sekolah atau ke
kolej dan di kolej atau universiti itu lebih besar daripada ke masjid?

Kenapakah mereka dihalang ke masjid yang berdekatan dengan rumah
mereka, tetapi tidak dihalang ke kolej atau universiti yang jaraknya
lebih jauh?

Kenapakah anak-anak perempuan kita atau
isteri-isteri kita dibenarkan ke tempat kerja, shopping kompleks, ke
pasar-pasar bahkan ke semua tempat kecuali tempat yang paling mulia,
iaitu rumah-rumah Allah?

Kenapakah wanita Islam dihalang ke
masjid-masjid, sedangkan wanita-wanita Kristian, Yahudi dan sebagainya
tidak dihalang ke kuil atau gereja? Adakah wanita yang sedang beribadat
di dalam masjid itu lebih buruk dan lebih besar fitnahnya berbanding
dengan yang sedang menonton tv di rumah?
Bagi saya, kalaulah kita
ingin berbincang mengenai hukum wanita ke masjid , kita jangan hanya
melihat kepada hukum solat berjemaah yang ditulis dalam kitab-kitab
Fiqh.

Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum datang
berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah
tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam.
Kerana
inilah Dr Yusof al-Qardawi berkata: “Solat seorang perempuan di rumahnya
itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang
faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar
tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan
al-Qur’an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah
lebih baik”. Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah
bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja.

Bahkan terdapat
hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda
Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya
melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala
haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya
sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38.

Tambahan lagi,
ramai di kalangan kita yang tidak mengajarkan anak isteri mereka
mengenai Islam, samada kerana tidak mampu atau tidak mempunyai masa.

Dan kalaulah kita sudah pun mengajarkan mereka agama sekalipun, adakah
kita mampu memberikan tazkirah yang boleh mengetuk pintu hati mereka
(seperti para ustaz di masjid) supaya mereka nampak keagungan Allah SWT
dan ingin mendekatkan diri kepadaNya serta menyucikan hati nurani
mereka?
Kalaulah dunia sekarang sedang memberikan kepada para
wanita segala hak mereka samada dari sudut ekonomi, politik, sosial
dsbg, kenapakah hak mereka untuk berada di rumah Allah dan mendekatkan
diri mereka kepada

Yang Maha Pencipta dihalang? Tidakkah hak ini tidak kurang pentingnya?
Walau bagaimana pun, wanita perlu meminta keizinan suami atau wali
untuk ke masjid. Dan tidak patut bagi seorang ayah atau seorang suami
untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah.
Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab berikut:-
* Keluar dalam keadaan menutup aurat dan berpakaian sopan
* Tidak bersolek dan memakai bau-bauan
* Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan.

Sebagai mengakhiri artikel ini, saya akan naqalkan kata-kata Dr Yusof al-Qardhawi dalam perkara ini.

Beliau berkata: “Sebahagian daripada kaum lelaki sekarang ini telah
pun keterlaluan dalam masalah wanita, dan mereka langsung tidak
menyokong fikrah harusnya wanita ke masjid, walau dalam keadaan apa
sekalipun. Walaupun ada dinding yang kukuh yang membataskan antara
lelaki dan perempuan di masjid, yang mana dinding seperti ini tidak pun
ada pada zaman Rasulullah s.a.w..

Katanya lagi: “Ini semua adalah
disebabkan oleh kerana keterlaluan dan kurangnya kesedaran”.
” SAYA JUGA DI SINI INGIN MENYERU ” (terutamanya kepada para ustaz), sebagaimana seruan Syeikh Dr Yusuf Qardhawi:

“Sesungguhnya saya tanpa segan menyeru supaya bukakanlah kepada para
perempuan untuk ke rumah-rumah Allah, supaya mereka juga dapat mencari
kebaikan, mendengar peringatan dan mempelajari agama. Keluar mereka ini
sedikit sebanyak boleh memberikan kegembiraan kepada mereka (dalam
perkara yang bukan maksiat), selagi mana mereka keluar dalam keadaan
bersopan, menutup aurat dan tanpa solekan yang diharamkan”.

Maklumat Penulis:
Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail
Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu’tah, Jordan.
UPI, KIAS
0136353463

Artikel asal dari : tasekpauh.blogspot.com

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas