Connect with us

Oh! Media

Perlindungan Dari Jin Di Dalam Tandas

Umum

Perlindungan Dari Jin Di Dalam Tandas

Soalan:
Benarkah jin dan syaitan suka tinggal di dalam tandas dan bagaimana dengan orang-orang yang tidak mempercayainya?

Jawapan:
Telah diriwayatkan dari Anas bin malik r.a. katanya:

كَانَ رَسُولُ اللّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ قَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ
“Adalah Rasulullah saw apabila baginda hendak masuk ke dalam tandas baginda membaca : اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث” [Riwayat Imam Bukhari]

Dan diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam r.a. katanya Rasulullah saw bersabda:

فَإِذَا أَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يَدْخُلَ فَلْيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِثِ
“Maka apabila mahu seorang kamu bahawa masuk ia ke dalam tandas maka hendaklah ia berkata : اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث” [Riwayat Imam Ahmad & Abu Daud]

Dan hadith yang serupa diriwayatkan juga olih Muslim, Tirmidzi, Nasaai, Ibnu Majah, Ad-Daruqutni, Ibnu Hibban dan Ad-Darimi.

Erti Al-Khubsi dan Al-Khabais

Berkata Ibnu Hibban:

قال أبو حاتم رضي الله عنه : الخبث والخبائث : جمع الذكور والإناث من الشياطين
“Al-Khubsi dan Al-Khabaais adalah kata jamak bagi syaitan jantan dan syaitan betina.”

Tersebut dalam kitab Hasyiah Sanadi Syarah Sunan Ibnu Majah:

مِنَ الْخُبُثِ) بِضَمَّتَيْنِ جَمْعُ الْخَبِيثِ وَالْخَبَائِثُ جَمْعُ الْخَبِيثَةِ وَالْمُرَادُ ذُكُورُ الشَّيَاطِينِ وَإِنَاثُهُمْ)
“Al-Khubusi dengan dua dhammah kata jamak bagi Al-Khabis dan perkataan Al-Khabais ialah kata jamak bagi Al-Khabisah. Dan dikehendaki dengannya ialah yang jantan dari kalangan syaitan dan yang betinanya.”

Berkata Ibnu Asir:

الخبث، بضم الباء: جمع الخبيث، والخبائث: جمع الخبيثة، يريد ذكور الشياطين وإناثهم
“Al-Khubsu kata jamak bagi Al-Khabis dan perkataan Al-Khabais kata jamak bagi Al-Khabisah. Menghendaki dengannya ialah yang jantan dari syaitan dan yang betina dari mereka itu.” [Lisanul Arab]

Berkata Imam Al-Khattabi:

الخبث بضم الباء جماعة الخبيث ، والخبائث جمع الخبيثة ، يريد ذكران الشياطين وإناثهم
“Al-Khubsu jamak bagi Al-Khabis dan perkata Al-Khabais jamak bagi Al-Khabisah maksudnya syaitan jantan dan syaitan betina.” [Kitab Aunul Ma’bud]

Berkata Imam Nawawi:

واختلفوا في معناه – الخبث والخبائث – فقيل : هو الشر، وقيل : الكفر ، وقيل : الخبث الشياطين ، والخبائث المعاصي
“Dan berselisih para ulama pada makna Al-Khubsu dan Al-Khabais. Kata setengah ialah kejahatan dan kata setengah ialah kufur dan kata setengah al-khubsu ialah syaitan manakala al-khabais ialah maksiat.” [Kitab Syarah Muslim]

Kenapa Jin dan Syaitan Duduk Dalam Tandas?

Berkata ulamak:

إن موضع قضاء الحاجة تحضره الجن والشياطين، يترصدون فيه لبني آدم بالأذى والفساد؛ لأنه موضع تُكشف فيه العورة، ولا يُذكر اسم الله فيه، فإذا أتى المسلم إلى موضع قضاء الحاجة فليقل: «أعوذُ باللهِ مِنَ الخُبُثِ والخَبَائث» أي: أعتصم بالله وأحتمي به من شر ذكران الشياطين وإناثهم
“Sungguhnya tempat buang air itu hadir padanya oleh jin dan syaitan yang mahu menganggangu manusia dan membuat fasad kerana itulah tempat yang terbuka segala aurat dan tempat yang tidak disebut nama Allah. Maka apabila seorang Islam masuk ke dalamnya untuk membuang air maka hendaklah ia meminta perlindungan dengan Allah dari syaitan dan jin jantan dan betina. Maksudnya aku berlindung dan memohon selamat dengan Allah dari kejahatan syaitan jantan dan syaitan betina.”

Oleh kerana itu maka sayugianya setiap orang Islam yang hendak masuk ke dalam tandas membaca doa ini supaya dilindungkan olih Allah dari syaitan dan gangguannya.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini:

“ويقول ندباً عند إرادة دخوله ، أو عند وصوله إلى مكان قضاء حاجته بنحو صحراء …
“Dan sunat berkata (doa ini) ketika hendak masuk ke dalam tandas dan ketika sampainya ke tempat buang air umpama di tengah padang.” [Mughni Muhtaj]

Membaca Bismillah Ketika Masuk Tandas

Disunatkan membaca Bismillah ketika mahu masuk ke dalam tandas agar aurat kita tidak dapat dilihat oleh jin dan syaitan.

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib r.a. katanya Rasulullah saw bersabda:

سَتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ: إِذَا دَخَلَ أَحَدُهُمُ الخَلَاءَ، أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ
“Penghalang antara penglihatan mata jin kepada aurat manusia ketika masuk ia ke dalam tandas ialah membaca Bismillah.” (Hadith Tirmidzi)

Dan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. Rasulullah saw bersabda:

سِتْرُ ما بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ وَبَيْنَ عَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ ، إِذَا خَلَعَ الرَّجُلُ ثَوْبَهُ أَنْ يَقُولَ 
بِسْمِ اللَّهِ
“Penutup antara penglihatan jin dan aurat manusia ketika seorang itu membuka pakaiannya ialah dengan berkata Bismillah.” (Hadith At-Tabarani, Ibnu ‘Adi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar)

Bacaan Bismillah sebelum masuk ke tandas ini hukumnya adalah sunat.

Tersebut pada kitab Mausu’atul Fiqhiyah:

اتفق الفقهاء على مشروعية التسمية على سبيل الندب , وذلك قبل دخول الخلاء لقضاء الحاجة” انتهى
“Telah sepakat para ulamak atas disyariatkan membaca Bismillah atas perintah sunat. Yang demikian itu ialah sebelum masuk ke dalam tandas untuk membuang air.”

Maksud membaca Bismillah ketika hendak masuk ke dalam tandas ialah:

بسم الله) ، يعني أتحصن وأتحفظ باسم ربي ليحصنني ويحفظني من كل سوء ومن كل شر)
“Dengan nama Allah yakni aku berlindung dan aku memohon pemeliharaan dengan nama Tuhanku agar Dia menjaga aku dan memelihara aku dari segala yang buruk dan segala yang jahat.”

Jin Dapat Melihat Manusia

Firman Allah:

‘إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ
“Sungguhnya jin dan puaknya itu dapat melihat kamu manakala kamu tidak dapat melihat mereka.” (Al-A’raf: 27)

Jadi dengan membaca Bismillah maka jin tidak dapat melihat aurat manusia ketika terbuka ia waktu buang air di dalam tandas.

Kesimpulan

Kata ulamak:

  1. Tempat najis dan kotoran adalah tempat tinggal jin dan syaitan.
  2. Berlindung dan berserah dengan Allah dari syaitan dan kejahatannya bermakna menjaga dan memelihara diri dari syaitan dan kejahatannya.
  3. Doa dan zikir ini disyariatkan ketika memasuki tandas.
  4. Sabitnya tentang kewujudan makhluk jin dan syaitan dan menginkari wujudnya mereka adalah kesesatan dan kufur kerana menolak nas yang sahih dan tanda kurangnya aqal dan sempitnya fikiran kerana seorang manusia tidak akan menolak ilmu pengetahuan yang sampai kepadanya.
  5. Tempat yang baik seperti masjid-masjid disyariatkan zikir-zikir dan doa. Munasabah dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya yang kita harapkan di dalamnya.
  6. Syaitan itu ada yang jantan dan ada yang betina.

Wallahua’lam.

+ Ustaz Azhar Idrus (Original)
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top