Connect with us

Oh! Media

Menggantikan Puasa Bagi Waris Yang Meninggal Dunia

Umum

Menggantikan Puasa Bagi Waris Yang Meninggal Dunia

Soalan:
Apakah hukumnya menggantikan puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia? Orang yang telah meninggal dunia tersebut ketika hayatnya masih ada baki-baki qadha puasa yang belum dilunaskan namun telah meninggal dunia terlebih dahulu.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Bagi persoalan di atas, sekiranya berterusan keuzuran seseorang itu sehingga dia meninggal dunia seperti sakitnya yang berterusan, berpanjangan safarnya, pengsannya, hamilnya, menyusunya dan semisalnya, maka ia tidak dikira berdosa. Tidak wajib keatasnya sesuatupun dan begitu juga bagi pihak walinya (saudara terdekat) kerana kewajipan berpuasa tidak dapat dilaksanakan sehinggalah dia meninggal dunia maka telah gugur hukum berpuasa buatnya. [Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie. Dar al-Qalam, 2/201]

Sekiranya seseorang itu mampu untuk mengqadhakan puasa yang ditinggalkan sama ada sebab uzur ataupun tidak, namun tidak diqadhakan sehingga dia mati, adapun mazhab al-Qadim (dan ia adalah yang rajih dan disahihkan oleh golongan muhaqqiq), dalam keadaan begini dibolehkan bagi wali untuk berpuasa bagi pihak si mati namun tidaklah dilazimi (wajib) akan perbuatan tersebut. Ini berdasarkan hadis Aisyah R.Anha yang mana Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
“Siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.” [Riwayat al-Bukhari (1952) & Muslim (1147)]


Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj menyebutkan bahawa bagi mereka yang berbuka puasa kerana uzur dan berpanjangan uzur atau sakitnya itu sehinggalah mati, maka tidak ada puasa keatasnya, dan tidak perlu membayar fidyah baginya dan tidak pula orang lain berpuasa baginya. [Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy, 8/23]

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadhakan). Adakah aku perlu menggantikannya?” Jawab Nabi SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
“Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.” [Riwayat Abu Daud (3310)]

Puasa tersebut boleh digantikan oleh wali si mati dari kalangan ahli keluarga yang terdekat dan boleh juga untuk mengupah orang lain berpuasa bagi si mati. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi si mati tanpa izin atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut. [Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie. Dar al-Qalam, 2/202]

Sekiranya wali tidak berpuasa bagi si mati, dan tidak juga orang yang lain, maka dikeluarkan dari bahagian yang ditinggalkan puasa tersebut fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan satu mud (cupak). Sekiranya si mati tiada meninggalkan harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah. Wallahua’lam.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas