Connect with us

Oh! Media

Hukum Menerima Rasuah Bagi Menampung Kos Rawatan

Umum

Hukum Menerima Rasuah Bagi Menampung Kos Rawatan

SOALAN:
Adakah dibolehkan mengambil rasuah untuk menampung kos rawatan atas alasan darurat?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil pengharaman rasuah daripada al-Quran mahupun al-Sunnah.

Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” [Surah al-Maidah (5:42)]

Perkataan as-Suht menurut bahasa ialah kemusnahan. Sementara, Ibn Mas’ud R.A dan selainnya memberi maksud perkataan as-Suht sesuatu yang haram adalah rasuah. [Lihat: al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (6:182-183)]

Sebuah hadith, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” [Riwayat Abu Daud (3580), al-Tirmidzi (1337) dan Ibn Majah (2313)]

Pelaku rasuah berhak dilaknat jika mendapatkan sesuatu yang bukan haknya selain bertujuan menyakiti Muslim yang lain. [Lihat: al-Kabair :132]

Amalan rasuah termasuk dalam dosa besar kerana ancaman laknat. Hal ini berdasarkan kalam Ibn al-Solah: “Ada beberapa tanda yang menunjukkan suatu dosa termasuk daripada dosa besar iaitu; pelakunya menjadi fasiq dan dilaknat.” Sementara Ibn Abd al-Salam menyebut: “Dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat menerima tawaran rasuah bagi menampung kos rawatan adalah ditegah berdasarkan hadith yang menyatakan penerima rasuah turut dilaknat. Tambahan pula, keadaan mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kos rawatan tidak dikatakan pada situasi terdesak kerana masih terdapat saluran lain untuk mendapatkan bantuan kewangan. Sehubungan itu, kami mengesyorkan untuk membuat permohonan bantuan perubatan daripada pelbagai pihak mahupun agensi kerajaan seperti berikut:

  • Permohonan Bantuan Perubatan daripada Baitulmal.
  • Permohonan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • Permohonan bantuan kos rawatan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Permohonan menampung pembiayaan kos perubatan daripada zakat negeri.
  • Kutipan derma kilat daripada orang ramai dengan memaparkan surat pengesahan penyakit daripada hospital.

Penutup

Konklusinya, jalan pintas menerima rasuah bagi kegunaan kos rawatan tidak dianggap darurat kerana masih terdapat saluran bantuan kewangan daripada pelbagai pihak. Tidak dinafikan rawatan merupakan salah satu usaha memelihara nyawa namun pada masa yang sama mencari sumber kewangan yang halal turut dituntut oleh syarak. Tambahan pula, ujian ditimpa penyakit merupakan salah satu wasilah untuk penghapusan dosa.

Hal ini bertepatan hadith daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah R.A daripada Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلا وَصَبٍ وَلا هَمٍّ وَلا حُزْنٍ وَلا أَذًى وَلا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” [Riwayat al-Bukhari (5641) dan Muslim (2573)]

Seseorang hamba yang bersabar ditimpa musibah penyakit dan kesusahan akan diampuni dosanya. Oleh yang demikian, usaha merawat penyakit mestilah dengan cara yang diredhai Allah SWT. Mereka yang ditimpa kesempitan kewangan bagi menampung kos rawatan perlu sedaya upaya mencari alternatif mendapatkan bantuan kewangan yang patuh syariah berbanding menerima rasuah. Tambahan pula, pelaku rasuah mendapat kemurkaan Allah serta dijauhkan daripada rahmat-Nya. Akhir sekali, marilah kita menghindarkan diri dari gejala rasuah yang boleh menghakis keberkatan rezeki dan berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik dalam beragama.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas