Connect with us

Oh! Media

Hukum Memakai Kanta Lekap Ketika Berwudhu’

Umum

Hukum Memakai Kanta Lekap Ketika Berwudhu’

SOALAN:
Bagaimanakah dengan wudhu’ orang yang memakai contact lens (kanta lekap) kerana muka adalah termasuk bahagian yang wajib dibasuh dengan air wudhu’? Adakah diwajibkan untuk menanggalkan kanta lekap ketika berwudhu’?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ …
“Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil) maka berwudhu’lah iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku.” (Surah al-Ma’idah: 6)

Ayat di atas menjelaskan tentang perintah Allah SWT supaya berwudhu’ sebelum mengerjakan solat. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa muka ialah salah satu daripada anggota wudhu’ yang wajib dibasuh ketika wudhu’. Sedangkan mata pula terletak di bahagian muka. Justeru berbalik kepada persoalan di atas, apakah hukum memakai kanta lekap ketika berwudhu’?

Definisi Kanta Lekap

Menurut kamus dewan edisi ke-4 kanta lengkap bermaksud kanta sentuh. Kanta lekap (Bahasa Inggeris: contact lens) merupakan alat pembetulan, kosmetik, atau kanta terapeutik biasanya diletakkan pada kornea mata. Kanta lekap biasanya digunakan untuk tujuan pembetulan sebagai sama seperti cermin mata, tetapi ia lebih ringan dan ia tidak mudah kelihatan—ada kanta diwarnai dengan warna biru muda. (Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/Kanta_lekap)

Di sisi mazhab Syafie, bahagian dalam mata adalah tidak termasuk dalam basuhan anggota wudhu’ yang wajib dibasuh.

Berkata Imam al-Syafie: “Dan tidak aku ketahui perselisihan yang mengatakan bahawa anggota muka yang wajib dibasuh ketika wudhu’ ialah bahagian yang zahir (bahagian luar) dan tidak termasuk bahagian dalam, dan tidak diwajibkan ke atas seseorang untuk membasuh kedua matanya.” (Rujuk: Al-Umm, 1/40)

Berkata Imam al-Nawawi: “Adapun hukum bagi permasalahan ini, maka tidak diwajibkan untuk membasuh bahagian dalam mata menurut kesepakatan ulama’, dan pada yang menyatakan sunat hukumnya terdapat dua pandangan, tetapi pandangan yang sahih ialah berdasarkan pandangan jumhur ulama’ iaitu hukumnya ialah tidak sunat.” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/404)

Berkata Imam Khatib al-Syarbini: “Dan di antara basuhan anggota yang wajib ialah membasuh zahir (bahagian luar) muka…dan terkeluar daripadanya (bahagian zahir) ini ialah bahagian dalam mulut, hidung dan mata, maka bahagian ini tidak diwajibkan membasuhnya, bahkan juga tidak disunatkan membasuh bahagian dalam mata, bahkan sesetengah ulama’ mengatakan makruh hukumnya (membasuh bahagian dalam mata) kerana hal tersebut boleh mendatangkan mudarat.” (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/153)

Disebut di dalam Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: “Dan pandangan yang sahih dalam masalah ini ialah: bahawasanya membasuh bahagian dalam mata ketika bersuci adalah tidak disyaratkan bahkan tidak diharuskan. Oleh itu pemakaian kanta lekap tidak membawa kesan kepada hukum bersuci samada pemakaian kanta lekap itu dengan tujuan perubatan ataupun bertujuan untuk perhiasan. Dan hal ini kerana memasukkan air ke dalam mata tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW samada secara lisan atau perbuatan dan perbuatan tersebut juga menyakitkan dan ia boleh membawa kepada mudarat.” (Rujuk: https://www.amrkhaled.net)

Kesimpulan

Kesimpulannya, setelah meneliti perbahasan di atas, hukum memakai kanta lekap ketika berwudhu’ adalah harus dan keadaan wudhu’ seseorang tetap sah. Apatah lagi misalnya sekiranya pemakaian kanta lekap tidak menghalang air daripada masuk ke dalam mata. Adapun sekiranya kanta lekap boleh menghalang air sampai ke dalam mata maka dalam keadaan itu pun tidak menjadi masalah. Hal ini kerana membasuh bahagian dalam mata adalah tidak diwajibkan ketika berwudhu’ bahkan juga tidak disunatkan. Ia juga dianggap makruh mengikut pendapat yang sahih kerana hal tersebut boleh membawa mudarat kepada mata. Justeru, seseorang yang memakai kanta lekap tidak perlu menanggalkan kanta lengkap ketika berwudhu’ atau mandi wajib kerana hal tersebut tidak membawa kesan kepada sah atau batalnya wudhu’.

Wallahu a’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas