Connect with us

Oh! Media

Bawa Beg Berisi Kasut Ketika Tawaf, Sah Atau Tidak?

Umum

Bawa Beg Berisi Kasut Ketika Tawaf, Sah Atau Tidak?

ADVERTISEMENT

SOALAN:
Saya ada kemusykilan mengenai umrah. Ketika mengerjakan umrah kali pertama saya membawa kasut dalam uncang setiap kali saya masuk ke Masjidil Haram sama ada untuk tawaf, sa’ie, ataupun sekadar solat. Pendek kata saya membawa kasut (dalam uncang) ke mana-mana saya pergi sepanjang mengerjakan umrah. Adakah dibolehkan? Sahkah umrah saya kerana saya terlihat video yang menyatakan bahawanya ianya salah dan tidak sah? Namun ada juga artikel yang mengatakan ia dibolehkan. Terima kasih atas pencerahan.

JAWAPAN:

Kebersihan

Islam sangat mementingkan konsep kebersihan untuk dipraktikkan di dalam kehidupan harian. Kebersihan iaitu al-Taharah bermaksud menghilangkan hadas, najis atau apa yang bersangkutan dengannya. Allah SWT mensyariatkan al-Taharah bertujuan untuk menjaga kebersihan dalam melakukan ibadah.

Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh Salih bin Abi Hassan: Aku mendengar Said bn Musaib berkata:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ يُحِبُّ الطَّيِّبَ نَظِيفٌ يُحِبُّ النَّظَافَةَ كَرِيمٌ يُحِبُّ الْكَرَمَ جَوَادٌ يُحِبُّ الْجُودَ فَنَظِّفُوا أُرَاهُ قَالَ أَفْنِيَتَكُمْ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ
“Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan Dia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.” [Riwayat al-Tirmidzi (2799)]

Begitu juga Baginda SAW menggambarkan bahawa kebersihan itu merupakan salah satu daripada ciri-ciri keimanan. Abu Malik al-Asy’ari RA meriwayatkan hadith daripada Baginda SAW, sabdanya:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
“Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” [Riwayat Muslim (223)]

Di dalam melakukan ibadah tawaf, sa’ie dan solat, ianya tidak terlepas daripada syarat bersuci daripada hadas serta menghilangkan najis yang terdapat pada badan. Allah SWT memerintahkan supaya membersihkan pakaian apabila ingin melakukan solat. Firman-Nya:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah al-Muddatsir: 4)

Solat Dengan Memakai Kasut

Para ulama’ membahaskan berkenaan dengan memakai kasut ketika solat adalah diharuskan. Ibnu Rejab menukilkan pendapat Imam Ahmad menyatakan, harus melakukan solat dengan memakai kasut sekiranya ia bersih. (Lihat: Fathu al-Bari li Ibn Rejab, 3/42)

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri R.A, sabda Nabi SAW:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
“Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.” [Sunan Abi Daud (650)]

Imam al-San’ani dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan, hadith ini merupakan pensyariatan solat dengan memakai kasut atau selipar. Begitu juga, sapuan kasut atau selipar pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan secara zahir pada kedua-duanya adalah pada menentukan maksud najis, sama ada bersifat basah atau kering. (Lihat: Subul al-Salam, 1/205)

Syarat Wajib Melakukan Tawaf

Dalam melakukan ibadah tawaf, mestilah seseorang itu mengikut apa yang digariskan oleh syarak berkenaan dengan perkara yang disyaratkannya.

Di antara syarat wajib dalam mengerjakan ibadah tawaf ini adalah menutup aurat, suci daripada hadas, bermula di Hajar Aswad, bahu di sebelah kiri Kaabah, tawaf di luar Kaabah, tawaf sebanyak tujuh pusingan dan mengerjakan tawaf di dalam masjid. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/243-246)

Dan disyaratkan seseorang itu ketika hendak melakukan tawaf mestilah bersih daripada najis dan suci daripada hadas. Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan syarat sah tawaf adalah suci dan bersih daripada hadas dan najis pada baju, badan serta tempat yang hendak dilakukan tawaf. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/344)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan perbahasan yang diberikan dapat kami simpulkan di sini:

  • Mesti memastikan kasut atau selipar yang hendak dibawanya itu tidak terdapat padanya najis.
  • Sekiranya tidak pasti sama ada ia bernajis atau tidak, maka perhatikan padanya adakah terdapat ciri-ciri najis seperti bau, rasa dan warna padanya. Dan sekiranya tidak maka anggaplah ia suci. Ini kerana sapuan kasut itu pada tanah telah menyucikannya seperti pendapat Imam San’ani yang disebutkan di atas.

Selain itu, hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Walad bahawa Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf bertanya kepada Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW, bahawa beliau R.Anha berkata:

إِنِّي امْرَأَةٌ أُطِيلُ ذَيْلِي وَأَمْشِي فِي الْمَكَانِ الْقَذِرِ . فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : يُطَهِّرُهُ مَا بَعْدَهُ
“Sesungguhnya aku adalah wanita yang labuh pakaiannya, dan aku berjalan melalui kawasan yang kotor.” Lalu Ummu Salamah R.Anha menjawab: Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang selepasnya (iaitu tanah) akan menyucikannya.” [Riwayat Abu Daud (383)]

Justeru, kami berpendapat sah solat atau tawaf seseorang itu sekiranya membawa beg berisi kasut atau selipar yang suci daripada najis padanya. Dan sekiranya terdapat kotoran atau najis pada kasut, maka hendaklah dia menghilangkan dan membersihkannya terlebih dahulu.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agama-Nya mengamalkan syariat-Nya dengan sebaik mungkin. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas