Connect with us

Oh! Media

Mujahid Rasakan Misi Anwar Ibrahim 13 Oktober Memang Patut Diteruskan

Oh! Negara

Mujahid Rasakan Misi Anwar Ibrahim 13 Oktober Memang Patut Diteruskan

Nampaknya orang politik tetap terus cuba berebut kuasa dalam memastikan kerajaan milik mereka selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan 13 Oktober ini beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. 

ADVERTISEMENT
Sebelum ini Anwar telah membuat sidang media dan menyatakan kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang. 
Dalam perkembangan terbaru, Ohmedia tertarik dengan jawapan bekas Menteri Agama, Mujahid Yusof Rawa yang mengeluarkan kenyataan bahawa 13 Oktober ini misi Anwar yang turut menyenaraikan beberapa sebab mengapa ia harus diteruskan. 
Saya dihujani berbagai reaksi sebagai respons kepada tulisan-tulisan saya selepas pengumuman 22hb September. Ada yang mengkritik soal kewajaran, samada sesuai pada masa pandemik mahupun pandangan yang menolak samasekali pengumuman DSAI atas alasan DSAI dan PH main politik saat rakyat menderita kerana covid 19. Ada juga yang menyokong gerakan ‘PAUSE’ kononnya masa sekarang ialah masa ‘gencatan senjata’ dalam soal-soal politik untuk memberi tumpuan kepada masalah negara. 

Saya memahami semua respons itu tetapi saya perlu menjelaskan di sini bahawa intipati langkah DSAI adalah berpandukan kepada beberapa keperluan utama yang sangat mendesak khususnya di waktu covid ini, iaitu; 

a. Mengembalikan mandat asal (restore back the original mandate) yang diamanahkan oleh pengundi kepada Pakatan Harapan pada PRU 2018 yang lalu setelah ‘dijatuhkan’ oleh Langkah Sheraton (Feb 2020) melalui perancangan licik TSMY dan DSAA semasa covid sudahpun melanda negara. Mandat asal akan mengembalikan kepercayaan rakyat semula kepada kerajaan dan ia sangat diperlukan pada saat krisis. 

b. Membentuk majoriti yang kukuh setelah majoriti kerajaan TSMY terbukti sangat rapuh sedangkan semasa krisis seperti ini, sebuah kerajaan yang kukuh majoritinya sangat diperlukan dan DSAI ada kekuatan itu untuk menyumbang kepada pengurusan krisis covid dengan sokongan majoriti lebih padu dan kukuh. 

c. Mengembalikan balik asal kedudukan kuasa yang diambil secara demokratik oleh PH dahulu selepas kes awalan yang buruk ditunjukkan oleh Langkah Sheraton supaya tindakan sebegitu rupa tidak lagi berulang. Langkah DSAI adalah ‘rebooting’ situasi untuk memelihara semula proses demokrasi dan prinsipnya supaya mana-mana kerajaan yang akan dibentuk di masa hadapan mestilah daripada mandat rakyat melalui pilihanraya dan bukan tebuk atap. 

d. Kesepaduan rakyat yang telah dinodai oleh sekelompok puak yang berfikiran perkauman sempit dan para penunggang agama yang menjadi pendokong tegar terbentuknya kerajaan PN hari ini. Propaganda terancang yang tidak ada asas semata menimbulkan kebencian kaum terbukti satu pembohongan. Langkah DSAI adalah menolak kelompok ini yang boleh menjejaskan kesepaduan rakyat dan misi DSAI ialah berusaha membentuk semangat Perpaduan Nasional yang akan menyumbang kepada penyelesaian krisis covid hari ini. 

Jangan kita abaikan keperluan utama yang telah dijelaskan di atas kerana memenuhi kehendak tersebut akan meningkatkan lagi keberkesanan negara mengatasi krisis covid. Yang mempolitikkan covid ialah mereka yang mengambil alih kerajaan melalui ‘scheme of things’ tanpa visi dan lebih tertumpu mengagihkan habuan sebagai balasan sokongan. Sebab itu kerajaan PN membuat sesuatu yang tak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan, iaitu kabinet yang bersaiz xxxl, jaminan GLC kepada Ahli Parlimen dan hasilnya ialah anggota kabinet yang tidak kompeten dan MP yang hilang fokus mengendalikan krisis. Bagaimana polisi dan keputusan semasa dapat dijayakan jikalau anggota kabinet xxxl gagal berfungsi? Bagaimana pula persepsi penguatkuasaan yang dilihat berlaku secara sistem berkasta? 

Jangan biarkan negara ini yang dilanda krisis pandemik dikendalikan oleh sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat, lemah dan tanpa hala tuju nasional, kelak kita akan menyesal kerana mempertikaikan soal kewajaran atau atas alasan gencatan senjata. 

Mari kita doakan langkah DSAI akan sampai dengan izin Allah pada 13 Oktober nanti di balai mengadap istana. Saya ingin ingatkan, jika sampai masanya nanti usahlah kita berseronok dan bersorak, kita harus insaf dan berendah diri kerana bebanan atas bahu DSAI dan majoriti MP yang menyokongnya lebih berat dari apa yang boleh kita bayangkan. Ia bukan tentang politik KUASA tetapi AMANAH dan TAKLIF menguruskan negara di saat krisis! 

Itulah apa yang cuba disampaikan oleh Mujahid. Apa-apapun rakyat melihat ini hanya untuk kepentingan politik semata-mata. Kenapa begitu? Ini kerana kita dapat lihat yang rakyat tidak mahu pemimpin terus berpolitik dan hanya mahukan mereka terus memikirkan cara untuk Malaysia keluar dengan selamat dari pandemik Covid-19.

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media.

 



Comments

Lagi dalam kategori Oh! Negara

Ke Atas