Connect with us

Oh! Media

Lebih 150 Kemalangan Direkod Membabitkan Penghantar Makanan Sepanjang Mac-Jun Tahun Lalu

Oh! Tidak

Lebih 150 Kemalangan Direkod Membabitkan Penghantar Makanan Sepanjang Mac-Jun Tahun Lalu

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah merekodkan lebih 150 kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal penghantar makanan dari Mac hingga Jun tahun lalu.

ADVERTISEMENT

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihannya, Dr Azlan Darus berkata, pengembangan ekonomi gig dan perkhidmatan e-hailing ketika penularan COVID-19 menyebabkan peningkatan kemalangan membabitkan penunggang e-hailing.

“Jumlahnya terus meningkat dan menjelang hujung tahun ini, semakin banyak kemalangan berlaku, maka atas faktor inilah, isu pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan adalah penting untuk ditangani dari aspek perlindungan dan pencegahan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Keselamatan Jalan Raya Berkaitan Kerja secara maya, hari ini.

Azlan berkata, kes kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja pula meningkat hampir 83 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu dari 20,810 kes pada 2009 kepada 38,142 pada 2019 dan jumlah kematian tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian industri pada tahun 2020.

Beliau berkata, hasil kajian PERKESO mendapati lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak lima kilometer (km) dari destinasi ke tempat kerja dan 65 peratus kemalangan dalam perjalanan membabitkan orang muda berusia bawah 40 tahun, dengan 80 peratus daripadanya lelaki.

“Sebilangan besar kemalangan berlaku akibat keletihan dan kerana bergegas hendak ke destinasi tepat pada waktunya. Setiap tahun, lebih RM1 bilion pampasan dibayar untuk kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, kesan kemalangan semakin mendalam. Melampaui aspek wang pampasan. Ia mencetuskan kesan psikologi dan sosial dalam kalangan keluarga dan masyarakat di negara ini, ” katanya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, PERKESO telah merangka tiga program bersesuaian bagi individu bekerja sendiri sebagai perlindungan sosial di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi negara.

Inisiatif di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 itu adalah PenjanaGig, SPS Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

“Program ini memberi perlindungan kepada individu berinsurans bekerja sendiri daripada kecederaan pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti berkaitan pekerjaan,” katanya.

Kredit : BeritaHarian

Penulis sepenuh masa di Oh! Media berkaitan isu-isu menarik dan yang pasti terkini

Lagi dalam kategori Oh! Tidak

To Top