Bagi edisi pertama GP India 2023, Fabio Quartararo berjaya melangkah naik podium manakala rakan sepasukannya, Franco Morbidelli menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, membantu Monster Energy Yamaha MotoGP menambah kutipan mata keseluruhan kejohanan MotoGP.
Perlumbaan itu dimenangi Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Ducati) manakala tempat kedua milik Jorge Martin (Pramac Ducati). Tempat keempat dan kelima masing-masing milik Brad Binder (Red Bull KTM) dan Joan Mir (Repsol Honda).
IKLAN
Di Litar Antarabangsa Buddh, kedua-dua pelumba Monster Energy Yamaha mempamerkan prestasi saingan terbaik meskipun berdepan keadaan cuaca amat panas dan kering.
Quartararo sempat mencabar Martin untuk merebut kedudukan nombor dua pada lap terakhir tetapi masih ketinggalan 0.206 saat di belakang jentera Ducati semasa mereka melepasi garisan penamat.
Malah, Morbidelli juga bersaing dengan beberapa pelumba lain dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, naik lapan posisi dari grid perlumbaan.
Semasa kelayakan, Quartararo menduduki P8 dan Morbidelli di P17 tetapi kedua-dua pelumba Yamaha itu memulakan perlumbaan dari P7 dan P15 selepas Luca Marini dan Alex Marquez disahkan tidak menyertai perlumbaan akhir GP India akibat kecederaan.
Quartararo memulakan perlumbaan dengan baik, mara ke posisi keenam di selekoh lap pembukaan sebelum menduduki posisi keempat sebelum turun semula satu kedudukan.
El Diablo mendapat manfaat apabila Marc Marquez terbabas, membolehkan pelumba Perancis itu kembali ke posisi keempat dengan perbezaan mata 1 saat dengan Francesco Bagnaia yang berada di posisi ketiga.
Quartararo hampir memintas Martin yang sedang berdepan masalah sut lumba dan cuaca mencabar. Bagaimanapun, Martin ternyata cukup laju sehingga tidak mampu dicabar jentera Yamaha M1.
Hasil kemenangan GP India 2023 melihat Quartararo kekal di tempat ke-11 kutipan mata keseluruhan musim 2023 dengan 105 poin. Morbidelli masih di tempat ke-12 dengan 77 poin.
Nini Hashim, bekas penulis separuh masa di Oh! Media, cemerlang dalam menghasilkan artikel berkaitan isu trending dan hiburan, menjadikan setiap penulisannya segar dan menghiburkan pembaca.